Selasa, 12 Julai 2011

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 5

Disusun oleh Abu Haniff
imageDia mengetahui apa yang di antara tangan mereka, dan apa yang di belakang mereka. Dan mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmuNya melainkan dengan apa yang Dia kehendaki.

Dia mengetahui (dengan pengetahuan yang komprehensif dan sempurna, menyeluruh dan terperinci) apa yang di antara tangan mereka, (iaitu segala apa yang terjadi kepada makhlukNya di dunia ini, sama ada pada masa yang lalu ataupun pada masa sekarang), dan apa yang di belakang mereka, (iaitu segala apa yang akan berlaku di akhirat kelak.

Di dalam ayat Maryam 19:64, Allah memfirmankan kata-kata para malaikat,imageyang bermaksud, “Dan tidaklah kami menuruni dengan perlahan dan beransur-ansur melainkan dengan perintah Tuhanmu. KepunyaanNyalah apa yang di antara kedua tangan kami, dan apa yang di belakang kami, dan apa yang di antara yang demikian itu. Dan bukanlah Tuhanmu pelupa” ).

Dan mereka (yang Allah mengetahui segala apa yang terjadi pada mereka itu) tidak mengetahui sesuatu pun dari ilmuNya melainkan dengan apa yang Dia kehendaki (mereka mengetahuinya.

Pertamanya mereka tidak mengetahui apa yang Allah mengetahui melainkan apa yang Allah beritahu kepada mereka dan apa yang Allah perlihatkan kepada mereka, walaupun sesuatu tentang diri mereka sendiri. Mereka tidak mengetahui tentang kewujudan para malaikat dan kewujudan langit yang tujuh sekiranya Allah tidak memberitahunya. Bahkan ramai di antara mereka yang tidak mengetahui tentang sesuatu perkara yang telah dikehendakiNya untuk mereka mengetahuinya.

Keduanya mereka tidak mengetahui apa-apa pun tentang Zat dan sifat-sifatNya melainkan apa yang Dia kehendaki mereka mengetahuinya, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Taha 20:110,imageyang bermaksud, “Sedang mereka tidak mengetahuinya akan ilmuNya”.

Sememangnya sedemikianlah, Dia yang memberitahu mereka menjadi tahu bahawa Dia istiwa’ di atas Arasy, dan Dia yang menganjur mereka melalui lidah RasulNya bahawa Dia turun ke langit dunia, dan begitulah dengan sifat-sifatNya yang lain. Mereka tidak mempunyai ilmu mengenai semuanya itu melainkan apa yang Dia menghendaki mereka mengetahuinya, maka Dia akan menjadikan ianya diketahui oleh mereka.

Sedemikian itu, maka tidaklah wajar bagi mereka melakukan takyif, iaitu menetapkan suatu kaedah atau menetapkan ‘bagaimana’ bagi sifat-sifat Allah, kerana Dia tidak memberitahu tentang bagaimana keadaanNya. Maka sekiranya ditetapkan suatu kaedah ilmu tentang kaifiyah, iaitu tentang ‘bagaimana’nya sifat-sifatNya, sesungguhnya yang demikian itu adalah satu pembohongan.

Sesungguhnya ilmu makhluk itu serba kekurangan, tidaklah dapat dibandingkan dengan kesempurnaan ilmu Allah. Dan demikianlah pula kesempurnaan sifat-sifatNya dibandingkan dengan kelemahan dan kekurangan sifat-sifat para makhlukNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Ar-Rahman 55:26-27,imageyang bermaksud, “Setiap seseorang yang berada di atasnya adalah tertakluk kepada kebinasaan. Tetapi wajah Tuhanmu, yang memiliki kehebatan dan keagungan serta kemuliaan, kekal”.

Dengan itu ikhlaskanlah beribadah kepada Zat yang Maha meliputi lagi mengetahui segala sesuatu, yang tidak tersembunyi dariNya sesuatu apa pun, dan tidaklah patut ibadat itu ditujukan kepada sesuatu yang tidak mengetahui dan mengerti).

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan