Selasa, 12 Julai 2011

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 2

Disusun oleh Abu Haniff
  

image Tidaklah mengantuk menimpaNya dan tidak juga tidur.

 
Tidaklah mengantuk menimpaNya dan tidak juga tidur. (Dia tidak berhajat kepada tidur sebagaimana makhluknya berhajat kepada tidur untuk berehat dari penat dan lelah. Maha Mulia Allah dari ketidaksempurnaan sedemikian. Maha Mulia Dia dari sebarang ketidaksempurnaan, kekurangan, kelalaian, atau kelupaan yang diakibatkan oleh mengantuk dan tidur di dalam Dia mengatur, mentadbir, dan memelihara semua makhlukNya.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Sesungguhnya Allah tidak tidur, dan tidaklah layak bagiNya bahawa Dia tidur”.
Bahkan Allah sentiasa sedar dan mengawal setiap amal perbuatan hambaNya. Dia menyaksi segala sesuatu. Tiada sesuatu yang terlepas dari pengetahuanNya. Tiada rahsia yang menjadi rahsia kepadaNya. Sekiranya Allah dapat ditimpa mengantuk atau tidur, maka ketika Dia sedang tidur itu, sudah tentu Dia akan meninggalkan makhlukNya, sedangkan semua makhluk sentiasa berhajat kepadaNya, bahkan orang yang sedang tidur pun berhajat kepadaNya.
Di dalam ayat Az-Zumar 39:42, Allah berfirman,imageyang bermaksud, “Allah mengambil untuk diriNya jiwa itu ketika kematiannya, dan yang tidak mati semasa tidurnya. Lalu Dia menahan yang Dia mentakdirkan ke atasnya kematian, dan Dia membebaskan yang lain kepada satu tempoh yang ditetapkan. Sesungguhnya di dalam yang demikian itu, pastinya ada ayat-ayat bagi kaum yang memikirkan dalam-dalam”.

Dan di dalam sebuah hadis,2 diriwayatkan ketika hendak tidur, Rasulullah s.a.w. berdoa,
إِنْ أمْسَكْتَ نَفْسِي فَارْحَمْهَاوَإِنْ أَرْسَلْتَهَافَاحْفَظْهَابِمَاتَحْفَظُ بِهِ عِبَادَكَﭐلصَّالِحِينَ
yang bermaksud, “Jika Engkau menahan ruhku, maka kasihanilah ia. Dan jika Engkau membebaskan ia, maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memeliharanya hamba-hambaMu yang soleh”.

Sesungguhnya di dalam ayat ini tidaklah Allah berfirman لَايَوْسَنُ وَلَايَنَامُ, yakni “Tidaklah Dia mengantuk, dan tidaklah juga tidur”, tetapi Dia berfirman,imageyakni “Tidaklah mengantuk menimpaNya dan tidak juga tidur”.

Yang demikian itu bermakna tidaklah perlu bagi Allah untuk melawan diriNya supaya tidak mengantuk dan supaya tidak tidur. Tetapi sekiranya Allah berfirman لَايَوْسَنُ وَلَايَنَامُ, maka bermakna Allah terpaksa melawan diriNya untuk tidak mengantuk dan tidak tidur. Namun tidaklah itu terjadi pada Allah kerana tidur bukanlah sifat yang ada padaNya.

Sifat tidur itu adalah satu sifat yang tidak sempurna, yang tidak layak bagiNya, yang bertentangan dengan kesempurnaan ZatNya dan juga bertentangan dengan kesempurnaan hubunganNya dengan yang lain. Demikianlah di antara kesempurnaan sifat Hayat dan Qayyum, ialah tidaklah Allah ditimpa mengantuk atau tidur.

Hanya makhluk yang mempunyai sifat lemah dan fana yang mengalami mengantuk dan tidur, lalu tidaklah dapat ia menjaga sesuatu ketika ia tidur, dan banyak pekerjaannya yang tidak akan dapat ia lakukan. Sesungguhnya tidur adalah satu sifat kekurangan kerana ia menandakan bahawa tubuh seseorang itu menjadi letih, lalu ia memerlukan tidur untuk berehat memulihkan dirinya. Itulah sebabnya mengapa para penghuni syurga tidak tidur, kerana kesempurnaan tubuh dan hidup mereka, dan tidaklah mereka dihinggapi oleh penyakit dan kecacatan yang lain.

Adapun tidur, ia juga bererti seseorang itu berubah dan berpindah dari satu keadaan kepada keadaan yang lain. Lalu para cerdik pandai dan para pengkaji telah banyak berusaha menjalankan kajian, penelitian, dan eksperimen berkaitan dengan tidur. Namun persoalan tidur masih menjadi rahsia yang tersembunyi bagi manusia, meskipun dengan perkembangan ilmu dan teknologi yang pesat ini.

Sesungguhnya tidur, ia adalah salah satu tanda dari tanda-tanda kekuasaan Allah yang menunjukkan kekuasaanNya. Ia merupakan salah satu dari nikmat-nikmatNya yang menunjukkan limpah kurnia dan belas kasihanNya. Dan ia merupakan salah satu rahsia dari rahsia-rahsiaNya untuk makhlukNya, lalu ia menunjukkan keluasan ilmuNya dan ketinggian kebijaksanaanNya. Di dalam ayat Ar-Rum 30:23, Allah berfirman,imageyang bermaksud, “Dan sebahagiannya dari tanda-tandaNya ialah masa bagi tidur di waktu malam, dan waktu siang, dan pencarian kamu terhadap kurniaNya. Sesungguhnya di dalam yang demikian itu, pastinya ada ayat-ayat bagi kaum yang mendengar” ).

1 Muslim
2 Bukhari, Muslim


Muat turun Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 2

Tiada ulasan:

Catat Ulasan