Selasa, 12 Julai 2011

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 4

Disusun oleh Abu Haniff
imageSiapakah ia yang memberi syafaat di sisiNya melainkan dengan izinNya. 

Siapakah ia yang memberi syafaat (iaitu menjadi perantara untuk memohon kebaikan) di sisiNya melainkan dengan izinNya. (Sesungguhnya tiada siapa yang dapat memberi syafaat kepada sesiapa jika Allah menghendaki untuk menghukum orang berkenaan. Hinggakan Rasulullah s.a.w. yang mempunyai kedudukan yang tertinggi di sisi Allah tidak boleh menjadi perantara denganNya untuk sesiapa pun melainkan terlebih dahulu diizinkan Allah.

Keizinan dari Allah akan diberi kepada Rasulullah s.a.w. ketika dia datang bersujud kepada Allah dengan menyuci dan memujiNya sebagaimana ditunjukkan oleh Allah. Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Aku akan datang ke bawah Arasy, lalu aku jatuh bersujud. Kemudian Allah membiarkan aku dalam keadaan demikian menurut apa yang dikehendakiNya. Kemudian Dia berfirman, “Angkatlah kepalamu dan katakanlah apa yang engkau kehendaki, engkau akan didengari, dan jadilah perantara, perantaraanmu atau syafaatmu diterima”.
Rasulullah s.a.w. selanjutnya bersabda,
“Maka Allah menghadkan kepadaku satu had, lalu aku masukkan mereka ke syurga”.
Demikianlah keagungan dan kebesaran serta ketinggian Allah, dan juga kesempurnaan kekuasaanNya bahawa tiada seorang pun yang dapat menjadi perantara dengan Allah kecuali terlebih dahulu diizinkan olehNya, sebagaimana firmanNya di dalam ayat Az-Zumar 39:44,imageyang bermaksud, “Katakanlah, ‘Kepunyaan Allahlah syafaat itu kesemuanya. KepunyaanNyalah kerajaan segala langit dan bumi’ ”. Dan orang yang menjadi perantara itu hendaklah seseorang yang diredaiNya, dan orang yang memerlukan pengantaraan itu hendaklah juga orang yang diredaiNya, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat An-Najm 53:26imageyang bermaksud, “Dan berapa banyaknya malaikat di segala langit, tidaklah syafaat mereka memberi makna apa-apa pun melainkan sesudah bahawa Allah memberi izin bagi orang yang Dia kehendaki dan Dia reda”. Dan sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Anbia' 21:28,imageyang bermaksud, “Dan tidaklah mereka memberi syafaat melainkan bagi barang siapa yang Dia merasa reda”.

Demikian itu terdapat tiga syarat untuk syafaat itu menjadi sah. Pertama ialah mendapat izin Allah, kedua ialah Allah reda terhadap orang yang diizinkan memberi syafaat, dan ketiga ialah Allah reda terhadap orang yang dimohonkan syafaat tersebut. Dan Allah tidak akan reda dengan seseorang melainkan ia mengesakan Allah dan mengikuti para rasulNya.

Adapun syafaat itu ada dua kategori. Kategori pertama, syafaat di dunia, iaitu menjadi perantara dalam menghadapi orang-orang yang memiliki kedudukan dan kekuasaan untuk menyelesaikan keperluan seseorang, dan mengembalikan hak-hak kepada pemiliknya. Yang demikian itu diperbolehkan selagi keperluan itu sesuai dengan syarak, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat An-Nisa' 4:85,imageyang bermaksud, “Sesiapa yang memberikan syafaat dengan syafaat yang baik, adalah baginya bahagian daripadanya. Dan sesiapa yang memberikan syafaat dengan syafaat yang buruk, adalah baginya bahagian yang sama daripadanya. Dan adalah Allah ke atas tiap-tiap sesuatu adalah Maha Kuasa”.

Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Berikanlah syafaat, kamu akan beroleh pahala, tetapi Allah akan memutuskan melalui lisan NabiNya s.a.w. apa yang Dia kehendaki”.
Dan kategori kedua ialah syafaat di akhirat. Syafaat ini sangat berbeza dengan syafaat di dunia, dan ianya terbahagi pula kepada dua kategori. Kategori pertama ialah syafaat eksklusif, yang mana ianya khusus untuk Rasulullah s.a.w. sahaja tanpa ada makhluk lain yang mendapat keistimewaan itu, dan kategori kedua ia syafaat umum, yang mana bukanlah terhad untuk Rasulullah s.a.w. sahaja, tetapi diberikan juga kepada para malaikat, para nabi yang lain, dan orang-orang yang soleh seperti para ulama dan para syhuhada.

Bagi syafaat eksklusif untuk Rasulullah s.a.w., terdapat padanya beberapa jenis.

Yang pertama ialah syafaat yang agung, iaitu syafaat Nabi s.a.w. untuk ahlul-mauqif, orang-orang yang berdiri di padang mahsyar. Ia adalah sebahagian daripada al-maqam al-mahmud, iaitu darjat kemuliaan dan kepujian, yang dengannya Nabi s.a.w. diunggulkan, dan yang dengannya Nabi s.a.w. akan dimuliakan oleh seluruh makhluk, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Isra' 17:79,imageyang bermaksud, “Dan sebahagian dari waktu malam, maka berjaga malamlah mengerjakan solat dengannya sebagai tambahan dari yang diwajibkan kepadamu. Mungkin Tuhanmu membangkitkan engkau dari mati ke kedudukan yang dipuji”.

Di dalam sebuah hadis,3 diriwayatkan Abu Hurairah r.a. menceritakan bahawa pernah dibawa kepada Rasulullah s.a.w. daging, lalu diangkatkan kepadanya bahagian kaki, dan adalah itu dia menyukainya. Lalu dia memakan darinya secebis, kemudian dia bersabda,
“Aku adalah penghulu manusia pada hari kiamat kelak, dan adakah kamu mengetahui mengapa demikian. Allah akan menghimpunkan yang awalnya dan yang akhirnya pada satu padang. Didengarkan kepada mereka seorang yang menyeru, dan penglihatan menyelubungi mereka. Dan matahari menjadi dekat, lalu manusia menjadi tidak tertanggung dari keseksaan dan penderitaan itu, bahawa tidaklah mereka menjadi berupaya, dan tidak sanggup menanggung.

Maka sebahagian manusia berkata kepada sebahagian yang lain, “Apakah tidak kamu melihat apa yang kamu terhadapnya sesungguhnya tidak tertanggung oleh kamu. Apakah tidak kamu mencari seseorang yang dapat menjadi perantara untuk kamu kepada Tuhan kamu”.

Maka sebahagian manusia berkata kepada sebahagian yang lain, “Untuk kamu melalui Adam”. Maka mereka datang kepada Adam a.s, lalu mereka berkata, “Wahai Adam, engkau adalah bapa manusia. Allah telah menjadikan engkau dengan tanganNya, dan Dia telah menghembuskan ke dalammu rohNya, dan Dia telah memerintahkan para malaikat, lalu mereka sujud kepadamu. Oleh itu, jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Adam berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya. Dan sesungguhnya Dia telah melarangku dari pokok itu, lalu aku telah mengingkari. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Nuh”.

Maka mereka datang kepada Nuh, lalu mereka berkata, “Wahai Nuh, engkau adalah pertama-tama rasul kepada penghuni dunia, dan Allah telah menamakan engkau sebagai seorang hamba yang bersyukur. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Nuh berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya, tidak selama-lamanya. Dan sesungguhnya aku pernah mempunyai satu doa yang aku doakannya terhadap kaumku. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Ibrahim”.

Maka mereka datang kepada Ibrahim, lalu mereka berkata, “Wahai Ibrahim, engkau adalah seorang nabi Allah dan kekasihNya di antara penghuni dunia. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Ibrahim berkata, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya”. Maka Ibrahim menyebut beberapa kedustaannya. “Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Musa”.

Maka mereka datang kepada Musa, lalu mereka berkata, “Wahai Musa, engkau adalah seorang rasul Allah. Allah telah memilihmu, dengan risalahNya dan dengan perbualanNya, melebihi manusia yang lain. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Musa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya. Dan sesungguhnya aku pernah membunuh seseorang yang tidaklah Dia memerintahkan dengan pembunuhannya. Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Isa”.

Maka mereka datang kepada Isa, lalu mereka berkata, “Wahai Isa, engkau adalah seorang rasul Allah, dan kalimatNya yang Dia campakkan kepada Maryam, dan roh dariNya. Dan engkau berkata-kata kepada manusia semasa di dalam buaian sebagai seorang bayi lelaki. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka Isa berkata kepada mereka, “Sesungguhnya Tuhanku telah menjadi marah pada hari ini dengan kemarahan yang belum pernah Dia marah sebelumnya seumpamanya, dan tidak akan marah selepasnya seumpamanya”. Dan tidaklah Isa menyebut sebarang dosa. “Diriku, diriku, diriku. Pergilah kamu kepada selain aku, pergilah kamu kepada Muhammad”.

Maka mereka datang kepada Muhammad, lalu mereka berkata, “Wahai Muhammad, engkau adalah seorang rasul Allah dan penamat para nabi. Dan Allah telah mengampunimu apa yang terdahulu dari dosa-dosamu dan apa yang kemudian. Jadilah sebagai perantara bagi kami kepada Tuhanmu. Apakah tidak engkau melihat apa yang kami sedang mengalaminya. Apakah tidak engkau melihat apa yang sesungguhnya tidak tertanggung oleh kami”.

Maka aku akan berdiri, lalu aku datang ke bawah Arasy. Lalu aku jatuh dalam keadaan bersujud kepada Tuhanku. Kemudian Allah membuka untukku dan mengilhami aku tentang puji-pujianNya dan puji-pujian yang baik kepadaNya apa yang belum pernah Dia membukanya kepada seseorang sebelumku. Lalu Allah berfirman, “Wahai Muhammad, angkatkanlah kepalamu, dan mintalah, engkau akan diberikan dengannya. Dan jadilah sebagai perantara, engkau diberi izin menjadi perantara”.

Lalu aku mengangkat kepalaku, dan aku bersabda, “Umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku”. Maka Allah berfirman, “Wahai Muhammad, masukkanlah mana-mana umatmu orang-orang yang tiada hisab ke atasnya dari pintu kanan dari pintu-pintu syurga. Dan mereka yang lain sama-sama berkongsi terhadap yang lainnya dari pintu-pintu itu”.

Kemudian dia bersabda, “Demi yang jiwa Muhammad di tanganNya, sesungguhnya jarak di antara dua tiang pintu dari tiang-tiang pintu syurga sama dengan jarak di antara Mekah dengan Hajar, atau sama dengan jarak di antara Mekah dengan Busra”.
Yang kedua, syafaat Nabi s.a.w. kepada penghuni syurga agar mereka segera masuk syurga, kerana penghuni syurga ketika melewati jambatan, mereka diberhentikan di tengah jambatan yang ada di antara syurga dan neraka. Pintu syurga itu terbuka kerana syafaat Nabi s.a.w..

Di dalam sebuah hadis,4 diriwayatkan Anas bin Malik menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Aku akan datang ke pintu syurga pada hari kiamat, lalu aku meminta ianya dibukakan. Lalu penjaganya berkata, ‘Siapakah engkau’. Lalu aku bersabda, ‘Muhammad’. Maka penjaga itu berkata, ‘Aku telah diperintahkan supaya tidak membuka kepada seseorang pun sebelummu’ ”.
Yang ketiga, syafaat Nabi s.a.w.kepada bapa saudaranya, Abu Talib yang telah melindunginya dan memberi sokongan kepada perjuangan Nabi s.a.w..

Di dalam sebuah hadis,6 diriwayatkan Said Al-Khudri mengatakan bahawasanya bapa saudara Rasulullah s.a.w. Abu Talib telah disebut di sisi Rasulullah s.a.w., lalu Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Semoga syafaatku akan memberi manfaat kepadanya pada hari kiamat, lalu ia diletakkan di dalam bahagian neraka yang di atas, yang mana apinya akan mencapai kedua tumitnya, lalu otaknya akan menggelegak kerananya”.
Yang keempat, syafaat Nabi s.a.w. supaya segolongan dari kalangan umatnya memasuki syurga tanpa dihisab, sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis no. 3 di atas, di mana Abu Hurairah menceritakan Rasulullah s.a.w. bersabda bahawa Allah berfirman,
“Wahai Muhammad, angkatkanlah kepalamu, dan mintalah, engkau akan diberikan dengannya. Dan jadilah sebagai perantara, engkau diberi izin menjadi perantara”. Lalu aku mengangkat kepalaku, dan aku bersabda, “Umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku, umatku wahai Tuhanku”. Maka Allah berfirman, “Wahai Muhammad, masukkanlah mana-mana umatmu orang-orang yang tiada hisab ke atasnya dari pintu kanan dari pintu-pintu syurga. Dan mereka yang lain sama-sama berkongsi terhadap yang lainnya dari pintu-pintu itu”.
Dan bagi syafaat umum, terdapat pula beberapa jenis.

Yang pertama, syafaat untuk mengeluarkan orang-orang yang berdosa dari seksa neraka. Di dalam sebuah hadis,6 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Sesungguhnya demi Yang jiwaku di dalam tanganNya, tiadalah dari kalangan kamu seseorang pun yang lebih mendesak dari orang-orang mukmin pada hari kiamat memohon Allah mengkaji haknya untuk memberi syafaat kepada saudara-saudaranya yang di dalam neraka. Mereka berkata, ‘Tuhan kami, adalah mereka itu bersama-sama kami berpuasa dan menunaikan haji’.

Lalu dikatakan kepada mereka, ‘Keluarkanlah orang-orang yang kamu kenal’. Maka diharamkan neraka ke atas mereka, dan mereka mengeluarkan sejumlah orang yang banyak. Dan Allah berfirman, ‘Para malaikat telah memberi syafaat, para nabi telah memberi syafaat, dan orang-orang mukmin telah memberi syafaat.

Dan tiadalah yang tertinggal melainkan Yang Paling Mengasihani dari yang mengasihani’. Maka Dia menggenggam segenggam dari neraka, lalu Dia mengeluarkan darinya orang-orang yang tidak pernah melakukan apa-apa kebaikan”.
Yang kedua, syafaat bagi orang-orang yang layak dimasukkan ke neraka supaya tidaklah mereka dimasukkan ke dalamnya.

Yang ketiga, syafaat untuk meninggikan darjat orang-orang yang beriman berupa doa Nabi s.a.w. kepada orang-orang yang beriman dan doa orang-orang yang beriman sesama mereka.

 


 

1 Muslim
2 Bukhari
3 Bukhari, Muslim
4 Muslim
5 Bukhari, Muslim
6 Muslim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan