Selasa, 12 Julai 2011

Ihsan

Disusun oleh Abu Haniff
 

Dan adapun ihsan, penjelasan tentangnya ialah sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. sabdakan di dalam sebuah hadis1 ketika dia menjawab soalan yang dimajukan oleh Jibril a.s. kepadanya,
“Beritahukanlah kepadaku tentang ihsan”. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Tetapi jika tidaklah engkau melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”.
Dan berbuat ihsan itu, maka sesungguhnya Allah memerintahkan supaya berbuat ihsan di dalam setiap sesuatu dan terhadap setiap sesuatu, sebagaimana yang Dia perintahkan dengan firmanNya di dalam ayat An-Nahl 16:90,
clip_image002yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah menyuruh yang adil dan juga ihsan”.

Dan adapun berbuat adil, ia dijelaskan dengan indahnya oleh Muhammad bin Ka’b kepada Umar bin Abdul Aziz, sebagaimana yang diceritakan oleh Muhammad bin Ka’b di dalam sebuah athar, di mana dia berkata,2
“Umar bin Abdul Aziz pernah memanggil aku lalu berkata, ‘Terangkan kepadaku tentang keadilan’. Aku berkata, ‘Bagus, engkau bertanya tentang perkara yang besar. Jadilah engkau ayah untuk anak kecil, anak untuk orang tua, saudara untuk yang sebaya, dan untuk kaum perempuan demikian pula. Kemudian jatuhkanlah hukuman kepada manusia sesuai dengan dosa dan ukuran tubuhnya. Dan janganlah engkau memukul kerana marahmu dengan sekali sebatan sehingga engkau termasuk di dalam golongan orang yang melampaui batas’ ”.
Sedemikianlah Allah menyuruh berbuat adil dengan wajar, sederhana dan seimbang. Tidak cenderung kerana hawa nafsu, tidak terpengaruh dengan emosi kasih dan benci, tidak berubah kerana memelihara hubungan kekeluargaan, tidak terpesong kerana kaya dan miskin, atau kerana kuat dan lemah. Keadilan itu tetap berjalan lurus memberi sukatan dan pertimbangan yang sama kepada semua orang. Allah berfirman di dalam ayat Al-Maidah 5:8,
clip_image002[15]
yang bermaksud, “Dan janganlah kebencian kepada suatu kaum mendorong kamu ke dalam dosa, dengan bahawa kamu tidak berlaku adil. Berlaku adillah, ia adalah lebih dekat kepada takwa. Dan takutlah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Memaklumi dengan apa yang kamu lakukan”.

Demikianlah penjelasan tentang keadilan, tetapi ihsan, ia sesungguhnya menjangkau melebihi yang demikian itu. Ia mempunyai pengertian yang amat luas. Ia merangkumi dua kaedah, iaitu kaedah mengerjakan sesuatu amalan itu sebaik-baiknya, dan juga kaedah berlaku sebaik-baiknya terhadap orang lain.

Setiap perbuatan yang baik adalah semuanya ihsan. Ia adalah memberi respons terhadap sesuatu perbuatan yang baik dengan perbuatan yang lebih baik, atau memberi respons kepada kejahatan dengan pemaafan. Mengerjakan amalan-amalan yang difardukan adalah berbuat adil, sedangkan menjangkaui melebihi yang demikian itu untuk mengerjakan yang sunatnya dengan sebaik mungkin adalah ihsan.

Di dalam banyak ayat-ayat yang lain, Allah menggabungkan perintah untuk berbuat adil dan ihsan, sebagaimana firmanNya di dalam ayat An-Nahl 16:126,  
clip_image002[1]
yang bermaksud, “Dan jika kamu menghukum, maka hukumlah dengan seumpama apa yang kamu telah disakiti dengannya. Dan sesungguhnya jika kamu bersabar, pastinya ia adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar”. Adapun firmanNya,
clip_image002[3]
yang bermaksud, “Maka hukumlah dengan seumpama apa yang kamu telah disakiti”, ianya adalah perintah untuk berbuat adil, dan firmanNya,
clip_image002[5]
yang bermaksud, “Dan sesungguhnya jika kamu bersabar”, ianya adalah perintah untuk berbuat ihsan. Di dalam ayat Asy-Syura 42:40, Allah berfirman,
clip_image002[7]
yang bermaksud, “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan seumpamanya. Maka barang siapa memaafkan dan mengadakan perdamaian, maka pahalanya ke atas Allah”. Maka firmanNya,
clip_image002[11]
yang bermaksud, “Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan seumpamanya”, ianya adalah perintah untuk berbuat adil, dan firmanNya,
clip_image002[13]
yang bermaksud, “Maka barang siapa memaafkan dan mengadakan perdamaian”, ianya adalah perintah untuk berbuat ihsan. Dan di dalam ayat Al-Maidah 5:45, Allah berfirman,
clip_image002[15]
yang bermaksud, “Dan luka-luka ada hukuman qisas. Maka barang siapa yang menyedekahkan dengannya, sedemikian ianya ialah penebus dosa baginya”. Maka firmanNya,
clip_image002[17]
yang bermaksud, “Dan luka-luka ada hukuman qisas”, ianya adalah perintah untuk berbuat adil, dan firmanNya,
clip_image002[19]
yang bermaksud, “Maka barang siapa yang menyedekahkan dengannya”, ianya adalah perintah untuk berbuat ihsan.

Dan banyak lagi perintah Allah menyuruh berbuat adil dan ihsan di dalam ayat-ayat yang lain. Demikianlah maka ihsan itu dapat membuka pintu kepada orang-orang yang ingin bertoleransi di dalam sesetengah hak mereka kerana mengutamakan semangat kasih sayang, dan menghapuskan perasaan dendam kesumat dari hati mereka. Ia membuka pintu kepada orang-orang yang ingin menunjukkan sikap yang lebih dari dasar keadilan yang ketat dan tegas untuk mengubat hati yang luka atau untuk mendapat kelebihan.

Dan demikianlah juga sesungguhnya Allah memerintahkan supaya berbuat ihsan di dalam setiap sesuatu dan terhadap setiap sesuatu, sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. sabdakan di dalam sebuah hadis,3
“Sesungguhnya Allah, Dia telah mewajibkan ihsan ke atas setiap sesuatu. Lalu apabila engkau membunuh, maka berbuat ihsanlah terhadap pembunuhan itu. Dan apabila kamu menyembelih, maka berbuat ihsanlah terhadap penyembelihan itu. Dan hendaklah setiap dari kamu menajamkan pisaunya, lalu hendaklah menyenangkan binatang sembelihannya”.
Contoh perbuatan menyembelih yang diberikan di dalam hadis ini, ianya merangkumi dua kaedah ihsan yang telah disebutkan, iaitu kaedah mengerjakan sesuatu amalan itu sebaik-baiknya, dan juga kaedah berlaku sebaik-baiknya terhadap orang lain. Lalu di dalam amalan penyembelihan itu hendaklah ada ihsan, dan terhadap binatang sembelihan itu hendaklah berlaku ihsan.

Dan adapun perintah berlaku ihsan ini, adakalanya ia adalah wajib dan adakalanya sunat. Contohnya, perintah berbuat ihsan kepada kedua ibu bapa adalah satu perintah wajib, tetapi bersedekah, walaupun perintah untuk bersedekah adalah juga satu perintah berbuat ihsan, ianya adalah satu amalan sunat.

Walau bagaimanapun perlulah dihayati bahawa ihsan ialah sesuatu yang sangat-sangat dicari. Allah memerintahkannya dan Dia mencintai orang yang berbuat ihsan. Dengan itu seorang yang benar-benar beriman, hendaklah ia sentiasalah berbuat ihsan di dalam sesuatu dan terhadap setiap sesuatu tanpa mengira sama ada ianya wajib atau sunat.

Lalu sekiranya ia merasakan bahawa di dalam amalannya kekurangan ihsan, atau ia belum lagi menjangkau tahap yang minimum, maka seharusnyalah ia tidak merasa puas. Ia seharusnya mengetahui bahawa terdapat satu tahap yang lebih tinggi yang ia harus berusaha untuk mencapainya, iaitu tahap ihsan.

Dan daripada penjelasan Rasulullah s.a.w. tentang ihsan bahawa, “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya. Tetapi jika tidaklah engkau melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”, maka sebahagian ulama, seperti Ibnu Rajab, Ibnu Hajar dan selainnya, mereka berpendapat bahawa hadis ini menerangkan dua tahap ihsan berlainan.

Tahap ihsan yang pertama, di mana seseorang itu menyembah Allah seolah-olah ia melihatNya, adalah lebih tinggi tahapnya dari tahap ihsan yang kedua, di mana orang yang menyembah itu tidak mampu mencapai tahap menyembah Allah seolah-olah ia melihatNya, lalu ia menyembah Allah dengan kesedaran bahawa Allah melihatnya.

Seorang muhsin yang mencapai tahap menyembah Allah seolah-olah ia melihatNya, maka ia adalah pada kedudukan al-musyahadah, iaitu melihat atau menyaksikan. Yang demikian itu bukanlah ia melihat atau menyaksikan Allah dengan mata kepalanya, tetapi suatu perasaan yang kuat di dalam hati, di mana kesedaran akan kewujudan Allah, dengan ilmuNya dan belas kasihanNya, begitu kuat sekali sehingga ia seolah-olah melihatNya di hadapannya.

Lalu pemikiran dan ingatannya menjadi begitu harmoni dengan ibadat yang ia sedang kerjakan. Dan kalaulah ia sebenarnya dapat melihat Allah, maka tidak dapat dibayangkan kesannya itu terhadap ibadat dan ketaatannya kepada Allah, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis,4
“Sesungguhnya Allah mempunyai para malaikat yang pergi berkeliling siang dan malam mencari ahli zikir. Lalu apabila mereka menjumpai satu kaum yang berzikir kepada Allah, mereka memanggil di antara satu sama lain, ‘Datanglah kepada hajat kamu’ ”. Rasulullah s.a.w. menyambung sabdanya, “Maka para malaikat itu mengelilingi ahli-ahli zikir itu dengan sayap mereka sehingga ke langit dunia. Lalu Tuhan mereka menyoal para malaikat itu, sedang Dia lebih mengetahui dari mereka, ‘Apakah yang hamba-hambaKu itu katakan’. Para malaikat menjawab, ‘Mereka memuliaMu, dan mereka bertakbir kepadaMu, dan mereka memujiMu, dan mereka mengagungkan Engkau’. Lalu Allah bertanya, ‘Apakah mereka melihat Aku’. Maka para malaikat menjawab, ‘Tidak, demi Allah, tidaklah mereka melihatMu’. Lalu Allah menyoal, ‘Dan bagaimanakah agakya kalau mereka melihatKu’. Para malaikat menjawab, ‘Kalau mereka melihatMu, adalah mereka itu lebih bersungguh-sungguh beribadat kepadaMu, dan lebih hebat mengagungkan Engkau, dan lebih banyak memuliakan engkau’ ”.
Demikianlah kesan dari perasaan seolah-olah melihat Allah di hadapannya akan membuat seseorang itu mengerjakan ibadatnya dengan paling sempurna yang mungkin, kerana ia amat sedar bahawa Allah mengawasi setiap apa yang ia kerjakan. Lalu ia menjadi amat malu dan segan untuk mengerjakan sesuatu dengan tidak sempurna. Dan juga ia akan merasa takut terhadap Allah, di samping ia merasa kagum terhadapNya. Lalu ia akan melakukan setiap apa yang mungkin, tanpa ada cacat celanya supaya Allah reda terhadap apa yang ia kerjakan.

Dengan itu orang yang mencapai tahap ihsan yang pertama, iaitu di mana ia menyembah Allah seolah-olah ia melihatNya, sesungguhnya ia telah mencapai tahap di mana hatinya seolah-olah menyaksikan Tuhannya, lalu ia dipenuhi dengan kegembiraan apabila ia bersendirian dengan Tuhannya, dan apabila ia bermunajat kepadaNya, dan memohon kepadaNya. Semuanya ini menjadi amalan-amalan yang tersangat indah dan menyeronokkan pada matanya.

Di dalam sebuah hadis,5 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Dan dijadikan penyejuk mataku di dalam solat”.
Walau bagaimanapun, jika seseorang itu tidak dapat mencapai tahap ihsan yang pertama, atau susah baginya untuk memperolehinya, maka ia beralih kepada tahap yang kedua, di mana ia menyembah Allah dengan penuh kesedaran bahawa Allah melihatnya dan mengawasinya, mengetahui setiap sesuatu yang tersembunyi di dalam hati dan jiwanya.

Seseorang yang berada pada tahap ini, maka ia adalah pada kedudukan al-muraqabah, iaitu diperhatikan atau diawasi. Di kedudukan ini ia adalah juga seorang muhsin yang akan merasai kenikmatan menyembah Tuhannya. Namun begitu tahap al-muraqabah tidaklah sama dengan tahap al-musyahadah. Perasaan diperhatikan dan diawasi mungkin pada ketika-ketikanya akan akan menjadi kendur. Ia tidak dapat mengalami perasaan malu, takut, kagum, dan rendah diri sebagaimana yang dialami oleh orang yang seolah-olah melihat Tuhannya di hadapannya.

Sesungguhnya seorang muhsin yang telah mencapai tahap ihsan, sama ada tahap yang pertama atau yang kedua, ia adalah jauh ke hadapan dari orang yang hanya mengetahui dan percaya bahawa Allah mengetahui dan menyaksikan segala sesuatu. Sememangnya setiap orang Islam wajib mengetahui dan percaya bahawa Allah mengetahui dan menyaksikan segala sesuatu, tetapi selagi yang demikian itu tidak meninggalkan kesan terhadap ibadatnya kepada Allah, bukanlah ia seorang muhsin, walaupun ia sesungguhnya telah melaksanakan tanggungjawabnya di dalam ibadatnya kepada Allah.

Sebahagian ulama yang lain seperti Imam Nawawi, Al-Sindi, dan Uthmani, mereka berpendapat bahawa kedua-dua sabda Rasulullah s.a.w., “Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya”, dan sabdanya, “Tetapi jika tidaklah engkau melihatNya, maka sesungguhnya Dia melihatmu”, maka kedua-duanya itu menunjukkan kepada satu konsep.

 

 

 


 

1 Muslim
2 Ibnu Abu Hatim
3 Muslim, Abu Daud, At-Tirmizi, An-Nasa’i, Ibnu Majah, Ad-Darami, Ibnu Hibban, At-Tabrani, Al-Baihaqi
4 Bukhari
5 An-Nasa’i, Ahmad

Muat turun Ihsan

1 ulasan:

  1. alhamdulillah isinya padat dan menyeluruh .ihsan senang disebut tetapi sukar untuk dipraktikkan.

    BalasPadam