Disusun oleh Abu Haniff
Katakanlah, “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”. (Ali Imran 3:31)
Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w. kepada setiap orang yang mengakui cintakan Allah), “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, (semua perbuatan dan ucapan kamu hendaklah mengikuti syariat dan agama yang telah aku bawa.
Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang beramal dengan amalan yang bukan selaras dengan ketentuan kami, maka ianya dikembalikan”.
Maka sesungguhnya kamu adalah pendusta dalam pengakuan kamu sekiranya kamu mengakui yang kamu cinta kepada Allah tetapi tindak tanduk kamu tidak mengikuti jalan yang telah dirintis olehku.
Diriwayatkan,2 Sahal bin Abdullah pernah mengatakan,
“Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al-Quran, dan tanda mencintai Al-Quran ialah mencintai Nabi s.a.w., dan tanda mencintai Nabi s.a.w. ialah mencintai sunnah. Dan tanda mencintai Allah, dan mencintai Al-Quran, dan mencintai Nabi s.a.w., dan mencintai sunnah ialah mencintai akhirat, dan tanda mencintai akhirat ialah bahawasanya ia mencintai dirinya, dan tanda mencintai dirinya ialah bahawasanya ia membenci dunia, dan tanda membenci dunia ialah tidaklah ia mengambil darinya melainkan keperluan dan kecukupan”.
Oleh yang demikian, ikutilah aku,) nescaya Allah akan mencintai kamu, (dan cinta Allah kepada kamu itu adalah amat lebih besar nilainya dari cinta kamu kepada Allah. Sekiranya Allah mencintai kamu, maka kamu telah mendapat balasan yang melebihi dari apa yang kamu cari di dalam mencintai Allah.
Lalu apabila Allah mencintai seseorang itu, maka semua penghuni langit dan bumi mencintainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis,3
“Sesungguhnya Allah, apabila Dia mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah ia’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lalu Jibril mencintainya.Kemudian dia membuat perisytiharan di langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia’. Lalu penghuni langit mencintainya’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kemudian diletakkan baginya rasa cinta itu di bumi. Dan apabila Allah membenci seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku benci si fulan, maka bencilah ia’ ”.Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka Jibril membencinya. Kemudian dia membuat perisytiharan kepada penghuni langit, ‘Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah ia’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lalu mereka membencinya. Kemudian diletakkan baginya rasa benci itu di bumi”.
Itulah kesan ketaatan kamu kepada Nabi s.a.w., iaitu cinta Allah kepada kamu), dan (Allah akan) mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”. (Demikianlah maka ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. itu adalah juga merupakan ketaatan kepada Allah, sebagaimana juga yang Allah firmankan di dalam ayat An-Nisa’ 4:80,yang bermaksud, “Barang siapa yang mentaati Rasul itu, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. Dan sebagaimana firman Allah di dalam ayat Al-Hasyr 59:7,yang bermaksud, “Dan apa yang Rasul itu berikan kepadamu, maka ambillah ia. Dan apa yang dia melarang kamu darinya, maka kamu tahanlah diri kamu”.
Diriwayatkan,4 ayat ini diturunkan mengenai utusan Nasrani dari Najran. Sedemikian tafsiran ayat ini adalah,
“Katakanlah wahai Muhammad s.a.w. kepada utusan Nasrani Najran itu, ‘Jika adalah kamu sebagaimana yang kamu dakwa bahawa kamu mencintai Allah dan mengagungkan Al-Masih, dan kamu berkata terhadapnya apa yang kamu katakan kerana kecintaan kamu terhadap Tuhan kamu, maka buktikanlah kata-kata yang kamu ucapkan itu, sekiranya benar-benar kamu adalah orang yang benar, dengan kamu mengikuti aku.Dan sesungguhnya kamu mengetahui bahawasanya aku adalah utusan Allah kepada kamu, sebagaimana Isa adalah seorang rasul kepada orang-orang yang Dia mengutuskannya. Dan sesungguhnya jika kamu mengikutiku, dan membenarkan aku terhadap apa yang aku bawa kepada kamu dengannya dari sisi Allah, Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu, lalu membiarkan kamu dari hukuman-hukumannya, dan Dia akan memaafkan kamu dari apa yang telah berlalu darinya. Maka sesungguhnya Dia Maha Mengampuni dosa hamba-hambaNya yang mukmin, dan Yang Maha Mengasihani mereka).
Muat turun Apakah benar cintamu kepadaNya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan