Isnin, 1 Ogos 2011

Perlakuan Orang-Orang Mukmin Yang Bersabar Apabila Ditimpa Musibah

                                                                                 Disusun oleh Abu Haniff 

imageOrang-orang yang apabila musibah menimpa mereka, mereka berkata,   إِنَّالِلَّهِﻭَإِﻧﱠﺂإِلَيْهِﺭَٰجِعُون  . (Al-Baqarah 2:156)


(Maka orang-orang mukmin yang sabar ialah) orang-orang yang apabila musibah menimpa mereka, mereka berkata (dengan mengucapkan kalimat istirjaa), إِنَّالِلَّهِﻭَإِﻧﱠﺂإِلَيْهِﺭَٰجِعُون  (yang bermaksud, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah, dan sesungguhnya kami, kepadaNyalah kami akan kembali”.

Apabila mereka mengucapkan kalimat ini ketika mereka ditimpa musibah, maka terhiburlah hati mereka kerana kalimat ini menanamkan di dalam hati mereka suatu pengakuan yang menyatakan bahawa diri mereka adalah hamba-hamba Allah.

Bahawa mereka adalah milikNya, dan Dia berhak melakukan apa yang Dia kehendaki terhadap diri mereka. Dan mereka yakin bahawa mereka akan kembali kepadaNya di hari akhirat nanti, di mana pada hari itu mereka akan diberi pahala terhadap setiap amalan yang mereka lakukan dan terhadap setiap kesabaran yang mereka tanggung, sekalipun amalan dan kesabaran itu hanyalah seberat biji sawi.

Mereka yakin bahawa tidak akan menjadi sia-sia setiap amalan dan kesabaran pada sisi Allah walaupun seberat biji sawi, melainkan Dia akan memberinya pahala pada hari akhirat nanti. Dan adapun erti musibah ialah setiap penderitaan yang dirasakan oleh seorang mukmin.

Di dalam sebuah hadis,1 diriwayatkan

pada suatu malam pelita Rasulullah s.a.w. tiba-tiba padam, lalu Rasulullah s.a.w. menyebut, إِنَّالِلَّهِﻭَإِﻧﱠﺂإِلَيْهِﺭَٰجِعُون. Kemudian seorang sahabat bertanya, “Apakah ini termasuk salah satu musibah wahai Rasulullah”. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab, “Ya, setiap penderitaan yang dirasakan oleh seorang mukmin ialah satu musibah”.  

Dan di dalam sebuah hadis yang lain,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 

“Tidaklah seorang mukmin itu menderita keletihan, kesakitan, penderitaan, kesedihan, atau sekadar pening kerana berfikir, melainkan ia akan dihapuskan dosa-dosanya”.

Sesungguhnya Allah telah menjadikan kalimat istirjaa ini sebagai tempat bernaung bagi orang-orang mukmin yang sedang mengalami musibah, dan sebagai penjagaan bagi orang-orang yang sedang diuji, kerana sesungguhnya terhimpun di dalam kalimat ini makna yang diberkati.
 
Adapun firmanNya, “إِنَّالِلَّهِ”, ia adalah sebuah ucapan tauhid dan kesaksian terhadapNya bahawa Dia memiliki segala sesuatu dan hanya Dia yang berhak disembah.
 
Dan adapun firmanNya, “ﻭَإِﻧﱠﺂإِلَيْهِﺭَٰجِعُون”, ia adalah kesaksian bahawa setiap sesuatu selainNya pasti binasa, dan kesaksian terhadap kebangkitan dari kubur, dan keyakinan bahawa setiap sesuatu pasti akan kembali kepadaNya.

Di dalam sebuah hadis,3 Umu Salamah pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 

“Tidaklah seseorang hamba yang ditimpanya oleh sesuatu musibah, lalu ia mengucapkan, إِنَّالِلَّهِﻭَإِﻧﱠﺂإِلَيْهِﺭَٰجِعُون, kemudian berdoa,
أَللَّهُمَّ أَجِرْنِيْ فِيْ مُصيْبَتِيْ وَأَخْلُفْ لِيْ خَيْرًامِنْهَاyang bermaksud, ‘Ya Allah, berikanlah pahala kepadaku oleh kerana musibahku ini, dan gantikanlah akan daku yang lebih baik daripadanya’, melainkan Allah akan memberinya pahala oleh kerana musibahnya, dan akan mengganti baginya yang lebih baik daripadanya”.

Umu Salamah meneruskan kisahnya, “Maka ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku berdoa seperti yang diperintahkan kepadaku oleh Rasulullah s.a.w.. Kemudian Allah telah memberikan gantinya kepadaku dengan yang lebih baik daripada Abu Salamah, iaitu Rasulullah s.a.w. sendiri”.

Di dalam sebuah hadis lagi,4 Abu Sinan menceritakan, 

“Aku baru menguburkan salah seorang anakku yang meninggal dunia. Ketika aku masih berada di perkuburan, tiba-tiba Abu Talhah Al-Aulani memegang tanganku lalu membawa aku keluar dari perkuburan itu dan berkata kepadaku, ‘Mahukah aku sampaikan satu berita gembira kepadamu’.

Aku menjawab, ‘Tentu aku mahu’. Maka Abu Talhah mengatakan bahawa Abu Dahak bin Abdur Rahman telah menceritakan kepadanya bahawa Abu Musa mengatakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah berfirman, ‘Wahai malaikat maut, engkau telah mencabut anak hambaKu, engkau telah mencabut nyawa penyejuk matanya dan buah hatinya’.

Malaikat maut menjawab, ‘Ya’. Allah bertanya, ‘Lalu apakah yang dikatakannya’. Malaikat maut menjawab, ‘Dia memujiMu dan beristirjaa’. Allah berfirman, ‘Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namailah rumah itu sebagai Baitul Hamdi’ “).

 

 


 

1 Muslim.
2 Muslim.
3 Muslim.
4 Ahmad, At-Tirmizi.

Muat turun Perlakuan Orang-Orang Mukmin Yang Bersabar Apabila Ditimpa Musibah