Isnin, 7 Mei 2012

Penjelasan Bacaan Dalam Solat - 5. Iktidal

Disusun oleh Abu Haniff
Hadis 5.1
Abu Hurairah r.a. berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila dia berdiri untuk solat, dia bertakbir apabila berdiri, kemudian dia bertakbir apabila rukuk, kemudian dia mengucapkan, سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ, yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya’, apabila dia menaikkan tulang belakangnya dari rukuk. Kemudian dia mengucapkan semasa dia sedang berdiri, ‘رَبَّنَا وَلَكَ ٱلْحَمْدُ’, yang bermaksud, ‘Wahai Tuhan kami, dan bagiMu segala puji-pujian’. Kemudian dia bertakbir apabila turun, kemudian dia bertakbir apabila dia menaikkan kepalanya, kemudian dia bertakbir apabila dia sujud, kemudian dia bertakbir apabila dia menaikkan kepalanya. Kemudian dia mengerjakan yang demikian itu di dalam solat keseluruhannya sehingga menyempurnakannya. Dan juga dia bertakbir apabila dia berdiri dari yang kedua setelah duduk”. (Bukhari, Muslim, An-Nasa’i, Al-Baihaqi)
 
Hadis 5.2
Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi s.a.w. bahawasanya dia pernah bersabda, “Hanya sanya dijadikan imam itu untuk diikuti, maka janganlah kamu bercanggah dengannya. Lalu apabila dia rukuk, maka kamu rukuklah. Dan apabila dia mengucapkan, ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya’, maka kamu ucapkanlah, ‘رَبَّنَا لَكَ ٱلْحَمْدُ’, yang bermaksud, ‘Wahai Tuhan kami, bagiMu segala puji-pujian’. Dan apabila dia sujud, maka kamu sujudlah. Dan apabila dia solat secara duduk, maka kamu solatlah secara duduk kesemuanya. Dan luruskan saf di dalam solat, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu adalah tergolong dari kesempurnaan solat”. (Bukhari)
 
Hadis 5.3
Dari Abu Hurairah r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, “Apabila imam mengucapkan, ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya’, maka kamu ucapkanlah, ‘اَللّٰهُمَّ رَبَّنَا لَكَ ٱلْحَمْدُ’, yang bermaksud, ‘Ya Allah, Tuhan kami, bagiMu segala puji-pujian’. Kerana sesungguhnya barang siapa yang ucapannya bersamaan dengan ucapan malaikat, diampuni baginya apa yang lalu dari dosa-dosanya”. (Bukhari, Muslim)
 
Hadis 5.4
Dari Rifa’ah bin Rafi’, dia berkata, “Adalah pada suatu hari kami pernah menunaikan solat di belakang Nabi s.a.w., lalu ketika dia mengangkat kepalanya dari rukuk, dia mengucapkan, ‘سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ’, yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya’, seorang lelaki di belakangnya berkata, ‘رَبَّنَا وَلَكَ ٱلْحَمْدُ، حَمْدًا كَثِيْرًا طَيـِّـــبًا مُبَارَكًا فِيْهِ’, yang bermaksud, ‘Wahai Tuhan kami, dan bagiMu segala puji-pujian. Pujian-pujian yang banyak, yang baik, yang penuh berkah di dalamnya’. Lalu setelah selesai solat, Nabi s.a.w. bersabda, ‘Siapakah yang berkata-kata itu’. Lelaki itu menjawab, ‘Saya’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Aku melihat sekitar 30 malaikat berlumba-lumba siapakah di antara mereka yang menulisnya terlebih dahulu’ ”. (Bukhari, Malik, Abu Daud, An-Nasa’i, Al-Baihaqi, Ahmad)
 
Hadis 5.5
Dari Ibnu Abu Aufa, dia berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w., apabila dia mengangkat punggungnya dari rukuk, dia mengucapkan,
PIktidal1
yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya. Ya Allah, Tuhan kami, bagiMu segala puji-pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki setelah itu’ ”. (Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah, Al-Baihaqi, Ahmad)
 
Hadis 5.6
Dari Ali bin Abi Talib, dia berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila dia mengangkat kepalanya dari rukuk, dia mengucapkan,
PIktidal2
yang bermaksud, ‘Allah mendengar orang yang memujiNya. Tuhan kami, dan bagiMu segala puji-pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang keduanya, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki setelah itu’ ”. (At-Tirmizi, Abu Daud)
 
Hadis 5.7
Dari Ibnu Abbas r.a., bahawasanya Nabi s.a.w., adalah apabila dia mengangkatkan kepalanya dari rukuk, dia mengucapkan,
PIktidal3
yang bermaksud, “Ya Allah, Tuhan kami, bagiMu segala puji-pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi dan apa yang di antara keduanya, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki setelah itu. Yang empunya puji-pujian dan keagungan. Tiada yang dapat menahan terhadap apa yang Engkau berikan, dan tiada yang dapat memberi terhadap apa yang Engkau tahan. Dan tidaklah menjadi berguna kepada orang yang memiliki keagungan untuk menahan dari azabMu akan keagungan itu”. (Muslim)
 
Hadis 5.8
Dari Abi Said Al-Khudri, dia berkata, “Adalah Rasulullah s.a.w. apabila dia mengangkatkan kepalanya dari rukuk, dia mengucapkan,
PIktidal4
yang bermaksud: Tuhan kami, bagiMu segala puji-pujian, sepenuh langit dan sepenuh bumi, dan sepenuh apa yang Engkau kehendaki setelah itu. Yang empunya puji-pujian dan keagungan. Yang paling wajar apa yang seorang hamba itu mengatakan, dan kesemua kami bagiMu adalah hamba, ‘Ya Allah, tiada yang dapat menahan terhadap apa yang Engkau berikan, dan tiada yang dapat memberi terhadap apa yang Engkau tahan. Dan tidaklah menjadi berguna kepada orang yang memiliki keagungan untuk menahan dari azabMu akan keagungan itu’ ”. (Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i)
 
Hadis 5.9
Dari Huzaifah, bahawasanya dia pernah solat bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. pada suatu malam, dan dia mendengar Rasulullah s.a.w. apabila bertakbir, Rasulullah s.a.w. mengucapkan, ‘ذُوﭐلْمَلَكُوتِ وَﭐلْجَبَرُوتِ وَﭐلْكِبْرِيَاءِ وَﭐلْعَظَمَة اَللهُ أَكْبَرُ’. Dan adalah Rasulullah s.a.w. mengucapkan di dalam rukuknya, ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ ﭐلْعَظِيمِ’. Dan apabila Rasulullah s.a.w. mengangkatkan kepalanya dari rukuk, dia mengucapkan, ‘لِرَبِّيَ ﭐلْحَمْدُ، لِرَبِّيَ ﭐلْحَمْدُ’, yang bermaksud, ‘Bagi Tuhankulah segala puji-pujian itu, bagi Tuhankulah segala puji-pujian itu’, dan di dalam sujudnya, ‘سُبْحَانَ رَبِّيَ ﭐلْأَعْلَى’, dan di dalam di antara dua sujud, ‘رَبِّ ﭐغْفِرْ لِي رَبِّ ﭐغْفِرْ لِي’. Dan adalah berdirinya, dan rukuknya, dan apabila dia mengangkat kepalanya dari rukuk, dan sujudnya, dan yang di antara dua sujud adalah lamanya hampir sama. (An-Nasa’i, Abu Daud)

Muat turun Penjelasan Bacaan Dalam Solat 5. Iktidal

Tiada ulasan:

Catat Ulasan