Disusun oleh Abu Haniff
Dan Dia adalah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Besar.
Dan Dia adalah Yang Maha Tinggi (di atas segala-segalanya. Zat yang memiliki kelebihan ketinggian yang mutlak dalam segala aspek, sama ada dalam aspek Zat, kekuasaan, sifat, dan keperkasaan. Dialah Zat yang bersemayam di atas ArasyNya, melampaui dan berbeza dari semua makhlukNya. Sedangkan makhlukNya, ketinggian dan kelebihan yang mereka miliki hanyalah ketinggian dan kelebihan yang terbatas, sebagaimana ketinggian yang Allah firmankan di dalam ayat Ali Imran 3:139,yang bermaksud, “Dan janganlah kamu menjadi lemah, dan janganlah kamu berdukacita, padahal kamulah orang-orang yang lebih tinggi, jika kamu orang-orang yang beriman”, sesungguhnya ketinggian itu adalah terhad bagi orang-orang yang beriman, iaitu lebih tinggi darjatnya dari orang-orang kafir, dan itu bukanlah ketinggian dan kelebihan yang mutlak.
Ketinggian dan kelebihan mutlak hanyalah kepunyaan Allah, kerana Dia Maha Tinggi dan Maha Mulia dari segala kekurangan dan kelemahan. Adapun Maha Tinggi Allah dalam aspek Zat bermaksud bahawa Allah mengatasi segala sesuatu, sedang segala sesuatu itu lebih rendah daripadaNya, dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Agung.
Dan adapun Maha Tinggi Allah dalam aspek sifat bermaksud bahawa Allah layak dengan segala sifat-sifat yang sangat tinggi darjatnya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat An-Nahl 16:60,yang bermaksud, “Dan bagi Allah ialah perbandingan yang tertinggi”, iaitu Allah mempunyai sifat Yang Maha Tinggi.
Setiap sifat yang layak bagi Allah itu adalah sifat yang sempurna, jauh dari sebarang kekurangan dan kelemahan dari segala segi. Tidaklah Dia dapat dibanding dan ditanding dengan sesiapa, apatah lagi dengan orang-orang yang tidak beriman dengan hari akhirat.
Tiada Tuhan melainkan Dia, yang mempunyai kesempurnaan yang mutlak dari segala segi. Tetapi terdapat golongan orang-orang yang membatasi ketinggian Allah hanya dalam aspek sifat sahaja, menolak ketinggianNya dalam aspek Zat. Dan mereka ini, mereka terbahagi pula kepada 2 golongan.
Adapun golongan yang pertama, mereka mengatakan bahawa Allah, dengan ZatNya, berada di mana-mana. Dan jika sedemikian halnya, maka mereka itu menganggap bahawa Allah bertempat atau tidak bertempat pada hayyiz, iaitu suatu benda luaran yang wujud yang mengelilingi dan mengandungi sesuatu. Tetapi jika Allah bertempat pada hayyiz, maka tentulah Dia memerlukan tempat-tempat untuk bertempat, dan tidak akan ada satu tempat yang tinggal.
Dan jika Dia tidak bertempat pada hayyiz, maka Dia menjadi tidak wujud. Dan golongan yang pertama ini tidak pula mengatakan bahawa yang tidak bertempat pada hayyiz adalah seperti udara atau yang sepertinya, yang tidak bertempat pada sesuatu hayyiz tetapi wujud. Yang demikian itu kerana tidaklah selari dengan kefahaman mereka.
Adapun golongan yang kedua, mereka mengatakan, “Tidaklah Allah berada di atas dan tidaklah pula di bawah. Tidaklah juga di dalam dan tidak pula di luar. Tidak di kiri dan tidak di kanan. Tidak bergabung dan tidak berpisah”. Sesungguhnya kefahaman sebegini adalah satu penidakan yang mutlak, kerana ianya adalah satu pentakrifan yang sempurna mengenai ketidakwujudan, sehingga sebahagian ulama mengatakan, “Jika kita diminta untuk menerangkan ketidakwujudan, maka tiadalah satu pentakrifan yang lebih komprehensif daripada pentakrifan ini”.
Demikianlah penidakan mereka terhadap apa yang telah ditetapkan oleh naql dan aql, yakni dalil dan rasional, telah mendorong mereka mengatakan apa yang tidak dapat diterima oleh deria persepsi, dan tidak juga oleh naql dan aql. Sesungguhnya terdapat banyak hujah di dalam Al-Quran yang menerangkan tentang ketinggian Allah, sebagaimana contohnya di dalam ayat Al-Baqarah 2:255 ini, Allah berfirman, yang bermaksud, “Dan Dia ialah Yang Maha Tinggi, Yang Maha Besar”. Dan di dalam ayat Al-A'la 87:1, Allah berfirman,yang bermaksud, “Muliakanlah nama Tuhanmu Yang Paling Tinggi”. Dan terdapat ayat yang menyatakan keadaan Allah yang di atas makhlukNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-An'am 6:18,yang bermaksud, “Dan Dia adalah Yang Maha Menakluk, di atas hamba-hambaNya”. Dan terdapat ayat yang menerangkan bagaimana sesuatu itu naik kepadaNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Fatir 35:10,yang bermaksud, “KepadaNyalah kalimat yang baik naik, dan amalan soleh naik mengangkatnya”. Dan sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Ma'arij 70:4,yang bermaksud, “Para malaikat dan Ruh itu naik kepadaNya”. Dan terdapat pula ayat yang menerangkan bagaimana sesuatu itu turun daripadaNya, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat As-Sajadah 32:5,yang bermaksud, “Dia mengatur urusan dari langit ke bumi”. Dan sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Hijr 15:5,yang bermaksud, “Sesungguhnya Kami, Kamilah yang telah menurunkan Peringatan itu”. Dan terdapat pula ayat yang menegaskan bahawasanya Allah di langit, sebagaimana yang Dia firmankan di dalam ayat Al-Mulk 67:16,yang bermaksud, “Apakah kamu merasa aman dari Dia yang di langit, bahawa tidaklah Dia menyebabkan bumi menelan kamu”. Dan di samping ayat-ayat Al-Quran yang menyatakan tentang ketinggian Allah, terdapat pula hadis-hadis yang menegaskan sedemikian itu.
Di dalam sebuah hadis,1 diriwayatkan ketika Mu’awiyah bin Hakam datang membawa kepada Rasulullah s.a.w. seorang hamba perempuan berkulit hitam, maka Rasulullah s.a.w. bersabda kepada hamba perempuan itu,
“Di manakah Allah”. Ia menjawab, “Di langit”. Rasulullah s.a.w. bertanya lagi, “Siapakah aku”. Ia menjawab, “Rasulullah”. Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, “Bebaskanlah ia, maka sesungguhnya ia adalah seorang mukminah”.
Dan di dalam sebuah hadis lagi,2 ketika di hadapan perhimpunan kaum muslim semasa menunaikan haji wada’, Rasulullah s.a.w. menunjukkan jarinya ke langit lalu bersabda sebanyak tiga kali, “Ya Allah, saksikanlah”. Dan sesungguhnya manusia ini secara fitrahnya mengakui hakikat bahawa Allah berada di langit. Kerana itulah apabila seseorang itu memohon dan berdoa kepada Tuhannya, maka hatinya akan tergerak untuk mengangkat tangannya ke langit, ke arah Penciptanya Yang Maha Tinggi), Yang Maha Besar (melebihi segala-segalanya, yang memiliki kesempurnaan kebesaran yang mutlak, menghimpun seluruh sifat keagungan, kebesaran, keterpujian, dan keelokan.
Tiadalah sesuatu yang lebih besar dariNya. Dan keagungan segala sesuatu, walau bagaimana besar sifatnya, sesungguhnya ia adalah rendah, tidak ada ertinya di sisi keagungan yang Maha Tinggi dan Yang Maha Besar.
Dengan itu apabila seseorang merasa bangga dengan dirinya sendiri, maka hendaklah ia ingat ketinggian Allah yang mengatasi segala sesuatu, Yang Maha Perkasa, Yang Maha Agung. Dan apabila seseorang menyangka dirinya besar, maka ingatlah akan kebesaran Allah. Lalu ingatlah supaya tidak dilanggar akan hak orang lain, sebagaimana firmanNya di dalam ayat An-Nisa' 4:34 tentang para isteri yang taat,yang bermaksud, “Kemudian jika mereka telah mentaatimu, maka janganlah kamu mencari terhadap mereka sebab. Sesungguhnya Allah, adalah Dia Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
Sesungguhnya Allah, Dia adalah Zat yang secara mutlak tidak ada sesuatu pun yang boleh mencegah kehendakNya, dan tidak ada sesuatu yang sanggup melemahkanNya. Inilah ayat Kursi. Satu ayat yang disebutkan sebagai ayat yang paling agung di dalam Kitabullah.
Di dalam sebuah hadis,3 Rasulullah s.a.w. pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’b,
“Apakah ayat yang paling agung di dalam Kitabullah”. Ubay menjawab, “Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui”. Rasulullah s.a.w. mengulangi pertanyaannya beberapa kali, dan Ubay menjawab, “Ayat Kursi”. Lalu Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tahniah kepadamu kerana memiliki ilmu itu, wahai Abu Munzir. Demi yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya ayat ini mempunyai lidah dan sepasang bibir yang menyucikan Allah di sisi tiang Arasy”.
Dan di dalam ayat Kursi ini terdapat nama Allah yang paling agung. Di dalam sebuah hadis,4 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda tentang ayat Kursi dan ayat Ali Imran 3:1-2 dengan sabdanya,
“Sesungguhnya di dalam kedua ayat tersebut terdapat nama Allah yang paling agung”.
Dan ayat Kursi ini seharusnya dibaca selepas setiap solat fardu kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda di dalam sebuah hadis5 dengan sabdanya,
“Barang siapa yang membaca ayat Kursi selepas satu solat fardu, ia akan berada di bawah pemeliharaan Allah sehingga solat fardu seterusnya”.
Di dalam sebuah hadis yang lain,5 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barang siapa yang membaca ayat Kursi selepas setiap solat fardu, maka tiada yang mencegahnya dari dimasukkan ke syurga melainkan mati”.
Dan keutamaan ayat Kursi di dalam memelihara seseorang dari gangguan syaitan telah diceritakan oleh Abu Hurairah di dalam sebuah hadis,7
“Rasulullah s.a.w. telah melantik diriku untuk menjaga zakat Ramadan. Kemudian datang kepadaku seorang pendatang baru, lalu dia dengan tergesa-gesa mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku menangkapnya dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w.’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku adalah orang miskin, dan ke atasku tanggungan yang ramai, dan bagiku keperluan yang mendesak’.Aku membebaskannya.Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan yang mendesak, dan tanggungan yang ramai, hingga aku kasihan kepadanya, maka aku bebaskan dia’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu dan dia pasti akan kembali lagi’.Aku mengetahui bahwa dia akan kembali karena sabda Rasulullah s.a.w. yang mengatakan bahwa dia akan kembali. Oleh itu aku menghendapnya. Ternyata dia datang lagi, lalu tergesa-gesa mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku tangkap dia, dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w.’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku adalah orang miskin, dan ke atasku tanggungan yang ramai, aku tidak akan kembali lagi’.Aku merasa kasihan kepadanya dan aku bebaskan dia. Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mengadu tentang keperluan dan tanggungan yang ramai, hingga aku kasihan kepadanya, maka aku bebaskan dia’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta kepadamu dan dia pasti akan kembali lagi’.Oleh itu aku menghendapnya untuk ketiga kalinya. Ternyata dia datang lagi, lalu tergesa-gesa mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka aku tangkap dia, dan aku berkata, ‘Pastinya aku akan bawa engkau kepada Rasulullah s.a.w., dan ini adalah kali ketiga bahawasanya engkau tegaskan bahawa engkau tidak akan kembali lagi, kemudian engkau kembali juga’. Orang itu berkata, ‘Lepaskanlah aku, akan aku ajar engkau beberapa kalimat yang Allah akan memberi manfaat kepadamu kerananya’.Aku bertanya, ‘Dan apakah ia’. Dia menjawab, ‘Apabila engkau membawa dirimu untuk berehat ke hamparan tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi,yang bermaksud: Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang Berdiri SendiriNya”, hingga engkau selesaikan ayat ini.Maka sesungguhnya Allah akan menentukan kepada engkau seorang pengawal yang akan terus‑menerus bersamamu, dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi harinya’. Maka aku bebaskan dia.Pada pagi harinya Rasulullah s.a.w. bertanya kepadaku, ‘Wahai Abu Hurairah, apa tawananmu telah lakukan semalam’. Aku menjawab, ‘Wahai Rasulullah, dia mendakwa bahawa dia mengajarkan aku beberapa kalimat yang Allah akan memberi manfaat kepadaku kerananya, maka aku bebaskan dia’. Rasulullah s.a.w. bertanya, ‘Apakah kalimat-kalimat itu’. Aku menjawab, ‘Dia mengatakan kepadaku: Apabila engkau membawa dirimu untuk berehat ke hamparan tempat tidurmu, maka bacalah ayat Kursi dari awalnya hingga engkau selesaikan ayat itu, yaitu,yang bermaksud: Allah, tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Hidup, Yang berdiri sendiriNya. Dan dia berkata kepadaku: Allah akan menentukan kepada engkau seorang pengawal yang akan terus‑menerus bersamamu, dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi harinya’.Sedangkan mereka para sahabat adalah orang‑orang yang paling suka kepada kebaikan. Maka Nabi s.a.w. bersabda, ‘Adapun sesungguhnya dia telah bercakap benar kepadamu, sedangkan dia adalah seorang pendusta. Tahukah engkau siapakah orang yang engkau bercakap selama tiga malam itu, wahai Abu Hurairah’. Aku menjawab, ‘Tidak’. Nabi s.a.w. bersabda, ‘Itulah syaitan’ ”).
1 Ahmad, Muslim, Abu Daud, An-Nasa’i, Malik, Syafii
2 Muslim, Abu Daud, Ibnu Majah
3 Ahmad
4 Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi
5 At-Tabrani
6 Ibnu Murdawaih, An-Nasa’i, At-Tabrani, Ibnu Sunni, Ibn Hibban
7 Bukhari, An-Nasa’i
Muat Turun Tafsir Ayat Kursi – Bahagian 7
Tiada ulasan:
Catat Ulasan