Memaparkan catatan dengan label Ayat Kursi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ayat Kursi. Papar semua catatan

Selasa, 12 Julai 2011

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 7

Disusun oleh Abu Haniff
image
 
Dan Dia adalah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Besar.

Dan Dia adalah Yang Maha Tinggi (di atas segala-segalanya. Zat yang memiliki kelebihan ketinggian yang mutlak dalam segala aspek, sama ada dalam aspek Zat, kekuasaan, sifat, dan keperkasaan. Dialah Zat yang bersemayam di atas ArasyNya, melampaui dan berbeza dari semua makhlukNya. Sedangkan makhlukNya, ketinggian dan kelebihan yang mereka miliki hanyalah ketinggian dan kelebihan yang terbatas, sebagaimana ketinggian yang Allah firmankan di dalam ayat Ali Imran 3:139,imageyang bermaksud, “Dan janganlah kamu menjadi lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi, jika kamu orang-orang yang beriman”, sesungguhnya ketinggian itu adalah terhad bagi orang-orang yang beriman, iaitu lebih tinggi darjatnya dari orang-orang kafir, dan itu bukanlah ketinggian dan kelebihan yang mutlak.

Ketinggian dan kelebihan mutlak hanyalah kepunyaan Allah, kerana Dia Maha Tinggi dan Maha Mulia dari segala kekurangan dan kelemahan. Adapun Maha Tinggi Allah dalam aspek Zat bermaksud bahawa Allah mengatasi segala sesuatu, sedang segala sesuatu itu lebih rendah daripadaNya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Agung.

Dan adapun Maha Tinggi Allah dalam aspek sifat bermaksud bahawa Allah layak dengan segala sifat-sifat yang sangat tinggi darjatnya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat An-Nahl 16:60,imageyang bermaksud, “Dan bagi Allah ialah perbandingan yang tertinggi”, iaitu Allah mempunyai sifat Yang Maha Tinggi.

Setiap sifat yang layak bagi Allah itu adalah sifat yang sempurna, jauh dari sebarang kekurangan dan kelemahan dari segala segi. Tidaklah Dia dapat dibanding dan ditanding dengan sesiapa, apatah lagi dengan orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat.

Tiada Tuhan melainkan Dia, yang mempunyai kesempurnaan yang mutlak dari segala segi. Tetapi terdapat golongan orang-orang yang membatasi ketinggian Allah hanya dalam aspek sifat sahaja, menolak ketinggianNya dalam aspek Zat. Dan mereka ini, mereka terbahagi pula kepada 2 golongan.

Adapun golongan yang pertama, mereka mengatakan bahawa Allah, dengan ZatNya, berada di mana-mana. Dan jika sedemikian halnya, maka mereka itu menganggap bahawa Allah bertempat atau tidak bertempat pada hayyiz, iaitu suatu benda luaran yang wujud yang mengelilingi dan mengandungi sesuatu. Tetapi jika Allah bertempat pada hayyiz, maka tentulah Dia memerlukan tempat-tempat untuk bertempat, dan tidak akan ada satu tempat yang tinggal.

Dan jika Dia tidak bertempat pada hayyiz, maka Dia menjadi tidak wujud. Dan golongan yang pertama ini tidak pula mengatakan bahawa yang tidak bertempat pada hayyiz adalah seperti udara atau yang sepertinya, yang tidak bertempat pada sesuatu hayyiz tetapi wujud. Yang demikian itu kerana tidaklah selari dengan kefahaman mereka.

Adapun golongan yang kedua, mereka mengatakan, “Tidaklah Allah berada di atas dan tidaklah pula di bawah. Tidaklah juga di dalam dan tidak pula di luar. Tidak di kiri dan tidak di kanan. Tidak bergabung dan tidak berpisah”. Sesungguhnya kefahaman sebegini adalah satu penidakan yang mutlak, kerana ianya adalah satu pentakrifan yang sempurna mengenai ketidakwujudan, sehingga sebahagian ulama mengatakan, “Jika kita diminta untuk menerangkan ketidakwujudan, maka tiadalah satu pentakrifan yang lebih komprehensif daripada pentakrifan ini”.

Demikianlah penidakan mereka terhadap apa yang telah ditetapkan oleh naql dan aql, yakni dalil dan rasional, telah mendorong mereka mengatakan apa yang tidak dapat diterima oleh deria persepsi, dan tidak juga oleh naql dan aql. Sesungguhnya terdapat banyak hujah di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang ketinggian Allah, sebagaimana contohnya di dalam ayat Al-Baqarah 2:255 ini, Allah berfirman,image yang bermaksud, “Dan Dia ialah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Besar”. Dan di dalam ayat Al-A'la 87:1, Allah berfirman,imageyang bermaksud, “Muliakanlah nama Tuhanmu Yang Paling Tinggi”. Dan terdapat ayat yang menyatakan keadaan Allah yang di atas makhlukNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-An'am 6:18,imageyang bermaksud, “Dan Dia adalah Yang Maha Menakluk, di atas hamba-hambaNya”. Dan terdapat ayat yang menerangkan bagaimana sesuatu itu naik kepadaNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Fatir 35:10,imageyang bermaksud, “KepadaNyalah kalimat yang baik naik, dan amalan soleh naik mengangkatnya”. Dan sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Ma'arij 70:4,imageyang bermaksud, “Para malaikat dan Ruh itu naik kepadaNya”. Dan terdapat pula ayat yang menerangkan bagaimana sesuatu itu turun daripadaNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat As-Sajadah 32:5,imageyang bermaksud, “Dia mengatur urusan dari langit ke bumi”. Dan sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Hijr 15:5,imageyang bermaksud, “Sesungguhnya Kami, Kamilah yang telah menurunkan Peringatan itu”. Dan terdapat pula ayat yang menegaskan bahawasanya Allah di langit, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Mulk 67:16,imageyang bermaksud, “Apakah kamu merasa aman dari Dia yang di langit, bahawa tidaklah Dia menyebabkan bumi menelan kamu”. Dan di samping ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan tentang ketinggian Allah, terdapat pula hadis-hadis yang menegaskan sedemikian itu.

Di dalam sebuah hadis,1 diriwayatkan ketika Mu’awiyah bin Hakam datang membawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang hamba perempuan berkulit hitam, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada hamba perempuan itu,
“Di manakah Allah”. Ia menjawab, “Di langit”. Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, “Siapakah aku”. Ia menjawab, “Rasulullah”. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bebaskanlah ia, maka sesungguhnya ia adalah seorang mukminah”.
 Dan di dalam sebuah hadis lagi,2 ketika di hadapan perhimpunan kaum muslim semasa menunaikan haji wada’, Rasulullah s.a.w. menunjukkan jarinya ke langit lalu bersabda sebanyak tiga kali, “Ya Allah, saksikanlah”. Dan sesungguhnya manusia ini secara fitrahnya mengakui hakikat bahawa Allah berada di langit. Kerana itulah apabila seseorang itu memohon dan berdoa kepada Tuhannya, maka hatinya akan tergerak untuk mengangkat tangannya ke langit, ke arah Penciptanya Yang Maha Tinggi), Yang Maha Besar (melebihi segala-segalanya, yang memiliki kesempurnaan kebesaran yang mutlak, menghimpun seluruh sifat keagungan, kebesaran, keterpujian, dan keelokan.

Tiadalah sesuatu yang lebih besar dariNya. Dan keagungan segala sesuatu, walau bagaimana besar sifatnya, sesungguhnya ia adalah rendah, tidak ada ertinya di sisi keagungan yang Maha Tinggi dan Yang Maha Besar.

Dengan itu apabila seseorang merasa bangga dengan dirinya sendiri, maka hendaklah ia ingat ketinggian Allah yang mengatasi segala sesuatu, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Agung. Dan apabila seseorang menyangka dirinya besar, maka ingatlah akan kebesaran Allah. Lalu ingatlah supaya tidak dilanggar akan hak orang lain, sebagaimana firmanNya di dalam ayat An-Nisa' 4:34 tentang para isteri yang taat,imageyang bermaksud, “Kemudian jika mereka telah mentaatimu, maka janganlah kamu mencari terhadap mereka sebab. Sesungguhnya Allah, adalah Dia Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.

Sesungguhnya Allah, Dia adalah Zat yang secara mutlak tidak ada sesuatu pun yang boleh mencegah kehendakNya, dan tidak ada sesuatu yang sanggup melemahkanNya. Inilah ayat Kursi. Satu ayat yang disebutkan sebagai ayat yang paling agung di dalam Kitabullah.

Di dalam sebuah hadis,3 Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’b,
“Apakah ayat yang paling agung di dalam Kitabullah”. Ubay menjawab, “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui”. Rasulullah s.a.w. mengulangi pertanyaannya beberapa kali, dan Ubay menjawab, “Ayat Kursi”. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tahniah kepadamu kerana memiliki ilmu itu, wahai Abu Munzir. Demi yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya  ayat ini mempunyai lidah dan sepasang bibir yang menyucikan Allah di sisi tiang Arasy”.
Dan di dalam ayat Kursi ini terdapat nama Allah yang paling agung. Di dalam sebuah hadis,4 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang ayat Kursi dan ayat Ali Imran 3:1-2 dengan sabdanya,
“Sesungguhnya di dalam kedua ayat tersebut terdapat nama Allah yang paling agung”.
Dan ayat Kursi ini seharusnya dibaca selepas setiap solat fardu kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadis5 dengan sabdanya,
“Barang siapa yang membaca ayat Kursi selepas satu solat fardu, ia akan berada di bawah pemeliharaan Allah sehingga solat fardu seterusnya”.
Di dalam sebuah hadis yang lain,5 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barang siapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, maka tiada yang mencegahnya dari dimasukkan ke syurga melainkan mati”.
Dan keutamaan ayat Kursi di dalam memelihara seseorang dari gangguan syaitan telah diceritakan oleh Abu Hurairah di dalam sebuah hadis,7
“Rasulullah s.a.w. telah melantik diriku untuk menjaga zakat Ramadan. Kemudian datang kepadaku seorang pendatang baru, lalu dia dengan tergesa-gesa meng­ambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku menangkapnya dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w.’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku adalah orang miskin, dan ke atasku tanggungan yang ramai, dan bagiku keperluan yang mendesak’.Aku membebaskannya.

Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. ber­tanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan yang mendesak, dan tanggungan yang ramai, hingga aku kasihan kepadanya, maka aku bebaskan dia’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu dan dia pasti akan kembali lagi’.

Aku mengetahui bahwa dia akan kembali karena sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahwa dia akan kembali. Oleh itu aku menghendapnya. Ternyata dia datang lagi, lalu tergesa-gesa mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku tangkap dia, dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w.’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku adalah orang miskin, dan ke atasku tanggungan yang ramai, aku tidak akan kembali lagi’.

Aku merasa kasihan kepadanya dan aku bebaskan dia. Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. ber­tanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan dan tanggungan yang ramai, hingga aku kasihan kepadanya, maka aku bebaskan dia’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu dan dia pasti akan kembali lagi’.

Oleh itu aku menghendapnya untuk ketiga kalinya. Ternyata dia datang lagi, lalu tergesa-gesa mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku tangkap dia, dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w., dan ini adalah kali ketiga bahawasanya engkau tegaskan bahawa engkau tidak akan kembali lagi, kemudian engkau kembali juga’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, akan aku ajar engkau beberapa kalimat yang Allah akan memberi manfaat kepadamu kerananya’.

Aku bertanya, ‘Dan apakah ia’. Dia menjawab, ‘Apabila engkau membawa dirimu untuk berehat ke hamparan tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi,
imageyang bermaksud: Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Berdiri SendiriNya”, hingga engkau selesaikan ayat ini.

Maka sesungguhnya Allah akan menentukan kepada engkau seorang pengawal yang akan terus‑menerus bersamamu, dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi harinya’. Maka aku bebaskan dia.

Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. ber­tanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mendakwa bahawa dia mengajarkan aku beberapa kalimat yang Allah akan memberi manfaat kepadaku kerananya, maka aku bebaskan dia’. Rasulullah s.a.w. bertanya, ‘Apakah kalimat­-kalimat itu’. Aku menjawab, ‘Dia mengatakan kepadaku: Apabila engkau membawa dirimu untuk berehat ke hamparan tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi dari awalnya hingga engkau selesaikan ayat itu, yaitu,imageyang bermaksud: Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang berdiri sendiriNya. Dan dia berkata kepadaku: Allah akan menentukan kepada engkau seorang pengawal yang akan terus‑menerus bersamamu, dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi harinya’.

Sedangkan mereka para sahabat adalah orang‑orang yang paling suka kepada kebaikan. Maka Nabi s.a.w. bersabda, ‘Adapun sesungguhnya dia telah bercakap benar kepadamu, sedangkan dia adalah seorang pendusta. Tahukah engkau siapakah orang yang engkau bercakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah’. Aku menjawab, ‘Tidak’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Itulah syaitan’ ”). 

 

 

 

 

 


 

1 Ahmad, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, Malik, Syafii
2 Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah
3 Ahmad
4 Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi
5 At-Tabrani
6 Ibnu Murdawaih, An-Nasa’i, At-Tabrani, Ibnu Sunni, Ibn Hibban
7 Bukhari, An-Nasa’i

Muat Turun Tafsir Ayat Kursi – Bahagian 7

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 6

Disusun oleh Abu Haniff
image 
KursiNya meliputi semua langit dan bumi, dan tidaklah Dia merasa penat memelihara keduanya
KursiNya (iaitu satu makhlukNya yang agung) meliputi semua langit dan bumi (seumpama satu padang pasir yang luas dibandingkan dengan satu gelang. Ia di atas langit dan di bawah Arasy yang lebih besar darinya. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.,1 mengenai ayat ini,
image
yang bermaksud, “KursiNya meliputi semua langit dan bumi”, dia berkata bahawa yang dimaksudkan dengan Kursi ialah tempat meletak kedua kaki. Sementara Arasy tidak boleh dipastikan kadarnya oleh seseorang pun. Di kalangan ahli bahasa, mereka sepakat akan makna Kursi, iaitu sesuatu yang diletakkan di bawah singgahsana, di mana di Kursi itu para raja bersandar, duduk, dan meletakkan kedua kaki mereka.
Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi menjadi tidak ada apa di sisi Kursi. Ia hanyalah seumpama satu gelang yang dicampak ke dalam satu padang pasir. Dan seumpama itu pula apabila Kursi dibandingkan dengan Arasy”.
Demikianlah luasnya dan besarnya dua makhluk Allah itu, yang bagi manusia adalah termasuk sebagai perkara yang ghaib. Sedemikian itu Allah berfirman di dalam ayat Qaf 50:6,
image
yang bermaksud, “Apakah maka tidaklah mereka melihat kepada langit di atas mereka bagaimana Kami membinanya dan Kami menghiasinya, dan tidaklah ia mempunyai sebarang rekahan”, dan tidaklah Allah berfirman, “Apakah maka tidaklah mereka melihat kepada Kursi atau Arasy di atas mereka”, kerana kedua-duanya adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia.

Sekiranya tidaklah Allah memberitahu mereka mengenainya, maka tidaklah mereka mengetahui tentangnya), dan tidaklah Dia merasa penat memelihara keduanya (langit dan bumi serta semua makhluk yang ada pada keduanya. Bahkan mengatur, mengawasi, dan menjamin tujuh petala langit dan bumi itu adalah mudah dan ringan bagi Allah. Dan seandainya bukan kerana penjagaan dan pemeliharaan Allah, pasti keduanya telah binasa.

Di dalam ayat Fatir 35:41, Allah berfirmanimage
yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, Dia memegang dengan teguh segala langit dan bumi supaya jangan sampai keduanya tidak berada pada tempatnya. Dan sesungguhnya jika keduanya tidak berada pada tempatnya, tiadalah seseorang yang dapat memegang dengan teguh keduanya selepasNya”.

Dan di dalam ayat Al-Haj 22:65, Allah berfirman,
image
yang bermaksud, “Dan Dia menahan langit itu supaya tidaklah ia jatuh ke atas bumi melainkan dengan izinNya”.

Dan di dalam ayat Al-Haj 22:40, Allah berfirman
image
yang bermaksud, “Dan kalaulah tidak kerana pencegahan Allah, manusia itu sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, pastinya telah dirobohkan biara-biara, dan gereja-gereja, dan synagogue-synagogue, dan masjid-masjid, yang disebut di dalamnya nama Allah dengan banyaknya”.

Sesungguhnya segala sesuatu itu hina, tunduk dan patuh di hadapanNya. Mereka semuanya berhajat kepadaNya, sedangkan Dia Maha Kaya, lagi Maha Terpuji, dengan kesempurnaan ilmu, kemampuan, kekuasaan dan rahmat, serta sifat-sifat lain yang disifatkan kepadaNya yang perlu bagi penjagaan dan pemeliharaan keduanya).



1 Al-Darimi, At-Tabari, At-Tabrani, Ad-Daraqutni, Al-Baihaqi, Al-Hakim, Ibnu Abu Hatim
2 Ibnu Abu Syaibah, Al-Baihaqi. Al-Albaani mengatakan bahawa tidak ada satu pun hadis sahih dari Rasulullah s.a.w. mengenai ayat Al-Kursi melainkan hadis ini sahaja

Muat Turun Tafsir Ayat Kursi – Bahagian 6

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 5

Disusun oleh Abu Haniff
imageDia mengetahui apa yang di antara tangan mereka, dan apa yang di belakang mereka. Dan mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmuNya melainkan dengan apa yang Dia kehendaki.

Dia mengetahui (dengan pengetahuan yang komprehensif dan sempurna, menyeluruh dan terperinci) apa yang di antara tangan mereka, (iaitu segala apa yang terjadi kepada makhlukNya di dunia ini, sama ada pada masa yang lalu ataupun pada masa sekarang), dan apa yang di belakang mereka, (iaitu segala apa yang akan berlaku di akhirat kelak.

Di dalam ayat Maryam 19:64, Allah memfirmankan kata-kata para malaikat,imageyang bermaksud, “Dan tidaklah kami menuruni dengan perlahan dan beransur-ansur melainkan dengan perintah Tuhanmu. KepunyaanNyalah apa yang di antara kedua tangan kami, dan apa yang di belakang kami, dan apa yang di antara yang demikian itu. Dan bukanlah Tuhanmu pelupa” ).

Dan mereka (yang Allah mengetahui segala apa yang terjadi pada mereka itu) tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmuNya melainkan dengan apa yang Dia kehendaki (mereka mengetahuinya.

Pertamanya mereka tidak mengetahui apa yang Allah mengetahui melainkan apa yang Allah beritahu kepada mereka dan apa yang Allah perlihatkan kepada mereka, walaupun sesuatu tentang diri mereka sendiri. Mereka tidak mengetahui tentang kewujudan para malaikat dan kewujudan langit yang tujuh sekiranya Allah tidak memberitahunya. Bahkan ramai di antara mereka yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara yang telah dikehendakiNya untuk mereka mengetahuinya.

Keduanya mereka tidak mengetahui apa-apa pun tentang Zat dan sifat-sifatNya melainkan apa yang Dia kehendaki mereka mengetahuinya, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Taha 20:110,imageyang bermaksud, “Sedang mereka tidak mengetahuinya akan ilmuNya”.

Sememangnya sedemikianlah, Dia yang memberitahu mereka menjadi tahu bahawa Dia istiwa’ di atas Arasy, dan Dia yang menganjur mereka melalui lidah RasulNya bahawa Dia turun ke langit dunia, dan begitulah dengan sifat-sifatNya yang lain. Mereka tidak mempunyai ilmu mengenai semuanya itu melainkan apa yang Dia menghendaki mereka mengetahuinya, maka Dia akan menjadikan ianya diketahui oleh mereka.

Sedemikian itu, maka tidaklah wajar bagi mereka melakukan takyif, iaitu menetapkan suatu kaedah atau menetapkan ‘bagaimana’ bagi sifat-sifat Allah, kerana Dia tidak memberitahu tentang bagaimana keadaanNya. Maka sekiranya ditetapkan suatu kaedah ilmu tentang kaifiyah, iaitu tentang ‘bagaimana’nya sifat-sifatNya, sesungguhnya yang demikian itu adalah satu pembohongan.

Sesungguhnya ilmu makhluk itu serba kekurangan, tidaklah dapat dibandingkan dengan kesempurnaan ilmu Allah. Dan demikianlah pula kesempurnaan sifat-sifatNya dibandingkan dengan kelemahan dan kekurangan sifat-sifat para makhlukNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Ar-Rahman 55:26-27,imageyang bermaksud, “Setiap seseorang yang berada di atasnya adalah tertakluk kepada kebinasaan. Tetapi wajah Tuhanmu, yang memiliki kehebatan dan keagungan serta kemuliaan, kekal”.

Dengan itu ikhlaskanlah beribadah kepada Zat yang Maha meliputi lagi mengetahui segala sesuatu, yang tidak tersembunyi dariNya sesuatu apa pun, dan tidaklah patut ibadat itu ditujukan kepada sesuatu yang tidak mengetahui dan mengerti).

 

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 4

Disusun oleh Abu Haniff
imageSiapakah ia yang memberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. 

Siapakah ia yang memberi syafaat (iaitu menjadi perantara untuk memohon kebaikan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. (Sesungguhnya tiada siapa yang dapat memberi syafaat kepada sesiapa jika Allah menghendaki untuk menghukum orang berkenaan. Hinggakan Rasulullah s.a.w. yang mempunyai kedudukan yang tertinggi di sisi Allah tidak boleh menjadi perantara denganNya untuk sesiapa pun melainkan terlebih dahulu diizinkan Allah.

Keizinan dari Allah akan diberi kepada Rasulullah s.a.w. ketika dia datang bersujud kepada Allah dengan menyuci dan memujiNya sebagaimana ditunjukkan oleh Allah. Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Aku akan datang ke bawah Arasy, lalu aku jatuh bersujud. Kemudian Allah membiarkan aku dalam keadaan demikian menurut apa yang dikehendakiNya. Kemudian Dia berfirman, “Angkatlah kepalamu dan katakanlah apa yang engkau kehendaki, engkau akan didengari, dan jadilah perantara, perantaraanmu atau syafaatmu diterima”.
Rasulullah s.a.w. selanjutnya bersabda,
“Maka Allah menghadkan kepadaku satu had, lalu aku masukkan mereka ke syurga”.
Demikianlah keagungan dan kebesaran serta ketinggian Allah, dan juga kesempurnaan kekuasaanNya bahawa tiada seorang pun yang dapat menjadi perantara dengan Allah kecuali terlebih dahulu diizinkan olehNya, sebagaimana firmanNya di dalam ayat Az-Zumar 39:44,imageyang bermaksud, “Katakanlah, ‘Kepunyaan Allahlah syafaat itu kesemuanya. KepunyaanNyalah kerajaan segala langit dan bumi’ ”. Dan orang yang menjadi perantara itu hendaklah seseorang yang diredaiNya, dan orang yang memerlukan pengantaraan itu hendaklah juga orang yang diredaiNya, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat An-Najm 53:26imageyang bermaksud, “Dan berapa banyaknya malaikat di segala langit, tidaklah syafaat mereka memberi makna apa-apa pun melainkan sesudah bahawa Allah memberi izin bagi orang yang Dia kehendaki dan Dia reda”. Dan sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Anbia' 21:28,imageyang bermaksud, “Dan tidaklah mereka memberi syafaat melainkan bagi barang siapa yang Dia merasa reda”.

Demikian itu terdapat tiga syarat untuk syafaat itu menjadi sah. Pertama ialah mendapat izin Allah, kedua ialah Allah reda terhadap orang yang diizinkan memberi syafaat, dan ketiga ialah Allah reda terhadap orang yang dimohonkan syafaat tersebut. Dan Allah tidak akan reda dengan seseorang melainkan ia mengesakan Allah dan mengikuti para rasulNya.

Adapun syafaat itu ada dua kategori. Kategori pertama, syafaat di dunia, iaitu menjadi perantara dalam menghadapi orang-orang yang memiliki kedudukan dan kekuasaan untuk menyelesaikan keperluan seseorang, dan mengembalikan hak-hak kepada pemiliknya. Yang demikian itu diperbolehkan selagi keperluan itu sesuai dengan syarak, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat An-Nisa' 4:85,imageyang bermaksud, “Sesiapa yang memberikan syafaat dengan syafaat yang baik, adalah baginya bahagian daripadanya. Dan sesiapa yang memberikan syafaat dengan syafaat yang buruk, adalah baginya bahagian yang sama daripadanya. Dan adalah Allah ke atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa”.

Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Berikanlah syafaat, kamu akan beroleh pahala, tetapi Allah akan memutuskan melalui lisan NabiNya s.a.w. apa yang Dia kehendaki”.
Dan kategori kedua ialah syafaat di akhirat. Syafaat ini sangat berbeza dengan syafaat di dunia, dan ianya terbahagi pula kepada dua kategori. Kategori pertama ialah syafaat eksklusif, yang mana ianya khusus untuk Rasulullah s.a.w. sahaja tanpa ada makhluk lain yang mendapat keistimewaan itu, dan kategori kedua ia syafaat umum, yang mana bukanlah terhad untuk Rasulullah s.a.w. sahaja, tetapi diberikan juga kepada para malaikat, para nabi yang lain, dan orang-orang yang soleh seperti para ulama dan para syhuhada.

Bagi syafaat eksklusif untuk Rasulullah s.a.w., terdapat padanya beberapa jenis.

Yang pertama ialah syafaat yang agung, iaitu syafaat Nabi s.a.w. untuk ahlul-mauqif, orang-orang yang berdiri di padang mahsyar. Ia adalah sebahagian daripada al-maqam al-mahmud, iaitu darjat kemuliaan dan kepujian, yang dengannya Nabi s.a.w. diunggulkan, dan yang dengannya Nabi s.a.w. akan dimuliakan oleh seluruh makhluk, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Isra' 17:79,imageyang bermaksud, “Dan sebahagian dari waktu malam, maka berjaga malamlah mengerjakan solat dengannya sebagai tambahan dari yang diwajibkan kepadamu. Mungkin Tuhanmu membangkitkan engkau dari mati ke kedudukan yang dipuji”.

Di dalam sebuah hadis,3 diriwayatkan Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa pernah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. daging, lalu diangkatkan kepadanya bahagian kaki, dan adalah itu dia menyukainya. Lalu dia memakan darinya secebis, kemudian dia bersabda,
“Aku adalah penghulu manusia pada hari kiamat kelak, dan adakah kamu mengetahui mengapa demikian. Allah akan menghimpunkan yang awalnya dan yang akhirnya pada satu padang. Didengarkan kepada mereka seorang yang menyeru, dan penglihatan menyelubungi mereka. Dan matahari menjadi dekat, lalu manusia menjadi tidak tertanggung dari keseksaan dan penderitaan itu, bahawa tidaklah mereka menjadi berupaya, dan tidak sanggup menanggung.

Maka sebahagian manusia berkata kepada sebahagian yang lain, “Apakah tidak kamu melihat apa yang kamu terhadapnya sesungguhnya tidak tertanggung oleh kamu. Apakah tidak kamu mencari seseorang yang dapat menjadi perantara untuk kamu kepada Tuhan kamu”.

Maka sebahagian manusia berkata kepada sebahagian yang lain, “Untuk kamu melalui Adam”. Maka mereka datang kepada Adam a.s, lalu mereka berkata, “Wahai Adam, engkau adalah bapa manusia. Allah telah menjadikan engkau dengan tanganNya, dan Dia telah menghembuskan ke dalammu rohNya, dan Dia telah memerintahkan para malaikat, lalu mereka sujud kepadamu. Oleh itu, jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Adam berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya. Dan sesungguhnya Dia telah melarangku dari pokok itu, lalu aku telah mengingkari. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Nuh”.

Maka mereka datang kepada Nuh, lalu mereka berkata, “Wahai Nuh, engkau adalah pertama-tama rasul kepada penghuni dunia, dan Allah telah menamakan engkau sebagai seorang hamba yang bersyukur. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Nuh berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya, tidak selama-lamanya. Dan sesungguhnya aku pernah mempunyai satu doa yang aku doakannya terhadap kaumku. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Ibrahim”.

Maka mereka datang kepada Ibrahim, lalu mereka berkata, “Wahai Ibrahim, engkau adalah seorang nabi Allah dan kekasihNya di antara penghuni dunia. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya”. Maka Ibrahim menyebut beberapa kedustaannya. “Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Musa”.

Maka mereka datang kepada Musa, lalu mereka berkata, “Wahai Musa, engkau adalah seorang rasul Allah. Allah telah memilihmu, dengan risalahNya dan dengan perbualanNya, melebihi manusia yang lain. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Musa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya. Dan sesungguhnya aku pernah membunuh seseorang yang tidaklah Dia memerintahkan dengan pembunuhannya. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Isa”.

Maka mereka datang kepada Isa, lalu mereka berkata, “Wahai Isa, engkau adalah seorang rasul Allah, dan kalimatNya yang Dia campakkan kepada Maryam, dan roh dariNya. Dan engkau berkata-kata kepada manusia semasa di dalam buaian sebagai seorang bayi lelaki. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya”. Dan tidaklah Isa menyebut sebarang dosa. “Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Muhammad”.

Maka mereka datang kepada Muhammad, lalu mereka berkata, “Wahai Muhammad, engkau adalah seorang rasul Allah dan penamat para nabi. Dan Allah telah mengampunimu apa yang terdahulu dari dosa-dosamu dan apa yang kemudian. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka aku akan berdiri, lalu aku datang ke bawah Arasy. Lalu aku jatuh dalam keadaan bersujud kepada Tuhanku. Kemudian Allah membuka untukku dan mengilhami aku tentang puji-pujianNya dan puji-pujian yang baik kepadaNya apa yang belum pernah Dia membukanya kepada seseorang sebelumku. Lalu Allah berfirman, “Wahai Muhammad, angkatkanlah kepalamu, dan mintalah, engkau akan diberikan dengannya. Dan jadilah sebagai perantara, engkau diberi izin menjadi perantara”.

Lalu aku mengangkat kepalaku, dan aku bersabda, “Umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku”. Maka Allah berfirman, “Wahai Muhammad, masukkanlah mana-mana umatmu orang-orang yang tiada hisab ke atasnya dari pintu kanan dari pintu-pintu syurga. Dan mereka yang lain sama-sama berkongsi terhadap yang lainnya dari pintu-pintu itu”.

Kemudian dia bersabda, “Demi yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya jarak di antara dua tiang pintu dari tiang-tiang pintu syurga sama dengan jarak di antara Mekah dengan Hajar, atau sama dengan jarak di antara Mekah dengan Busra”.
Yang kedua, syafaat Nabi s.a.w. kepada penghuni syurga agar mereka segera masuk syurga, kerana penghuni syurga ketika melewati jambatan, mereka diberhentikan di tengah jambatan yang ada di antara syurga dan neraka. Pintu syurga itu terbuka kerana syafaat Nabi s.a.w..

Di dalam sebuah hadis,4 diriwayatkan Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Aku akan datang ke pintu syurga pada hari kiamat, lalu aku meminta ianya dibukakan. Lalu penjaganya berkata, ‘Siapakah engkau’. Lalu aku bersabda, ‘Muhammad’. Maka penjaga itu berkata, ‘Aku telah diperintahkan supaya tidak membuka kepada seseorang pun sebelummu’ ”.
Yang ketiga, syafaat Nabi s.a.w.kepada bapa saudaranya, Abu Talib yang telah melindunginya dan memberi sokongan kepada perjuangan Nabi s.a.w..

Di dalam sebuah hadis,6 diriwayatkan Said Al-Khudri mengatakan bahawasanya bapa saudara Rasulullah s.a.w. Abu Talib telah disebut di sisi Rasulullah s.a.w., lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Semoga syafaatku akan memberi manfaat kepadanya pada hari kiamat, lalu ia diletakkan di dalam bahagian neraka yang di atas, yang mana apinya akan mencapai kedua tumitnya, lalu otaknya akan menggelegak kerananya”.
Yang keempat, syafaat Nabi s.a.w. supaya segolongan dari kalangan umatnya memasuki syurga tanpa dihisab, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis no. 3 di atas, di mana Abu Hurairah menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman,
“Wahai Muhammad, angkatkanlah kepalamu, dan mintalah, engkau akan diberikan dengannya. Dan jadilah sebagai perantara, engkau diberi izin menjadi perantara”. Lalu aku mengangkat kepalaku, dan aku bersabda, “Umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku”. Maka Allah berfirman, “Wahai Muhammad, masukkanlah mana-mana umatmu orang-orang yang tiada hisab ke atasnya dari pintu kanan dari pintu-pintu syurga. Dan mereka yang lain sama-sama berkongsi terhadap yang lainnya dari pintu-pintu itu”.
Dan bagi syafaat umum, terdapat pula beberapa jenis.

Yang pertama, syafaat untuk mengeluarkan orang-orang yang berdosa dari seksa neraka. Di dalam sebuah hadis,6 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya demi Yang jiwaku di dalam tanganNya, tiadalah dari kalangan kamu seseorang pun yang lebih mendesak dari orang-orang mukmin pada hari kiamat memohon Allah mengkaji haknya untuk memberi syafaat kepada saudara-saudaranya yang di dalam neraka. Mereka berkata, ‘Tuhan kami, adalah mereka itu bersama-sama kami berpuasa dan menunaikan haji’.

Lalu dikatakan kepada mereka, ‘Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal’. Maka diharamkan neraka ke atas mereka, dan mereka mengeluarkan sejumlah orang yang banyak. Dan Allah berfirman, ‘Para malaikat telah memberi syafaat, para nabi telah memberi syafaat, dan orang-orang mukmin telah memberi syafaat.

Dan tiadalah yang tertinggal melainkan Yang Paling Mengasihani dari yang mengasihani’. Maka Dia menggenggam segenggam dari neraka, lalu Dia mengeluarkan darinya orang-orang yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan”.
Yang kedua, syafaat bagi orang-orang yang layak dimasukkan ke neraka supaya tidaklah mereka dimasukkan ke dalamnya.

Yang ketiga, syafaat untuk meninggikan darjat orang-orang yang beriman berupa doa Nabi s.a.w. kepada orang-orang yang beriman dan doa orang-orang yang beriman sesama mereka.

 


 

1 Muslim
2 Bukhari
3 Bukhari, Muslim
4 Muslim
5 Bukhari, Muslim
6 Muslim