Selasa, 12 Julai 2011

Hukum Mengadakan Sutrah Ketika Solat

Disusun oleh Abu Haniff

Para ulama, mereka berselisih pendapat tentang hukum mengadakan sutrah ketika solat. Ada yang berpendapat wajib, dan ada yang berpendapat sunat.
 
Jumhur ulama, mereka berpendapat hukumnya sunat. Lalu bila ada sesuatu yang melintasi di hadapan orang yang solat yang tidak mengadakan sutrah di hadapannya, maka yang demikian itu tidaklah membatalkan solatnya, tetapi mengurangi nilai solatnya. Mereka juga berpendapat, sutrah hanyalah merupakan penyempurna solat yang dikerjakan, dan tidaklah ia termasuk dalam amalan solat.
 
Jumhur ulama, yang berpendapat bahawa mengadakan sutrah itu adalah sunat, mereka berdalil dengan hadis dari Abu Sa'id AI-Khudri r.a.,1 bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Apabila salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu yang dapat menghalanginya dari manusia, lalu ada seseorang ingin melintasi di hadapannya, maka hendaknya ia menolaknya. Apabila orang yang hendak melintas itu enggan, tetap hendak melintas, maka hendaklah ia melawannya kerana orang itu adalah syaitan”.
Mereka mengatakan bahawa sabda Rasulullah s.a.w.“Apabila salah seorang dari kamu solat menghadap sesuatu yang dapat menghalanginya dari manusia” menunjukkan bahwa orang yang solat boleh jadi di hadapannya ada sesuatu yang menghalanginya, dan boleh jadi tidak ada.
 
Sedangkan para ulama yang mewajibkan sutrah, mereka mengatakan bahawa di samping hadis Abu Sa'id AI-Khudri r.a. ini, terdapat hadis yang lain yang jelas, yang melarang solat tanpa sutrah, sebagaimana di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. bersabda,
“Janganlah engkau solat melainkan ke arah sutrah, dan jangan engkau biarkan seseorang pun melintasi di hadapanmu. Bila orang itu enggan, tetap hendak melintas, lawanlah ia kerana bersamanya ada qarin”.
Dan sebagaimana perintah Rasulullah s.a.w. untuk memacakkan tombak sebagai sutrah untuk solat. Dari Ibnu Umar r.a., dia menceritakan,3
 “Rasulullah s.a.w. apabila dia keluar ke tanah lapang untuk mengerjakan solat hari raya, dia memerintahkan pelayannya untuk membawa tombak lalu dipacakkan di hadapannya. Lalu beliau solat menghadapnya sementara manusia menjadi makmum di belakangnya. Dan Rasulullah s.a.w. juga melakukan yang demikian ketika bermusafir”.
Jumhur ulama, yang berpendapat bahawa mengadakan sutrah itu adalah sunat, mereka juga berdalil dengan hadis dari Ibnu Abbas r.a.,4 dia menceritakan,
“Aku datang dengan menunggang keldai betina, saat itu aku hampir baligh, sementara Rasulullah s.a.w. sedang solat mengimami manusia di Mina tanpa ada tembok di hadapannya. Lalu aku melintasi di hadapan sebahagian saf. Selepas itu aku turun dari keldai tersebut dan aku membiarkannya pergi merumput. Kemudian aku masuk ke dalam saf. Tidak ada seorang pun yang mengingkari perbuatanku tersebut”.
Dari lafaz tanpa ada tembok di hadapannya, jumhur ulama berpendapat bahawa Rasulullah s.a.w. solat tanpa ada sutrah di hadapannya.
 
Walau bagaimanapun, para ulama yang mewajibkan sutrah, mereka mengatakan, tidak adanya tembok bukanlah bererti tidak ada sutrah, kerana kemungkinan Rasulullah s.a.w. menghadap kepada selainnya tembok. Bahkan hadis ini dikategorikan oleh Imam AI-Bukhari rahimahullahu di bawah bab, “Sutrah imam adalah sutrah bagi makmum yang solat di belakangnya”.

Dengan demikian, bererti tidaklah Imam AI-Bukhari memahami bahawa tidak ada sutrah dari hadis ini. Dan AI-Hafizh Ibnu Hajar menjelaskan di dalam kitab Fathul Bari, “Seakan-akan AI-Bukhari membawa perkara ini kepada kebiasaan yang memang diketahui dilakukan oleh Rasulullah s.a.w., yaitu tidaklah beliau melakukan solat di tanah lapang melainkan sebuah tombak ada di hadapan beliau”.
 
Dan jumhur ulama, mereka juga berdalil dengan hadis dari Ibnu Abbas r.a.,5 dia berkata,
“Nabi s.a.w. pernah solat di tanah lapang, sedangkan tidak ada sesuatu di hadapan beliau”.
Tetapi hadis ini adalah sebuah hadis yang daif kerana dalam sanadnya terdapat AI-Hajjaj bin Arthah, seorang perawi yang lemah. Maka tidaklah dapat hadis ini dijadikan sebagai hujah.
 
Dan para ulama yang mewajibkan sutrah, mereka menguatkan lagi hujah mereka dengan mengatakan, “Termasuk perkara yang menguatkan kewajipan sutrah ialah dengan adanya sutrah di hadapan orang yang solat, maka itu merupakan sebab syarii tidak batalnya solat orang tersebut apabila wanita yang sudah baligh, keledai, dan anjing hitam melintasi di hadapan sutrahnya, sebagaimana disebutkan dalam hadis yang shahih. Dan juga dengan adanya sutrah, orang yang solat tersebut berhak menahan orang yang ingin melintasi di hadapannya”.
 
Orang yang meletakkan sutrah atau menjadikan sesuatu yang ada di hadapannya sebagai sutrah, haruslah mendekat dengan sutrahnya tersebut agar syaitan tidak mengganggu solatnya, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w. di dalam sebuah hadis,6
 “Apabila salah seorang dari kamu solat menghadap sutrahnya, hendaklah ia mendekat ke sutrah tersebut agar syaitan tidak memutus solatnya”.
Yang dimaksudkan dengan “agar syaitan tidak memutus solatnya” ialah agar syaitan tidak mengganggu tumpuannya dengan mendatangkan was-was dan menguasainya dalam solatnya. Dengan itu, sesungguhnya sutrah, ia dapat mencegah syaitan dari mengganggu seseorang yang sedang solat dengan memasukkan was-was ke dalam hatinya.
 
Di dalam sebuah hadis,7 dari Sahl bin Sa'd As-Sa'idi r.a., dia berkata,
“Jarak di antara tempat Rasulullah s.a.w. berdirinya dalam solatnya dengan tembok adalah sekadar seekor kambing melintas”.
Imam Nawawi berkata, “Dalam hadis ini menunjukkan bahawa merupakan satu sunnah seorang yang solat itu mendekat dengan sutrahnya”.
 
Para ulama menafsirkan jarak bagi seekor kambing melintas ialah sejauh 3 hasta dengan berdalilkan hadis Bilal r.a. yang mengatakan,8 
“Sesungguhnya Nabi s.a.w. solat di Kaabah, jarak antaranya dan dinding ialah sejauh tiga hasta”.

 

 

 

 


 

1 Bukhari, Muslim.
2 Ibnu Khuzaimah. Disahihkan oleh AI-Albani.
3 Bukhari, Muslim.
4 Bukhari, Muslim.
5 Ahmad, Bukhari.
6 Abu Daud.
7 Bukhari, Muslim.
8 Malik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan