Jumaat, 29 Julai 2011

Ujian itu adalah satu kepastian, maka bersabarlah

Disusun oleh Abu Haniff 

 imageDan pastinya Kami akan menguji kamu dengan sesuatu dari ketakutan serta kelaparan, dan pengurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:155)

Dan pastinya Kami akan menguji kamu (wahai orang-orang yang beriman) dengan sesuatu dari ketakutan serta kelaparan (yakni sedikit dari ketakutan dan sedikit dari kelaparan seperti juga yang difirmankan di dalam ayat An-Nahl 16:112,imageyang bermaksud, “Lalu Allah membuatkannya merasakan kelaparan yang ekstrem dan juga ketakutan” ), dan pengurangan harta benda dan jiwa dan buah-buahan, (yakni lenyapnya sebahagian dari harta benda, dan matinya teman-teman, kaum kerabat atau orang-orang yang dikasihi, dan kebun serta ladang tidak mengeluarkan hasil seperti biasa.

Demikianlah juga difirmankan tentang proses ujian ini seperti di dalam ayat Muhammad 47:31,imageyang bermaksud, “Dan pastinya Kami akan menguji kamu sehingga Kami mengetahui orang-orang yang berjihad di antara kamu dan orang-orang yang sabar, dan Kami akan menguji laporan-laporan kamu” ).

Dan sampaikanlah (wahai Muhammad s.a.w.) khabar gembira kepada orang-orang yang sabar (bahawa barang siapa yang sabar ketika dikenakan cubaan oleh Allah, maka ia akan mendapat pahala dan barang siapa yang tidak sabar, maka ia akan ditimpakan azab.

Dan pahala kesabaran itu, sesungguhnya ianya diberikan hanyalah pada kejutan pertama, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis,1
“Hanya sanya kesabaran itu ialah pada kejutan pertama”.
Maksudnya, kesabaran yang sangat menekan ke atas jiwa adalah yang sangat besar pahalanya, yang biasanya terjadi pada mula-mula musibah datang menyerang dan sedang panas. Kesabaran pada saat sebegini menunjukkan hati yang kuat dan tetap.

Lalu apabila musibah itu telah reda atau kepanasan musibah itu telah sejuk, maka siapa pun dapat bersabar. Dan khabarkanlah yang cubaan itu boleh berupa kesenangan, kesusahan, sihat, sakit, kaya dan miskin, supaya diketahui dan terbukti siapakah yang tetap bertuhankan Allah dalam segala keadaan, siapa pejuang, siapa yang sabar, dan siapa pula yang palsu).



1 Bukhari.

Muat turun Ujian itu adalah satu kepastian, maka bersabarlah

Selasa, 26 Julai 2011

Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat



Disusun oleh Abu Haniff 
 imageWahai orang-orang yang beriman, mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah 2:153) 

Wahai orang-orang yang beriman, (selain dari bersyukur kepadaKu seperti yang telah diperintahkan di dalam ayat 152 di atas, maka) mohonlah pertolongan (kepadaKu untuk memperolehi belas kasihanKu serta kebahagiaan dunia dan akhirat) dengan sabar dan solat (dijadikan sebagai alat untuk memperoleh belas kasihan dan kebahagiaan itu, sebagaimana juga yang difirmankan di dalam ayat Al-Baqarah 2:45,imageyang bermaksud, “Dan mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya ia adalah benar-benar berat kecuali ke atas orang-orang yang khusyuk”.

Sesungguhnya kamu adakalanya berada di dalam kenikmatan, maka hendaklah kamu bersyukur, dan adakalanya kamu berada di dalam cubaan, maka kendaklah kamu bersabar menanggungnya.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Sungguh mengagumkan orang-orang mukmin itu. Tidaklah Allah mentakdirkan baginya sesuatu takdir, melainkan itu adalah sesuatu yang baik baginya. Jika ia mendapat kesenangan, maka ia bersyukur. Adalah itu lebih baik baginya. Dan jika ia dilanda kesusahan, maka ia bersabar. Adalah itu lebih baik baginya”.
Sabar adalah merupakan pengakuan seseorang kepada Allah bahawa musibah yang menimpanya adalah dari Allah, dan ia menerimanya dengan penuh ketabahan kerana mengharapkan reda Allah dan pahala yang ada di sisiNya. Di dalam ayat Az-Zumar 39:10, Allah berfirman,imageyang bermaksud, “Hanya sanya diberi ganjaran sepenuhnya kepada orang-orang yang sabar pahala mereka dengan tanpa berkira”.

Adapun sabar itu ada tiga jenisnya. Pertama, sabar di dalam meninggalkan perkara-perkara yang diharamkan dan meninggalkan dosa-dosa, sekalipun bercanggahan dengan hawa nafsu sendiri. Kedua, sabar di dalam ketaatan dan taqarrub, walaupun terasa berat oleh jiwa dan tubuh badan.

Sabar dari jenis yang kedua ini adalah sabar yang lebih utama, yang membawa pahala yang lebih besar, dan inilah tujuan yang dimaksudkan oleh ayat ini. Ketiga, sabar di dalam mengharungi berbagai macam musibah dan cubaan. Sabar yang sebegini hukumnya adalah wajib, sebagaimana memohon ampun dari perbuatan-perbuatan yang aib.

Dan solat pula adalah penolong yang paling besar untuk menguatkan diri seseorang di dalam mentaati Allah, seperti yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Ankabut 29:45,imageyang bermaksud, “Bacalah apa yang diwahyukan kepadamu daripada Kitab, dan dirikan solat. Sesungguhnya solat itu mencegah dari kekejian dan kemungkaran. Dan sesungguhnya zikrullah itu adalah lebih hebat”.

Diriwayatkan di dalam sebuah hadis,2
“Adalah Rasulullah s.a.w., apabila menimpanya sesuatu perkara, maka dia solat”.
Demikianlah kebijaksanaan yang terkandung di dalam menjadikan sabar dan solat sebagai penolong dan pembimbing untuk memperoleh belas kasihan Allah serta kebahagiaan dunia dan akhirat). Sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar (yang akan beroleh keselamatan, insyaAllah).



1 Muslim.

Jumaat, 22 Julai 2011

Ingatlah kepada Allah, Dia akan mengingati kamu, dan bersyukurlah

Disusun oleh Abu Haniff

image
 
Oleh itu ingatilah Aku, Aku akan mengingati kamu. Dan bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu kufur. (Al-Baqarah 2:152) 
 
Oleh itu ingatilah kepadaKu (wahai orang-orang mukmin, dengan melakukan taat kepadaKu dan melaksanakan apa yang telah Aku wajibkan ke atas kamu, serta sentiasalah bersyukur kepadaKu dan tidak ingkar terhadapKu), Aku akan mengingati kamu (dengan pengampunanKu, belas kasihanKu, dan apa yang telah Aku janjikan kepada kamu. Dan sesungguhnya ingat Aku kepada kamu jauh lebih banyak daripada ingat kamu kepadaKu.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah telah berfirman,
“Barang siapa yang mengingatiKu di dalam dirinya, Aku mengingatinya di dalam diriKu. Dan barang siapa yang mengingatiKu di dalam perhimpunan, Aku mengingatinya di dalam perhimpunan yang lebih baik darinya”.
Dan di dalam sebuah hadis yang lain,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah telah berfirman,
“Wahai anak Adam, jika engkau mengingatiKu di dalam dirimu, Aku akan mengingatimu di dalam diriKu. Dan jika engkau mengingatiKu di dalam perhimpunan, Aku akan mengingatimu di dalam perhimpunan para malaikat. Dan jika engkau mendekatiKu dengan sejengkal, Aku akan mendekati engkau dengan satu hasta. Dan jika engkau mendekatiKu dengan satu hasta, Aku akan mendekati engkau dengan satu depa. Dan jika engkau datang kepadaKu berjalan kaki, Aku datang kepadamu berlari”).
Dan bersyukurlah kepadaKu (wahai orang-orang mukmin, supaya Aku tambah kebaikan dan nikmatKu kepada kamu. Di dalam sebuah hadis,3 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang Allah menganugerahkan kepadanya dengan nikmat, maka sesungguhnya Allah menyukai bahawa Dia melihat kesan nikmatNya yang Dia telah berikan kepada makhlukNya”),
dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu dengan kamu berbuat maksiat dan derhaka kepadaKu. Demikianlah Allah berjanji untuk menambah nikmat kepada orang-orang yang bersyukur, dan mengenakan azab yang amat berat kepada orang-orang yang kufur terhadap nikmatNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Ibrahim 14:7,imageyang bermaksud, Dan ketika Tuhan kamu mengisytiharkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pastinya Aku akan menambah kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat’ ” ).

 


 

1 Bukhari.
2 Ahmad, Bukhari.

Selasa, 19 Julai 2011

Bersyukur: Rahsia untuk mendapat penambahan akan sesuatu dari Allah

Disusun oleh Abu Haniff
image“Dan ketika Tuhan kamu mengisytiharkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pastinya Aku akan menambah kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat’ ”. (Ibrahim 14:7)
 
(Dan ingatlah wahai Muhammad s.a.w. ketika Musa berkata kepada kaumnya,) “Dan (ingatlah juga wahai kaumku Bani Israil) ketika Tuhan kamu mengisytiharkan (kepada kamu akan janjiNya kepada kamu yang pastinya akan Dia tunaikan), ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur (dengan nikmat-nikmat yang Aku kurniakan kepada kamu, yakni kamu mengakui terhadap nikmat-nikmat itu dengan kamu mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, lalu kesyukuran itu membuktikan adanya kejujuran di dalam hati kamu, dan hati yang bersyukur itu akan sentiasa bermuraqabah denganKu apabila nikmat-nikmat itu digunakan tanpa takbur, dan tidaklah nikmat-nikmat itu digunakan untuk melakukan penindasan, kejahatan, dan perbuatan-perbuatan yang merosakkan), pastinya Aku akan menambah kepada kamu (nikmat-nikmat itu setelah kamu selamat dari Firaun dan pengikut-pengikutnya.

Seumpama anggota tubuh yang sentiasa digunakan untuk bekerja, pastinya kekuatannya akan bertambah, tetapi apabila diberhentikan, maka ia akan menjadi lemah. Demikianlah dengan nikmat, apabila digunakan untuk kebaikan, akan tetaplah nikmat itu, tetapi apabila diabaikan, akan hilanglah nikmat itu.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang diilhamkan dengan 5 perkara, tidaklah ia diharamkan dengan 5 perkara. Dan di antara lain ialah barang siapa yang diilhamkan dengan kesyukuran, tidaklah ia diharamkan dengan penambahan”.
Maka barang siapa yang bersyukur kerana rezeki yang dikurniakan kepadanya, akan dilapangkan rezekinya. Dan barang siapa yang bersyukur atas ketaatannya, maka akan ditambahkan ketaatannya. Dan barang siapa yang bersyukur kerana nikmat kesihatan yang dikurniakan kepadanya, akan ditambahkan kesihatannya itu).

Dan sesungguhnya jika kamu kufur (iaitu tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Aku kurniakan kepada kamu, dengan kamu menafikan Aku sebagai yang mengurniakannya, atau kamu mengaitkan perolehan nikmat itu kepada ilmu kepandaian kamu, kerja keras kamu dan sebagainya, atau kamu menyalahgunakan nikmat-nikmat itu untuk menyombong atau untuk memuaskan nafsu kamu yang liar dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan), sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat (dengan Aku mencabut nikmat-nikmat itu dari kamu atau Aku menyusahkan kamu dengan nikmat-nikmat itu, dan Aku mengazab kamu kerana mengkufuri nikmat-nikmat itu.

Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Sesungguhnya seorang hamba itu benar-benar diharamkan rezeki itu oleh kerana dosa-dosa yang dilakukannya”)’ ”.
 

 

 

 

 

 


 

1 Bukhari di dalam kitab Tarikh.

Sabtu, 16 Julai 2011

Apakah benar cintamu kepadaNya

Disusun oleh Abu Haniff

imageKatakanlah, “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu, dan mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”. (Ali Imran 3:31)
 
Katakanlah (wahai Muhammad s.a.w. kepada setiap orang yang mengakui cintakan Allah), “Jika kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, (semua perbuatan dan ucapan kamu hendaklah mengikuti syariat dan agama yang telah aku bawa.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang beramal dengan amalan yang bukan selaras dengan ketentuan kami, maka ianya dikembalikan”.
Maka sesungguhnya kamu adalah pendusta dalam pengakuan kamu sekiranya kamu mengakui yang kamu cinta kepada Allah tetapi tindak tanduk kamu tidak mengikuti jalan yang telah dirintis olehku.

Diriwayatkan,2 Sahal bin Abdullah pernah mengatakan,
“Tanda mencintai Allah ialah mencintai Al-Quran, dan tanda mencintai Al-Quran ialah mencintai Nabi s.a.w., dan tanda mencintai Nabi s.a.w. ialah mencintai sunnah. Dan tanda mencintai Allah, dan mencintai Al-Quran, dan mencintai Nabi s.a.w., dan mencintai sunnah ialah mencintai akhirat, dan tanda mencintai akhirat ialah bahawasanya ia mencintai dirinya, dan tanda mencintai dirinya ialah bahawasanya ia membenci dunia, dan tanda membenci dunia ialah tidaklah ia mengambil darinya melainkan keperluan dan kecukupan”.
Oleh yang demikian, ikutilah aku,) nescaya Allah akan mencintai kamu, (dan cinta Allah kepada kamu itu adalah amat lebih besar nilainya dari cinta kamu kepada Allah. Sekiranya Allah mencintai kamu, maka kamu telah mendapat balasan yang melebihi dari apa yang kamu cari di dalam mencintai Allah.

Lalu apabila Allah mencintai seseorang itu, maka semua penghuni langit dan bumi mencintainya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis,3
“Sesungguhnya Allah, apabila Dia mencintai seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku mencintai si fulan, maka cintailah ia’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lalu Jibril mencintainya.

Kemudian dia membuat perisytiharan di langit, ‘Sesungguhnya Allah mencintai si fulan, maka cintailah ia’. Lalu penghuni langit mencintainya’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kemudian diletakkan baginya rasa cinta itu di bumi. Dan apabila Allah membenci seorang hamba, Dia memanggil Jibril lalu Dia berfirman, ‘Sesungguhnya Aku benci si fulan, maka bencilah ia’ ”.

Rasulullah s.a.w. bersabda, “Maka Jibril membencinya. Kemudian dia membuat perisytiharan kepada penghuni langit, ‘Sesungguhnya Allah membenci si fulan, maka bencilah ia’ ”. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Lalu mereka membencinya. Kemudian diletakkan baginya rasa benci itu di bumi”.
Itulah kesan ketaatan kamu kepada Nabi s.a.w., iaitu cinta Allah kepada kamu), dan (Allah akan) mengampuni kamu akan dosa-dosa kamu. Dan Allah Maha Mengampuni lagi Maha Mengasihani”. (Demikianlah maka ketaatan kepada Rasulullah s.a.w. itu adalah juga merupakan ketaatan kepada Allah, sebagaimana juga yang Allah firmankan di dalam ayat An-Nisa’ 4:80,imageyang bermaksud, “Barang siapa yang mentaati Rasul itu, maka sesungguhnya dia telah mentaati Allah”. Dan sebagaimana firman Allah di dalam ayat Al-Hasyr 59:7,imageyang bermaksud, “Dan apa yang Rasul itu berikan kepadamu, maka ambillah ia. Dan apa yang dia melarang kamu darinya, maka kamu tahanlah diri kamu”.

Diriwayatkan,4 ayat ini diturunkan mengenai utusan Nasrani dari Najran. Sedemikian tafsiran ayat ini adalah,
“Katakanlah wahai Muhammad s.a.w. kepada utusan Nasrani Najran itu, ‘Jika adalah kamu sebagaimana yang kamu dakwa bahawa kamu mencintai Allah dan mengagungkan Al-Masih, dan kamu berkata terhadapnya apa yang kamu katakan kerana kecintaan kamu terhadap Tuhan kamu, maka buktikanlah kata-kata yang kamu ucapkan itu, sekiranya benar-benar kamu adalah orang yang benar, dengan kamu mengikuti aku.

Dan sesungguhnya kamu mengetahui bahawasanya aku adalah utusan Allah kepada kamu, sebagaimana Isa adalah seorang rasul kepada orang-orang yang Dia mengutuskannya. Dan sesungguhnya jika kamu mengikutiku, dan membenarkan aku terhadap apa yang aku bawa kepada kamu dengannya dari sisi Allah, Dia akan mengampuni dosa-dosa kamu, lalu membiarkan kamu dari hukuman-hukumannya, dan Dia akan memaafkan kamu dari apa yang telah berlalu darinya. Maka sesungguhnya Dia Maha Mengampuni dosa hamba-hambaNya yang mukmin, dan Yang Maha Mengasihani mereka). 

 

 


 

1 Bukhari.
2 Al-Qurtubi.
3 Muslim.
4 At-Tabari, Sayuti.

Muat turun Apakah benar cintamu kepadaNya

Rabu, 13 Julai 2011

Munafik – 2: orang-orang munafik yang terumbang-ambing di dalam kemunafikan

Disusun oleh Abu Haniff

image
Atau seperti hujan lebat dari langit yang di dalamnya terdapat kegelapan-kegelapan, dan guruh, dan kilat. Mereka meletak jari-jari mereka ke dalam telinga mereka disebabkan bunyi petir yang kuat itu, takut mati, padahal Allah Maha Meliputi orang-orang kafir itu. Hampir-hampir kilat itu menyambar penglihatan mereka. Setiap kali ia menerangi bagi mereka, mereka berjalan di dalamnya. Dan apabila menjadi gelap ke atas mereka, mereka berhenti berdiri. Dan kalau Allah menghendaki, pastinya Dia telah menghapus pendengaran mereka dan penglihatan mereka. Sesungguhnya Allah ke atas tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa.

Atau (satu perumpamaan lagi mengenai golongan orang-orang munafik yang kedua, yang terumbang-ambing di dalam kemunafikan mereka, yang perumpamaan bagi mereka ialah) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit (dari awan. Hujan itu menghidupkan tanah, tanaman dan binatang, maka begitulah petunjuk dan ilmu yang Rasulullah s.a.w. telah diutuskan oleh Allah untuk menyampaikannya adalah sebagai belas kasihan kepada hamba-hambaNya yang dapat menghidupkan hati manusia.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Sesungguhnya perumpamaan apa yang Allah telah mengutuskan aku dengannya yang terdiri dari petunjuk dan ilmu adalah seperti hujan yang menimpa bumi. Maka adalah sebahagian dari bumi itu terdapat sekelompok yang baik yang menerima air hujan itu. Lalu ia menyebabkan tumbuh tumbuh-tumbuhan dan rumput-rumput dengan banyaknya.

Dan adalah sebahagian dari bumi itu terdapat tanah gersang yang dapat menampung air. Maka Allah memberi manfaat dengannya kepada manusia, lalu mereka meminum darinya, dan mereka memberi minum kepada binatang ternak, dan mereka bercucuk tanam dengan banyaknya. Dan adalah sebahagian dari tanah itu yang lainnya, hanya sanya ianya gersang tidak dapat menampung air dan tidak dapat menyebabkan tumbuh tumbuh-tumbuhan.

 Maka yang demikian itu adalah perumpamaan orang yang memahami tentang agama Allah, dan yang memberi manfaat kepadanya dengan apa yang Allah telah mengutuskan aku dengannya, lalu ia menjadi berilmu dan ia mengajarkannya kepada orang lain. Dan juga perumpamaan orang yang tidaklah mempedulikan petunjuk dan ilmu itu, dan tidaklah ia mahu menerima petunjuk Allah yang aku diutuskan dengannya”.
Dan) yang di dalamnya (awan itu) terdapat kegelapan-kegelapan (sebagaimana juga terdapat keraguan, kekufuran, dan kemunafikan yang terdapat di dalam diri orang-orang kafir dan orang-orang munafik terhadap Al-Quran), dan (terdapat juga) guruh (yang lazim datang bersama hujan bagi menyempurnakan manfaat hujan itu.

Itulah perumpamaan bagi peringatan, ancaman-ancaman dan azab, yang dapat mengetuk telinga dan meresahkan hati manusia, yang disampaikan Allah kepada orang yang menyalahi perintahNya dan mendustakan Rasulullah s.a.w..

Di dalam perintah Allah itu, terdapat perintah-perintah yang berat bagi jiwa kerana harus menentang keinginan jiwa, atau keluar berjihad fi sabilillah menentang musuh. Juga terdapat segala halangan yang akan ditempuhi, bahaya yang mengancam, dan kesusahan-kesusahan yang nyata yang diancamkan oleh musuh-musuh Islam.

Maka sentiasalah perasaan takut dan ngeri mencekam hati orang-orang munafik terhadap peringatan, ancaman-ancaman dan azab yang terdapat di dalam perintah Allah itu, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Munafiqun 63:4,imageyang bermaksud, “Mereka mengira setiap pekikan yang kuat adalah untuk mereka. Mereka adalah musuh”.

Dan sebagaimana firman Allah di dalam ayat At-Taubat 9:56-57,imageyang bermaksud, “Dan mereka bersumpah dengan nama Allah sesungguhnya mereka benar-benar dari kalangan kamu, padahal bukanlah mereka dari kalangan kamu, tetapi mereka ialah suatu kaum yang menjadi takut. Kalau mereka menjumpai suatu tempat perlindungan, atau gua-gua, atau suatu tempat untuk berundur, pastinya mereka berpusing kepadanya, dan mereka meluru” ), dan (di dalam awan itu terdapat juga) kilat (yang menerangi dalam tempoh yang singkat dan sekali-sekali, sebagaimana cahaya iman yang sekali-sekali di dalam tempoh yang singkat datang berkilat di dalam hati orang-orang munafik itu.

Yang demikian itu kerana di dalam Al-Quran terdapat dalil-dalil yang pasti dan bukti-bukti yang jelas. Sesungguhnya Al-Quran itu adalah cahaya yang dapat menghilangkan gelapnya kebodohan, keraguan dan kemusyrikan, sebagaimana cahaya yang nyata dapat menerangi kegelapan malam.

Allah menjelaskan yang demikian itu di dalam ayat An-Nisa’ 4:174,imageyang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu bukti dari Tuhan kamu. Dan telah Kami turunkan kepada kamu nur yang terang”.

Dan di dalam ayat Asy-Syura 42:52,imageyang bermaksud, “Tetapi Kami telah menjadikannya sebagai cahaya yang Kami memberi petunjuk dengannya barang siapa yang Kami kehendaki dari kalangan hamba-hamba Kami”.

Dan di dalam ayat Al-A'raf 7:157,imageyang bermaksud, “Dan mereka mengikuti nur yang diturunkan bersamanya”.


Mereka meletak jari-jari mereka ke dalam telinga mereka disebabkan bunyi petir yang kuat itu, (supaya tidaklah kedengaran bunyi petir itu, kerana mereka) takut mati (apabila mendengarnya. Yakni mereka takut akan terpengaruh kepada keimanan yang akan menyebabkan mereka meninggalkan agama mereka, yang pada mereka sama seperti kematian.

Demikianlah mereka itu, mereka ragu terhadap ajaran Islam sehingga mereka mengira ajaran Islam itu berbahaya terhadap diri mereka, dan mereka mengira jika mereka menurut petunjuk Allah, maka mereka akan binasa dan mati, jadi mereka cuba menyelamatkan diri mereka dengan tidak mengendah petunjuk Allah.

Kerana kebodohan mereka, orang-orang munafik itu tidak tahu bahawa kegelapan, guruh dan kilat adalah merupakan kelaziman dari hujan. Mereka yang terbatas pandangannya dan lemah akalnya tidak dapat mengerti apakah makna yang terkandung di dalam kegelapan, guruh dan kilat itu.

Pandangan mereka hanya tertuju kepada masalah-masalah yang tidak disenangi mereka dan yang zahir. Mereka tidak dapat melihat kepada kesenangan dan manfaat di sebalik semuanya itu. Di dalam jihad mereka hanya melihat kepada keletihan, kepayahan, kematian dan luka.

Begitu juga di dalam ibadah haji, mereka hanya melihat kepada kesulitan di dalam perjalanan, perpisahan dengan keluarga, dan perkara-perkara yang disukai yang terpaksa ditinggalkan.

Demikianlah keadaan kebanyakan manusia yang lemah pandangan dan imannya. Mereka hanya melihat kepada ancaman dan peringatan di dalam Al-Quran, larangan dan herdikan, perintah-perintah yang berat yang mencegah mereka dari perkara-perkara yang disukai mereka.

Maka tidak hairan jika ketakutan menghantui mereka. Mereka tidak dapat melihat melainkan kilat yang seakan-akan menyambar pandangan mereka, dan mereka menutup telinga mereka dengan jari-jari mereka supaya tidak kedengaran suara guruh yang kuat itu.

Tetapi bagi orang yang sudah biasa dengan hujan, serta mengetahui kebaikan, kehidupan dan manfaat di sebalik hujan, mereka mengetahui sesungguhnya hujan itu pastinya disertai guruh, kilat dan kegelapan. Mereka sesungguhnya mengetahui pada tempat yang terkena hujan, maka akan lahirlah kehidupan.

Dengan itu mereka tidak merasa takut meskipun berada di dalam kegelapan yang disertai guruh dan kilat. Bahkan mereka merasa senang dan tenang di dalam keadaan sedemikian, kerana mereka mengharapkan kehidupan dan kesuburan selepas itu.

Oleh itu, bahagian untuk orang-orang munafik dari hujan itu hanyalah guruhnya dan kilatnya sahaja. Mereka tidak mengetahui apa di sebalik hujan itu, sehingga mereka takut terhadap sesuatu yang kepada orang-orang muslim dapat memberi manfaat.

Mereka digementarkan oleh sesuatu yang membuat orang-orang yang berilmu merasa tenang. Mereka ragu-ragu terhadap sesuatu yang membuat orang-orang yang memiliki makrifat merasa yakin.

Oleh itu mereka tidak mendapat apa-apa faedah dari hujan lebat itu, dan tidaklah berguna sikap waspada mereka meletak jari-jari mereka ke dalam telinga mereka), padahal Allah Maha Meliputi orang-orang kafir itu (di bawah kehendak dan kekuasaanNya, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Buruj 85:17-20,imageyang bermaksud, “Apakah kisah tuan-tuan rumah telah datang kepadamu. Firaun dan Thamud. Bahkan orang-orang yang kufur terikat kepada mengatakan kedustaan, padahal Allah di belakang mereka Maha Meliputi”.

Maka tidaklah mungkin mereka boleh terlepas dari kehancuran yang Allah akan timpakan ke atas mereka)Hampir-hampir kilat itu (yang sangat kuat dan terang cahayanya) menyambar penglihatan mereka (orang-orang munafik dari golongan orang-orang munafik yang kedua ini, yang terumbang-ambing di dalam kemunafikan, yang sangat lemah penglihatannya.

Maka sedemikianlah Al-Quran yang cukup terang dan nyata cahaya kebenarannya hampir-hampir membutakan penglihatan orang-orang munafik yang tidak tetap keimanan mereka.
Kebutaan yang seumpama ini, Allah menegaskan mengenainya di dalam ayat Ar-Ra'ad 13:19,image
yang bermaksud, “Apakah maka orang yang mengetahui bahawasanya apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu adalah perkara yang hak, seperti orang yang ianya buta”.

Dan di dalam ayat Fatir 35:19,imageyang bermaksud, “Dan tidaklah sama orang yang buta dengan orang yang melihat” ).

Setiap kali ia (kilat atau Al-Quran) menerangi bagi mereka, (iaitu apabila mereka mengakui perkara yang hak serta berbicara tentangnya, dan sekilas iman muncul di hati mereka), mereka berjalan di dalamnya (mengikuti yang hak, dan keadaan itu dapat diperhatikan dari percakapan mereka ketika itu, di mana mereka berbicara dengan benar di dalam jalan yang lurus).

Dan apabila menjadi gelap ke atas mereka, (iaitu apabila keraguan melanda mereka dan mereka berbalik dari iman menjadi kafir), mereka berhenti berdiri (menunggu dengan bingung tidak tahu ke mana harus mereka pergi, dan bagaimana harus mereka berbuat, sebab keimanan mereka kepada Allah dan Rasulullah s.a.w. yang tidak tetap.

Atau apabila ajaran-ajaran Islam sesuai dengan hawa nafsu dan keinginan mereka, seperti bolehnya orang-orang munafik menikahi wanita-wanita dari kaum muslimin, mendapat harta warisan dari orang-orang muslim, memperoleh bahagian dari harta rampasan perang, maka mereka akan mengamalkannya.

Tetapi apabila ajaran-ajaran Al-Quran tidak sesuai dengan hawa nafsu mereka seperti ajaran yang mewajibkan mereka mengorbankan jiwa dan harta mereka untuk berjihad di jalan Allah, maka mereka akan diam dan berpaling.

Demikianlah seperti firman Allah di dalam ayat An-Nur 24:48-49,imageyang bermaksud, “Dan apabila mereka di panggil kepada Allah dan RasulNya supaya dia menghakimi di antara mereka, pada masa itu sesetengah daripada mereka adalah orang-orang yang enggan. Dan jika adalah bagi mereka itu kebenaran, mereka datang kepadanya sebagai orang-orang yang submisif”.

Atau apabila Allah memberi nikmat kepada mereka seumpama harta dan kesihatan, maka mereka merasa senang lalu berkata, “Agama Islam adalah agama yang benar, kerana selama kami memeluknya, tidak ada sesuatu yang menimpa kami melainkan kebaikan”, tetapi apabila mereka ditimpa penyakit atau kemiskinan, maka mereka berkata, “Musibah yang menimpa kami ini tidak lain kerana sial agama Islam”, lalu mereka kembali kepada kekufuran.

Di dalam ayat Al-Haj 22:11, Allah berfirman,imageyang bermaksud, “Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah di atas tepi. Maka jika kebaikan menimpanya, ia menjadi puas dengannya, dan jika ujian menimpanya, ia menjadi berpusing ke belakang di atas wajahnya. Ia mengalami kerugian di dunia dan akhirat. Yang demikian itu, ianya adalah kerugian yang nyata”.

Dan perumpamaan cahaya yang membutakan mata dapat diumpamakan dengan mata seekor kelelawar yang menjadi buta apabila terkena cahaya siang yang terang, walhal cahaya itu menambah jelas penglihatan manusia.

Demikianlah di akhirat kelak, manusia akan diberi nur sesuai dengan kadar keimanan dan amalan-amalan masing-masing. Ada yang diberi nur yang dapat menerangi jarak sehingga berbatu-batu. Ada yang diberi lebih dari itu, dan ada yang kurang dari itu. Ada juga yang nur mereka kadangkala padam dan kadangkala bercahaya.

Yang terakhir ini ialah orang-orang munafik dari golongan yang kedua seperti yang dibuat perumpamaan di dalam ayat 17 di atas,imageyang bermaksud, “Perumpamaan mereka adalah seperti orang yang menyalakan api. Maka setelah ia menerangi apa yang disekelilingnya, Allah membawa pergi cahaya mereka, dan meninggalkan mereka dalam kegelapan-kegelapan. Tidaklah mereka dapat melihat”.

Maka mereka ini akan berjalan di atas sirat ketika nur mereka bercahaya, dan akan berhenti apabila nur mereka padam. Dan ada juga yang tidak mempunyai nur sama sekali. Mereka ini adalah orang-orang munafik dari golongan yang pertama seperti yang dibuat perumpamaan di dalam ayat 19 di atas,imageyang bermaksud, “Atau seperti hujan lebat dari langit yang di dalamnya terdapat kegelapan-kegelapan, dan guruh, dan kilat. Mereka meletak jari-jari mereka ke dalam telinga mereka disebabkan bunyi petir yang kuat itu, takut mati, padahal Allah Maha Meliputi orang-orang kafir itu”.

Dan seperti yang diberitakan oleh Allah di dalam ayat Al-Hadid 57:13,imageyang bermaksud, “Pada hari itu orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan akan berkata kepada orang-orang yang beriman, ‘Tunggulah kami untuk kami mengambil cahaya dari nur kamu’. Akan dikatakan kepada mereka, ‘Kembalilah ke belakang kamu, kemudian kamu carilah nur’ ”.

Demikianlah maka orang-orang munafik itu terbahagi kepada dua golongan. Golongan pertama ialah orang-orang munafik tulen. Mereka dibuat perumpamaan di dalam ayat 17 di atas sebagai orang yang menyalakan api.

Dan golongan yang kedua ialah mereka dibuat perumpamaan di dalam ayat 19 di atas sebagai orang-orang yang ditimpa hujan. Mereka mempunyai sebahagian dari ciri-ciri kemunafikan di dalam diri mereka sebagaimana yang Rasulullah s.a.w. pernah sabdakan di dalam sebuah hadis,2
“Tiga ciri yang barang siapa ada padanya ketiga-tiga ciri itu, adalah ia munafik tulen. Dan barang siapa yang ada padanya salah satu dari tiga ciri itu, adalah pada dirinya satu kualiti kemunafikan, sehinggalah ia meninggalkannya. Iaitu orang yang apabila ia bercakap, ia berdusta, dan apabila ia berjanji, ia mungkir, dan apabila ia diamanahkan, ia mengkhianati”.
Dari hadis ini para ulama menyimpulkan bahawa di dalam diri seseorang itu adakalanya mungkin boleh terdapat sebahagian keimanan dan sebahagian kemunafikan, sama ada di dalam bentuk perbuatan seperti yang disebut di dalam hadis ini, atau di dalam bentuk keyakinan seperti yang disebut di dalam ayat 20 ini.

Di dalam sebuah hadis yang lain,3 Rasulullah s.a.w. telah bersabda,
“Hati itu ada 4 jenisnya, iaitu hati yang dalamnya jernih, seumpama pelita yang bersinar-sinar, dan hati yang terbungkus dengan pengikat diikat pada pembungkusnya, dan hati yang terbalik, dan hati yang berlapis.

Maka hati yang jernih itu ialah hati orang mukmin, dan pelitanya yang di dalamnya ialah nurnya. Dan adapun hati yang terbungkus ialah hati orang kafir. Dan adapun hati yang terbalik ialah hati orang munafik tulen, ia telah mengetahui kemudian ia ingkar. Dan adapun hati yang berlapis ialah hati yang di dalamnya terdapat iman dan kemunafikan.

Perumpamaan iman di dalam hati ialah seperti herba yang disuburkan dengan air yang baik. Dan perumpamaan kemunafikan di dalam hati ialah seperti luka yang bertahan dengan nanah dan darah. Maka yang mana di antara dua perkara itu yang mengatasi yang satu lagi, ialah yang menakluk hati”).
Dan kalau Allah kehendaki, pastinya Dia telah menghapus pendengaran mereka dan penglihatan mereka (yang terdiri dari orang-orang munafik dari golongan yang kedua ini, seperti yang Allah lakukan kepada golongan orang-orang munafik dari golongan yang pertama).

Sesungguhnya Allah ke atas tiap-tiap sesuatu itu Maha Berkuasa, (di mana setiap apa yang Allah kehendaki pasti akan berlaku, kerana tidak ada sesuatu pun di bumi dan di langit ini yang dapat mengalahkanNya. Tentang nur orang-orang mukmin pula, Allah berfirman di dalam ayat Al-Hadid 57:12,imageyang bermaksud, “Pada hari itu kamu akan melihat orang-orang mukmin yang lelaki dan orang-orang mukmin yang perempuan, nur mereka berlari di antara tangan mereka dan di sebelah kanan mereka. ‘Khabar gembira untuk kamu, pada hari ini ialah syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai’ ”.

Dan juga firman Allah di dalam ayat At-Tahrim 66:8,imageyang bermaksud, “Pada hari itu tidaklah Allah memalukan nabi dan orang-orang yang beriman yang bersama-sama dengannya. Nur mereka berlari di antara tangan-tangan mereka dan di tangan kanan mereka. Mereka berkata, ‘Tuhan kami, sempurnakanlah bagi kami nur kami, dan ampunilah kami. Sesungguhnya Engkau ke atas setiap sesuatu Maha Berkuasa’ ”.

Dan di dalam sebuah hadis,4 diriwayatkan berhubung dengan ayat Al-Hadid 57:12,imageyang bermaksud,
“Pada hari itu kamu akan melihat orang-orang mukmin yang lelaki dan orang-orang mukmin yang perempuan…hingga akhir ayat”,
Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Di antara orang-orang mukmin ada orang-orang yang nurnya menyinari dari Madinah hingga ‘Adn yang lebih jauh dari San’a, dan ada yang kurang dari itu, hingga sesungguhnya di antara orang-orang mukmin ada orang-orang yang nurnya tidak menyinari melainkan di tempat kedua tapak kakinya sahaja”.
Dan orang-orang mukmin, mereka juga terbahagi kepada dua golongan, sebagaimana yang Allah bahagikan di dalam awal surah Al-Waqi'ah dan di dalam surah Al-Insan. Golongan pertama ialah As-Sabiqun, atau orang-orang yang mendahului. Mereka adalah Al-Muqaribun, atau orang-orang yang dekat dengan Allah. Dan golongan yang kedua ialah As-habul yamin, iaitu orang-orang yang takutkan Allah).






1 Bukhari, Muslim.
2 Bukhari, Muslim.
3 Ahmad.