Selasa, 12 Julai 2011

Di antara akhlak orang-orang yang takutkan Allah - bernafkah pada masa senang dan susah, dan menahan diri dari marah, dan memaafkan orang

Disusun oleh Abu Haniff
  
image
Dan bersegeralah kamu kepada pengampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang takutkan Allah. Orang-orang yang bernafkah pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan diri dari marah, dan orang-orang yang memaafkan orang. Dan Allah, Dia mencintai orang-orang yang berbuat ihsan. (Ali Imran 3:133-134) 

Dan bersegeralah kamu kepada pengampunan dari Tuhan kamu dan syurga yang luasnya seluas seluruh langit dan bumi, yang disediakan untuk orang-orang yang takutkan Allah. (Iaitu) orang-orang yang bernafkah (akan hartanya) pada masa senang dan susah, (pada masa suka dan duka, pada masa sihat dan sakit, tidak pernah menolak untuk menafkahkan hartanya pada bila-bila masa, sesuai dengan tuntutan keadaan, sebagaimana juga yang disebutkan oleh firman Allah di dalam ayat Al-Baqarah 2:274,imageyang bermaksud, “Orang-orang yang menafkahkan harta-harta mereka di waktu malam dan siang, secara rahsia dan secara terbuka”.

Adalah menjadi suatu lumrah bahawa di waktu senang, kesenangan itu mampu menjadikan seseorang itu lebih tamak, lebih kedekut dan lebih panjang cita-citanya sehingga ia derhaka dengan hartanya. Sedangkan di waktu susah, seseorang itu merasa bahawa ia lebih patut menerima daripada memberi. Oleh itu jika seseorang itu menafkahkan hartanya di jalan Allah pada masa senangnya dan pada masa susahnya, maka ia telah berjaya membebaskan dirinya dari beban hartanya, dan itu adalah bukti dari ketakwaannya.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Siapakah di antara kamu yang harta warisnya ia lebih mencintainya dari hartanya sendiri. Mereka menjawab, “Wahai Rasulullah, tiadalah seseorang pun di antara kami melainkan hartanya sendiri ia lebih mencintainya dari harta warisnya. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Kamu ketahuilah, sesungguhnya tiada seseorang pun di antara kamu melainkan harta warisnya ia lebih mencintainya dari hartanya sendiri. Bukanlah milikmu daripada hartamu itu melainkan apa yang engkau telah kirimkan sebagai amalan yang soleh, dan bukanlah milik warismu melainkan apa yang engkau tinggalkan”.
Begitulah orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang sanggup menafkahkan harta mereka pada masa senang dan susah), dan (orang-orang yang takutkan Allah itu ialah) orang-orang yang menahan diri dari marah (akan orang lain, padahal mereka mampu memarahi. Dia menahan diri dari marah dari orang yang membuatnya marah dan dari orang yang menzaliminya. Sesungguhnya banyak sekali pesanan Rasulullah s.a.w. supaya seseorang itu menahan dirinya dari marah, dan hebat sekali kelebihan orang yang dapat menahan marahnya.

Di dalam sebuah Hadis Qudsi,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda bahawa Allah berfirman,
“Wahai anak Adam, ingatlah kepadaKu apabila engkau marah, nescaya Aku mengingatimu apabila Aku marah. Maka tidaklah Aku membinasakan engkau bersama-sama dengan orang-orang yang aku binasakan”.
Di dalam sebuah hadis yang lain,3 diriwayatkan bahawa seorang lelaki telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.,
“Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku.” Jawab Rasulullah s.a.w. , “Janganlah engkau marah.” Lelaki tersebut mengulangi pertanyannya berkali-kali dan Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah engkau marah”.
Di dalam sebuah hadis lagi,4 seorang lelaki berkata,
“Wahai Rasulullah, berilah nasihat kepadaku”. Nabi s.a.w. menjawab, “Janganlah kamu marah”. Lelaki itu berkata lagi, “Lalu aku berfikir dalam-dalam ketika Rasulullah s.a.w. bersabda apa yang dia sabdakan itu, maka kalau begitu  marah itu menghimpun kejahatan kesemuanya”.
Di dalam sebuah hadis yang lain,5 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barang siapa yang menahan kemarahan, sedangkan ia mempunyai kuasa melaksanakannya, Allah akan memanggilnya di mata semua makhluk, hingga memilihkan untuknya daripada mana-mana saja bidadari”.
Dan di dalam sebuah hadis lagi,6 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Tiadalah seseorang hamba menghirup dari suatu tegukan yang melebihi pahalanya dari suatu tegukan kemarahan yang ia menahannya di dalam mencari reda Allah”.
Berbanding dengan mereka yang tenggelam dalam kemarahan dan rasa dendam, maka mereka tidak akan mampu berlaku adil, tidak berdaya menegakkan kebenaran, tetapi sebaliknya mereka akan melakukan perbuatan yang derhaka.

Demikianlah sifat orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang yang bernafkah pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan diri dari marah), dan orang-orang yang memaafkan orang (yang telah membuat zalim terhadap diri mereka, sehingga tiada sedikit pun perasaan benci yang ada dalam hati mereka terhadap sesiapa pun.

Tidaklah mereka membalas kesalahan orang lain kepada mereka, padahal mereka sanggup melakukannya. Inilah yang merupakan akhlak yang paling sempurna. Sesungguhnya sikap memberi maaf ini adalah jauh lebih tinggi daripada menahan marah. Seseorang yang berdengki dan berhasad itu dapat menahan marahnya, tetapi ia tidak mungkin dapat memberi maaf.

Di dalam sebuah hadis,7 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Ada tiga perkara yang aku berani bersumpah ke atasnya. Tidaklah harta menjadi berkurangan kerana sedekah, dan tidaklah Allah menambahkan kepada seorang hamba yang pemaaf melainkan kehormatan, dan barang siapa yang merendahkan dirinya kerana Allah, nescaya Allah akan mengangkat kedudukannya”.
Di dalam sebuah hadis yang lain,8 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Barang siapa yang menjadikannya gembira bahawa dimuliakan baginya dengan bangunan di syurga dan di angkat baginya darjatnya, maka hendaklah ia memaafkan orang yang menzaliminya, dan memberi kepada orang yang tidak memberi kepadanya, dan menghubungi orang yang memutuskannya”).
Dan Allah, Dia mencintai orang-orang yang berbuat ihsan (yang menafkahkan harta mereka pada masa senang dan susah, yang menahan marah mereka walaupun mampu memarahi dan yang memaafkan orang yang menzalimi mereka. Mereka ini dikasihi Allah, dan mereka kasihkan Allah. Mereka bersikap lapang dada, toleran, mudah dan bebas dari dendam kesumat.

Mereka ialah kelompok yang bersatu padu, kelompok yang bersaudara dan kelompok yang kuat. Untuk mereka ialah sebesar-besar pahala, iaitulah kecintaan Allah kepada hambaNya. Maka di sinilah terletak hubungan di antara bimbingan ayat ini dengan perjuangan di medan peperangan dan perjuangan di medan kehidupan).



1 Ahmad
2 Ibnu Abu Hatim.
3 Bukhari.
4 Ahmad.
5 Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah.
6 Ibnu Murdawaih.
7 Ahmad.
8 Al-Hakim.

Muat Turun Di antara akhlak orang-orang yang takutkan Allah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan