Selasa, 12 Julai 2011

Isbal - (Melabuhkan pakaian ke bawah buku lali)

Disusun oleh Abu Haniff

Apakah melabuhkan pakaian ke bawah buku lali, atau perbuatan isbal adalah sesuatu yang salah. Boleh dikatakan semua orang melakukannya. Ustaz‑ustaz melakukannya, pak haji‑pak haji melakukannya. Maka, di manakah salahnya isbal itu. Mungkin yang tak boleh tu hanyalah semasa solat sahaja. Di waktu yang lain, kalau melakukannya bukan kerana sombong tidaklah menjadi masalah.

Demikianlah sikap kebanyakan orang terhadap isbal. Bahkan orang yang tidak mengisbalkan pakaian mereka yang dipersenda‑sendakan, walhal Rasulullah s.a.w. telah melarang keras perbuatan isbal sama ada dilakukan kerana sombong atau tidak, di dalam solat atau bukan di dalam solat.

Dari A'la bin Abdul Rahman, dari ayahnya, dia berkata bahawa dia pernah menyoal Abi Said Al‑Khudri r.a. tentang izar, lalu Abi Said menjawab,
"Terhadap orang yang maklum, engkau bertanya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 'Izar seorang muslim itu ialah sampai ke separuh kaki, dan bukanlah satu kesalahan atau satu dosa terhadap apa yang di antara separuh kaki dengan dua buku lali. Dan apa yang lebih rendah dari dua buku lali, maka ia adalah di dalam neraka. Barang siapa yang mengheret izarnya dengan sombong, Allah tidak akan melihat kepadanya' ". (Abu Daud, Malik, An‑Nasa’i, Ibnu Majah)
Daripada hadis ini sahaja sudah terdapat segala apa yang perlu diketahui tentang isbal. Mula‑mulanya Rasulullah s.a.w. memberi penjelasan tentang batasan labuh pakaian seseorang muslim. Kemudian Rasulullah s.a.w. memberitahu tentang hukuman‑hukuman terhadap 2 jenis orang yang melakukan isbal.

Terhadap jenis yang pertama, iaitu orang yang melakukan isbal secara mutlak, yakni yang melakukan isbal bukan kerana sombong, maka hukuman terhadapnya ialah apa yang lebih rendah dari dua buku lali, maka ia adalah di dalam neraka, yakni anggota tubuh yang berada di bawah buku lali yang ditutupi oleh pakaian seseorang itu adalah di dalam neraka.

Dan terhadap jenis yang kedua, iaitu yang melakukan isbal dengan sombong, maka hukumannya tersangatlah berat, di mana Allah tidak akan melihat kepadanya di akhirat kelak, yakni Allah tidak akan mempedulikannya di akhirat kelak.

 Dari satu hadis ini sahaja sudah menjadi jelas bahawa perbuatan isbal itu adalah sesuatu yang dilarang sama ada dilakukan bukan kerana sombong atau dilakukan kerana sombong. Dan di dalam hadis ini tidaklah Rasulullah s.a.w. mengkhususkan larangan itu hanya semasa solat. Bermakna perbuatan isbal dilarang untuk semua keadaan.

Walau bagaimanapun memang terdapat hadis‑hadis yang mengancam secara khusus orang yang melakukan isbal kerana sombong ketika solat.
 
Dari Ibnu Mas'ud r.a., dia berkata,
"Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Barang siapa yang mengisbalkan izarnya di dalam solat kerana sombong, maka tiadalah dari Allah sesuatu yang halal dan tiadalah juga sesuatu yang haram"'. (Abu Daud)
Dari Abdullah bin 'Amr, dari Rasulullah s.a.w., dia bersabda,
"Allah tidak akan melihat kepada solat seorang lelaki yang mengheret izarnya kerana sombong". (Ibnu Khuzaimah)
Dengan itu, sekiranya seseorang itu merasakan bahawa dirinya melakukan isbal bukan kerana sombong, dan ia kebal dari ancaman Rasulullah s.a.w. bagi orang‑orang yang melakukan isbal bukan kerana sombong bahawa anggota tubuhnya yang berada di bawah buku lali yang ditutupi oleh pakaiannya adalah di dalam neraka, maka bolehlah ia mengisbalkan pakaiannya ketika solat, dan tidaklah perlu ia bersusah payah menggulung kaki seluarnya ketika solat, walhal Rasulullah s.a.w. juga melarang perbuatan mengumpulkan atau menggulungkan pakaian dan rambut ketika solat.
 
Dari Ibnu Abbas r.a., dari Nabi s.a.w., dia bersabda,
"Aku telah diperintahkan bahawa aku sujud di alas 7 anggota tubuh, tidaklah aku menggulung pakaian dan tidak juga rambut". (Bukhari, Muslim, Abu Daud, At‑Tirmizi, An‑Nasa’i, Ibnu Majah)
Di dalam kitabnya Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi berkata, "Para ulama telah bersepakat mengenai larangan mengerjakan solat dengan menggulung pakaian, mengikat rambut, atau perkara yang serupa. Semua yang disebutkan itu merupakan sesuatu yang dilarang. Kedudukan larangan ini adalah sebagai makruh tanzih, iaitu makruh yang mendekati hukum boleh. Sekiranya seseorang mengerjakan solat di dalam keadaan seperti ini, maka ia dianggap telah melakukan suatu perbuatan yang buruk, dan solatnya tetap dianggap sah".

Walau bagaimanapun, walaupun dikatakan menggulung pakaian itu hukumnya makruh tanzih, tetapi zahirnya adalah haram, dan tidak ada dalil yang memalingkan dari hukum haram. Sedemikianlah Ibnu Khuzaimah telah menulis di dalam "Bab Larangan Menggulung Pakaian Di Dalam Solat", di dalam Sahihnya. Sambungan dari kitab Syarah Sahih Muslim, Imam Nawawi berkata, "Hal larangan ini menurut At‑Tabari adalah sebagai ijmak ulama. Sedang Ibnu Munzir telah menukil dari Hasan AI‑Basri bahawa barang siapa yang mengerjakan solat dengan keadaan seperti itu, maka ia harus mengulangi solatnya".

Sesungguhnya orang‑orang yang mengisbalkan seluar atau jubahnya, maka tiadalah pilihan baginya melainkan ia mengerat kaki seluar atau jubahnya sehingga ke atas buku lalinya, dan orang‑orang yang mengisbalkan kain sarungnya, maka terpaksalah ia mengangkat kain sarungnya.

Daripada perbincangan ringkas di atas telah jelas bahawa isbal itu dilarang sama ada kerana sombong atau tidak, dan sama ada ketika solat atau tidak. Kemudian, orang‑orang yang membolehkan isbal, mereka mengemukakan hujah popular mereka dari hadis Ibnu Umar r.a. di mana terdapat di dalam hadis tersebut sabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu Bakar r.a., "Tidaklah engkau tergolong dari kalangan orang‑orang yang melakukannya kerana sombong". Dengan itu, mereka mendakwa bahawa isbal itu tidak mengapa sekiranya dilakukan bukan kerana sombong.

Dari lbnu Umar r.a., dia berkata,
"Aku pernah masuk menemui Rasulullah s.a.w., dan kain izarku berbunyi berdetar‑detar. Lalu Rasulullah s.a.w. bertanya, 'Siapakah ini'. Aku menjawab, 'Abdullah bin Umar’. Rasulullah s.a.w. bersabda 'Jika adalah engkau seorang hamba Allah, maka angkatlah izarmu'. Maka aku mengangkat. Dan Rasulullah s.a.w. bersabda, 'Tambah lagi'. Maka aku mengangkatnya sehingga ia mencapai setengah betis". Maka sedemikianlah dia memakai izarnya sehingga dia meninggal dunia. "Kemudian Rasulullah s.a.w. menoleh ke Abu Bakar, lalu bersabda, 'Orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong, tidaklah Allah akan melihat kepadanya pada hari kiamat kelak'. Maka Abu Bakar berkata, 'Sesungguhnya izarku kadang‑kadang menjadi longgar'. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, “Tidaklah engkau tergolong dari kalangan mereka' ".Di dalam satu riwayat, "Tidaklah engkau tergolong dari kalangan orang‑orang yang melakukan yang demikian itu kerana sombong. (Ahmad, Abdur Razzaq dan selain keduanya. Al‑Albani mengatakan sanadnya sahih sesuai dengan syarat Bukhari dan Muslim).
Dari Ibnu Umar r.a., dari Nabi s.a.w., dia bersabda,
"Orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong, tidaklah Allah akan melihat kepadanya pada hari kiamat kelak". Lalu Abu Bakar r.a. berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya salah satu dari sisi izarku menjadi longgar melainkan bahawa aku menjaga yang demikian itu dari berlaku". Maka Nabi s.a.w. bersabda, "Tidaklah engkau tergolong dari kalangan orang‑orang yang melakukannya kerana sombong. (Bukhari)
Orang‑orang yang cuba menghalalkan isbal seolah‑olah berkata bahawa Abu Bakar r.a. adalah seorang yang mengamalkan isbal tetapi dia melakukan sedemikian bukan kerana sombong. Yakni mereka juga beranggapan bahawa Abu Bakar r.a. tidak mengikut contoh Rasulullah s.a.w. yang memakai izarnya hingga ke separuh betisnya. Sesungguhnya bukanlah sedemikian halnya. Jauh sekali seorang sahabat seperti Abu Bakar r.a. mengingkari Rasulullah s.a.w. di dalam masalah isbal.

Jelas daripada dua hadis di atas bahawa Abu Bakar r.a. tidak melakukan isbal, tetapi salah satu dari sisi izarnya telah terlondeh. Isbal yang berlaku terhadap Abu Bakar r.a. adalah dengan tidak sengaja. Bukanlah Abu Bakar r.a. seorang yang mengamalkan isbal.

Dengan itu, dapatlah difahamkan dari hadis‑hadis di atas bahawa apa yang dimaksudkan oleh sabda Rasulullah s.a.w. kepada Abu Bakar r.a. ialah, "Tidaklah engkau tergolong dari kalangan orang‑orang yang melakukannya kerana sombong, tetapi engkau telah melakukannya dengan tidak sengaja. Dengan itu, engkau dimaafkan"       

Daripada hadis lbnu Umar r.a. yang pertama, mula‑mula Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan Ibnu Umar r.a., yang pada masa itu mengisbalkan pakaiannya, supaya mengangkatkan pakaiannya. Maka apakah seorang sahabat terkemuka seperti Ibnu Umar r.a. telah melakukan isbal kerana sombong. Sekiranya Ibnu Umar r.a. telah melakukan isbal kerana sombong, tentu sekali Rasulullah s.a.w. telah bersabdakan sedemikian, tetapi Rasulullah s.a.w. hanya bersabda, "Jika adalah engkau seorang hamba Allah", yakni jika engkau seorang hamba Allah yang takut dan taat kepadaNya.

Kemudian lbnu Umar r.a. terus mengangkat pakaiannya dengan tidak membantah sedikit pun. Sekiranya Ibnu Umar r.a. telah melakukan isbal kerana sombong tentulah dia telah membantah terlebih dahulu sebelum akur kepada perintah itu, sebagaimana lazim kelakuan seorang yang sombong. Sedangkan orang‑orang yang melakukan isbal yang mendakwa mereka melakukannya bukan kerana sombong, mereka bukan main lagi membantah, melenting, dan mengemukakan bermacam‑macam alasan apabila ditegur tentang perbuatannya melakukan isbal.

Daripada hadis‑hadis Ibnu Umar r.a. di atas, telah jelas bahawa isbal yang berlaku terhadap Abu Bakar r.a. adalah kerana dengan tidak sengaja. Dan demikianlah juga di dalam keadaan yang terdesak dan sebagainya, maka tidaklah mengapa melakukan isbal, sehinggakan s.a.w. di dalam terburu‑buru untuk ke masjid, Rasulullah s.a.w. sendiri telah melakukan isbal.

Dari Abu Bakrah r.a., dia berkata,
"Matahari menjadi gerhana sedang kami bersama‑sama Nabi s.a.w.. Lalu Rasulullah s.a.w. bangun mengheret pakaiannya dengan tergesa‑gesa sehingga dia tiba ke masjid. Dan orang ramai kembali ke masjid. Maka Rasulullah s.a.w. menunaikan dua rakaat, dan matahari muncul. Kemudian Rasulullah s.a.w. menghadap kepada kami dan bersabda, "Sesungguhnya matahari dan bulan itu adalah tanda‑tanda di antara tanda‑tanda Allah. Lalu apabila kamu melihat darinya apa‑apa pun, maka kamu bersolatlah dan berdoalah kepada Allah sehingga Dia menghilangkannya". (Bukhari)
Demikianlah di dalam keadaan yang tergesa‑gesa seperti yang telah terjadi kepada Rasulullah s.a.w., maka tidaklah mengapa melakukan isbal. Di dalam keadaan selain itu tidaklah Rasulullah s.a.w. melakukan isbal. Dan Rasulullah s.a.w. sentiasa memakai izarnya sampai separuh kakinya atau betisnya.

Dari Ubaid bin Khalid r.a., dia berkata,
"Pernah aku berjalan dan aku memakai jubah yang aku mengheretnya. Lalu seorang lelaki berkata kepadaku, 'Angkatkanlah pakaianmu, kerana sesungguhnya ia adalah lebih lama bertahan dan juga lebih bersih'. Maka aku melihat dan ternyata dia ialah Nabi s.a.w., lalu aku berkata, 'Hanya sanya ia adalah satu jubah yang berkotak‑kotak, di mana di dalamnya terdapat garis hitam dan putih'. Maka Nabi s.a.w. bersabda, 'Adapun bagimu padaku ialah teladan' ". Ubaid bin Khalid berkata, "Lalu aku melihat dan ternyata izarnya sampai separuh kakinya". (Ahmad, At‑Tirmizi, An‑Nasa’i. AI‑Albani mengatakan hadis ini sahih)
Dari Uthman r.a., dia berkata,
"Sesungguhnya izar Nabi s.a.w. adalah sampai separuh kakinya". (At‑Tirmizi di dalam As‑Syamail. Al‑Albani mengatakan hadis ini sahih)
Kalaulah sekiranya isbal itu dibenarkan bagi orang‑orang yang melakukannya bukan kerana sombong, sudah tentu Rasulullah s.a.w. telah melakukannya, atau apakah ada pada Rasulullah s.a.w. sifat sombong jika dia melakukan isbal. Sesungguhnya bukanlah begitu, tetapi Rasulullah s.a.w. tidak melakukan isbal kerana perbuatan itu tergolong daripada kesombongan.
 
Dari Abu Jurayy bin Sulaim, dari Rasulullah s.a.w., dia bersabda,
"Angkatkanlah izarmu sehinqga separuh kaki. Dan jika engkau tidak mahu, maka sehingga ke buku lali. Dan berwaspadalah dari mengisbalkan izar, kerana sesungguhnya ia adalah tergolong daripada kesombongan. Dan sesungguhnya Allah tidak menyukai kesombongan. (Abu Daud, At‑Tirmizi, Ahmad, Ibnu Hibban)
Dari hadis di atas, sesungguhnya amat jelas bahawa isbal adalah satu simbol kesombongan, dan tidaklah orang yang memiliki walaupun seberat zarah dan kesombongan melainkan tercegahlah ia dari memasuki syurga.

Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., dari Nabi s.a.w., dia bersabda,
"Tidak masuk syurga sesiapa yang ada di dalam hatinya seberat zarah dari kesombongan". Seorang lelaki berkata, "Sesungguhnya seorang lelaki, ia menyukai agar pakaiannya cantik dan kasutnya cantik". Rasulullah s.a.w. bersabda, "Sesungguhnya Allah anggun, Dia menyukai keanggunan. Kesombongan itu ialah kecuaian terhadap yang hak dan memandang rendah terhadap manusia”. (Muslim, Abu Daud, At‑Tirmizi, Ibnu Majah)
Dari Abdullah bin Mas'ud r.a., dia berkata,
"Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 'Tidak masuk neraka seseorang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi dari keimanan. Dan tidak masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya seberat biji sawi dari kesombongan". (Muslim, Abu Daud, At‑Tirmizi, Ibnu Majah)
Dan juga Rasulullah s.a.w. tidak melakukan isbal kerana perbuatan itu tidak disukai oleh Allah.

Dari Al‑Mughirah bin Syu'bah, dia berkata,
"Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 'Wahai Sufian bin Sahl, janganlah engkau melakukan isbal kerana sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan isbal". (Ibnu Majah)
Dengan itu, tidaklah benar mengatakan bahawa isbal itu haram apabila bermaksud sombong tetapi tidak mengapa apabila tidak bermaksud sombong. Sesungguhnya isbal dilarang sama ada dilakukan dengan sombong atau tidak. Dan terdapat banyak hadis‑hadis di mana Rasulullah s.a.w. melarang isbal tanpa mengaitkannya dengan kesombongan.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda,
"Apa yang lebih rendah dari dua buku lali dari izar, maka di dalam neraka". (Bukhari, An‑Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah)
Dari Abu Zar r.a., dari Nabi s.a.w., dia bersabda,
"Tiga golongan, Allah 'Tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat, dan tidaklah Dia akan melihat kepada mereka, dan tidaklah disucikan mereka itu. Dan bagi mereka ialah azab yang menyakitkan". Perawi berkata, "Lalu Rasulullah s.a.w. membacanya sebanyak 3 kali". Abu Zar r.a. berkata "Mereka menjadi kecewa dan mereka menjadi terpedaya. Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.". Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang melakukan isbal, orang yang menyebut‑menyebut pemberian yang telah diberi, dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu". (Muslim, Abu Daud, At‑Tirmizi, An‑Nasa'i, Ibnu Majah)
Di dalam kedua‑dua hadis di atas, tidaklah Rasulullah s.a.w. mengaitkan isbal dengan kesombongan.

Dari Qais bin Basyir Al‑Taghlabi, dia menceritakan bahawa ayahnya, seorang sahabat Abu Darda', pernah menceritakan kepadanya: Adalah di Damaskus terdapat seorang lelaki dari kalangan sahabat Nabi s.a.w. yang dikenali sebagai lbnu Hanzaliyah. Dan adalah dia seorang lelaki yang suka bersendirian. Jarang sekali dia duduk bersama‑sama dengan orang lain. Hanya sanya dia solat. Dan apabila dia selesa;, maka hanya sanya dia bertasbih dan bertakbir sehinggalah dia datang kepada keluarganya.

Lalu pernah dia melewati kami sedang kami bersama‑sama dengan Abu Darda'. Lalu Abu Darda' berkata kepadanya, "Katakanlah satu kalimat yang memberi manfaat kepada kami tetapi tidaklah menyulitkan engkau". lbnu Hanzaliyah berkata, "Rasulullah s.a.w. pernah mengirim satu kontinjen dan kontinjen itu kembali. Lalu seorang lelaki di antara mereka datang dan ia duduk di dalam majlis yang Rasulullah s.a.w. berada di dalamnya. Lalu lelaki itu berkata kepada seorang lelaki lain di tepinya, 'Kalaulah engkau telah melihat kami semasa kami bertemu dengan musuh, lalu si Fulan menyerang dan menusuk dengan lembing'.

Maka si Fulan itu berkata, 'Ambillah ia dariku, dan aku adalah seorang remaja kaum Ghifar. Bagaimana engkau melihat tentang kata‑katanya'. Lelaki kedua menjawab, "Tiadalah yang lihat melainkan telah menjadi sia‑sialah pahalanya'. Maka seorang lagi lelaki yang lain mendengar dengan yang demikian itu, lalu ia berkata, 'Tiadalah aku melihat dengan yang demikian itu sebagai sesuatu yang buruk'.

Lalu mereka saling bertikai sehingga Rasulullah s.a.w. mendengar, lalu dia bersabda, 'Maha Suci Allah, tidak mengapa bahawa ia diberi ganjaran dan dipuji' ". Maka aku melihat Abu Darda' merasa girang dengan yang demikian itu dan menjadikan dia mengangkat kepalanya kepada lbnu Hanzaliyah dan berkata, "Apakah engkau mendengar yang demikian itu dari Rasulullah s.a.w.". Maka Ibnu Hanzaliyah menjawab, "Ya".

Dan Abu Darda' berterusan mengulangi bertanya kepada Ibnu Hanzaliyah sehinggakan sesungguhnya aku benar‑benar akan berkata, "Pastinya Abu Darda' akan melutut di atas kedua lututnya". Ayah Qais bin Basyir berkata, "Kemudian Ibnu Hanzaliyah melewati kami pada suatu hari yang lain. Maka Abu Darda' berkata kepadanya, "Katakanlah satu kalimat yang memberi manfaat kepada kami tetapi tidaklah menyulitkan engkau". Ibnu Hanzaliyah berkata, "Rasulullah s.a.w. pernah bersabda kepada kami, 'Orang yang menafkahkan untuk kuda jihad adalah seumpama orang yang menghulur kedua tangan dengan sedekah tanpa ia menariknya kembali".

Kemudian Ibnu Hanzaliyah melewati kami pada suatu hari yang lain, lalu Abu Darda' berkata kepadanya, "Katakanlah satu kalimat yang memberi manfaat kepada kami tetapi tidaklah menyulitkan engkau", lbnu Hanzaliyah berkata, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 'Khuraim Al‑Asadi adalah seorang lelaki yang sangat baik kalaulah tidak kerana kepanjangan rambutnya, dan isbal izarnya'. Maka yang demikian itu sampai kepada Khuraim, lalu dia bertindak dengan segera. Maka dia mengambil sebilah pisau lalu dia memotong dengannya rambutnya hingga ke kedua telinganya, dan dia mengangkat izarnya sampai ke separuh kakinya".

"Kemudian Ibnu Hanzaliyah melewati kami pada suatu hari yang lain, lalu Abu Darda' berkata kepadanya, "Katakanlah satu kalimat yang memberi manfaat kepada kami tetapi tidaklah menyulitkan engkau". Ibnu Hanzaliyah berkata, "Aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda,
'Sesungguhnya kamu akan pergi kepada saudara‑saudara kamu. Oleh itu perbaguskanlah kenderaan kamu dan perbaguskanlah pakaian kamu sehingga kamu menjadi seolah‑olah kamu adalah titik kecantikan di tengah‑tengah manusia. Sesungguhnya Allah tidak menyukai kelucahan dan tidak juga perlakuan yang lucah' “. (Abu Daud)
Di dalam hadis ini Rasulullah s.a.w. telah memperakui akan kebaikan Khuraim Al Asadi. Maka tidaklah mungkin Khuraim melakukan isbal kerana sombong, kerana sekiranya terdapat sifat kesombongan pada Khuraim, tentulah Rasulullah s.a.w. tidak mengatakan dia adalah seorang yang sangat baik.

Dari Abu Umamah r.a., dia berkata,
"Tatkala kami bersama Rasulullah s.a.w., tiba‑tiba Amru bin Zurarah Al‑Ansari menyusuli kami dengan memakai izar dan jubah yang isbal. Maka Rasulullah menyingsingkan hujung pakaian Amru bin Zurarah dan merendah diri kepada Allah lalu bersabda, "HambaMu, dan anak hambaMu, dan anak hamba perempuanmu". Sehingga Amru mendengarnya, lalu dia berkata, "Wahai Rasulullah s.a.w., sesungguhnya aku, kedua kakiku kurus". Maka Rasulullah s.a.w. bersabda, "Wahai Amru sesungguhnya Allah telah membuat cantik sesuatu ciptaanNya. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melakukan isbal". (At‑Tabrani)
Di dalam kitab Fathul Baari, Ibnu Hajar berkata "Zahir hadis ini menunjukkan bahawa Amru tidak bermaksud melakukan isbal kerana sombong. Walaupun begitu dia telah dilarang oleh Rasulullah untuk melakukannya, kerana pada isbal itu terdapat kesombongan"

Kemudian, orang‑orang yang berpengetahuan dari kalangan orang‑orang yang membolehkan isbal jika dilakukan tanpa sombong, mereka membolehkannya dengan hujah dari usul fikah yang mengatakan bahawa membawa yang mutlak, atau yang tidak terbatas, kepada yang muqayyad, atau yang terbatas, adalah wajib hukumnya. Dan yang mutlak itu boleh dibawa kepada yang muqayyad dengan syarat hukum bagi keduanya adalah sama walaupun sebabnya berbeza.

Di dalam hadis berikut diriwayatkan bahawa Allah tidak akan melihat kepada orang yang melakukan isbal kerana sombong.

Dari lbnu Umar r.a., bahawasanya Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
"Allah tidak akan melihat kepada orang yang mengheret pakaiannya kerana sombong". (Bukhari, Muslim, At‑Tirmizi, Ahmad)
 
Dan di dalam hadis berikut diriwayatkan bahawa Allah tidak akan melihat kepada orang yang melakukan isbal secara mutlak, atau melakukan isbal dengan tidak disebutkan sebabnya.

Dari Abu Zar r.a., dari Nabi s.a.w., dia bersabda,
"Tiga golongan, Allah tidak akan berbicara kepada mereka pada hari kiamat, dan tidaklah Dia akan melihat kepada mereka, dan tidaklah disucikan mereka itu. Dan bagi mereka ialah azab yang menyakitkan". Perawi berkata, "Lalu Rasulullah s.a.w. membacanya sebanyak 3 kali". Abu Zar r.a. berkata, Mereka menjadi kecewa dan mereka menjadi terpedaya. Siapakah mereka itu Wahai Rasulullah s.a.w.". Rasulullah s.a.w. bersabda, "Orang yang melakukan isbal, dan orang yang menyebut‑menyebut pemberian yang telah diberi, dan orang yang melariskan dagangannya dengan sumpah palsu". (Muslim, Abu Daud, At‑Tirmizi, An‑Nasa'i, Ibnu Majah)
Di dalam kedua‑dua hadis tersebut, hukum bagi orang yang melakukan isbal adalah sama, iaitu Allah tidak akan melihat kepada mereka. Dengan itu, kedua hadis itu dapatlah dimuqayyadkan, kerana hukum yang terdapat di dalam kedua‑dua hadis itu adalah sama walaupun sebabnya berbeza. Maka orang yang melakukan isbal yang dimaksudkan di dalam hadis kedua dapatlah diterima sebagai orang yang melakukan isbal dengan sombong.

Dan dengan itu, segala hadis tentang isbal yang menyebutkan hukumnya sebagai Allah tidak akan melihat kepada pelaku, maka dapatlah diterima bahawa isbal itu dilakukan kerana sombong, sekalipun disebutkan isbal itu dilakukan secara mutlak.
 
Tetapi terdapat juga hadis‑hadis yang menyebutkan hukuman terhadap orang yang melakukan isbal bukanlah sebagai Allah tidak akan melihat kepada orang yang melakukan isbal itu, seperti di dalam hadis di bawah yang menyebutkan hukumannya sebagai apa yang lebih rendah dari dua buku lali daripada izar adalah di dalam neraka.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi s.a.w. pernah bersabda,
"Apa yang lebih rendah dari dua buku lali dari izar, maka di dalam neraka". (Bukhari, An‑Nasa’i, Abu Daud, Ibnu Majah)
Yakni anggota tubuh yang berada di bawah buku lali yang ditutupi oleh pakaian seseorang itu adalah di dalam neraka. Atau maknanya, bahagian kaki orang yang melakukan isbal yang di bawah buku lali akan diazab di neraka.

Dan hadis tersebut juga tidak menyebut perihal melakukan isbal itu kerana sombong. Maka, di dalam keadaan sebegini, apakah boleh ditaqyidkan juga orang yang melakukan isbal kepada melakukannya kerana sombong. Tentu sekali tidak, kerana hukuman 'bahagian kaki orang yang melakukan isbal yang di bawah buku lali itu akan diazab di neraka' berbeza dengan hukuman 'Allah tidak akan melihat kepada orang yang melakukan isbal'.

Oleh kerana itulah Rasulullah s.a.w. pernah menyebutkan kedua‑dua jenis isbal sekali gus di dalam sebuah hadis sahaja, iaitu isbal yang dilakukan secara mutlak dan isbal yang dilakukan kerana sombong.

Dari A'la bin Abdul Rahman, dari ayahnya, dia berkata bahawa dia pernah menyoal Abi Said Al‑Khudri r.a. tentang izar, lalu Abi Said menjawab,
"Terhadap orang yang maklum, engkau bertanya. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, 'Izar seorang muslim itu ialah sampai ke separuh kaki, dan bukanlah satu kesalahan atau satu dosa terhadap apa yang di antara separuh kaki dengan dua buku lali. Dan apa yang lebih rendah dari dua buku lali, maka ia adalah di dalam neraka. Barang siapa yang mengheret izarnya dengan sombong, Allah tidak akan melihat kepadanya' ". (Abu Daud, Malik, An‑Nasa’I, Ibnu Majah)
Di dalam hadis ini juga Rasulullah s.a.w. menjelaskan perbezaan hukuman di antara kedua jenis isbal, sebab ancaman di antara keduanya berbeza. Kedua jenis isbal itu berbeza di dalam perbuatan, dan berbeza pula hukumannya, dan berbeza juga di dalam ancamannya.

Orang  yang melakukan isbal kerana sombong, maka Allah tidak melihat kepadanya, atau Allah tidak akan mempedulikannya pada hari kiamat kelak. Dan orang yang melakukan isbal bukan kerana sombong, maka apa yang lebih rendah dari dua buku lali, maka ia adalah di dalam neraka, atau bahagian kaki di bawah buku lali itu akan diazab di neraka. Perbuatan ini tidaklah tergolong sebagai dosa besar yang menyebabkan orang yang melakukannya tidak dipedulikan oleh Allah pada hari kiamat kelak. 

Dengan penjelasan‑penjelasan di atas, tiadalah alternatif bagi orang‑orang yang mencari keredaan Allah melainkan menaikkan pakaian mereka di atas paras buku lali mereka. Usahlah dibiarkan syaitan menampakkan indah perbuatan isbal itu. Jangan dilayan perasaan malu kepada manusia sehingga sanggup mengetepikan reda Allah. Berhentilah dari mengada‑adakan alasan supaya dapat terus melakukan isbal. Sesungguhnya tidaklah Allah mengadakan hukum isbal ini melainkan untuk menguji hamba‑hambaNya.

Sesungguhnya kesalahan isbal ini bukanlah sesuatu yang remeh. Umar r.a. ketika di ambang kematiannya, dia masih menegur seorang pemuda yang mengisbalkan pakaiannya. Di dalam sebuah hadis yang panjang tentang peristiwa pembunuhan Umar r.a., diriwayatkan seorang lelaki yang bernama Fairuz, atau nama gelarannya Abu Lu'luah, telah menikam Umar r.a. ketika dia sedang mengimami solat subuh.

Abu Lu'luah ialah seorang Majusi, bekas tawanan yang menjadi hamba kepada Al‑Mughirah. Dia pernah mengadu kepada Umar r.a. bahawa Al‑Mughirah telah memberatkannya. Umar r.a. menasihatinya supaya takutkan Allah dan berbuat baik kepada Al‑Mughirah. Sesungguhnya tiada niat bagi Umar r.a. melainkan apabila bertemu dengan Al‑Mughirah, dia akan mengajak Al‑Mughirah berbincang untuk memberi keringanan kepada hambanya Abu Lu'luah.

Tetapi Abu Lu'luah merasakan bahawa dia tidak mendapat keadilan dari Umar r.a.. Lalu Abu Lu'luah mendendami Umar r.a. dan merancang untuk membunuhnya. Untuk tujuan itu Abu Lu'luah membuat sebilah pisau dua mata dengan pemegangnya berada di tengah, dan mata pisau itu dilumuri dengan racun.

Abu Lu'luah memilih waktu subuh untuk melaksanakan rancangan jahatnya itu. Ketika Umar r.a. telah bertakbir, Abu Lu'luah menikam Umar r.a. dengan 3 tikaman. Satu tikaman di bawah bahunya, tikaman yang kedua di bawah rusuknya, dan tikaman yang ketiga di bawah pusatnya. Tikaman‑tikaman itu telah menjatuhkan Umar r.a. dan kemudian dia pengsan kerana banyaknya darah yang keluar.

Dia dibawa masuk ke dalam rumahnya, dan apabila dia sedar dari pengsannya, dia berwuduk dan solat. Kemudian seorang tabib masuk menemuinya dan memberinya minum air kurma, tetapi air kurma itu keluar melalui lukanya. Kemudian Umar r.a. diberi minum susu, tetapi susu itu juga keluar melalui lukanya. Seterusnya seperti yang diriwayatkan di dalam hadis,

Maka mereka mengetahui bahawa Umar r.a. akan mati. Maka kami masuk menemuinya, dan manusia pun datang lalu mereka menyampaikan pujian kepadanya. Dan seorang pemuda datang lalu ia berkata,
"Bergembiralah wahai Amirul Mukminin dengan berita gembira dari Allah untukmu, berupa persahabatan Rasulullah s.a.w., dan kebaktian di dalam Islam yang telah engkau mengetahui. Kemudian engkau berkuasa lalu engkau berlaku adil, kemudian mati syahid. Umar r.a. berkata, "Aku menginginkan bahawasanya yang demikian itu mengimbang balas kekuranganku, bukanlah beban ke atasku dan tidak juga untukku". Maka apabila pemuda itu berpusing belakang, pada masa itu izarnya menyentuhi tanah, lalu Umar r.a. berkata, "Bawa kembali kepadaku remaja itu". Umar r.a. berkata, "Wahai anak saudaraku, angkatlah pakaianmu, kerana sesungguhnya ia lebih lama bertahan bagi pakaianmu dan lebih takut akan Tuhanmu". (Bukhari)

Tidaklah ada petanda bahawa pemuda yang Umar r.a. tegur itu mengisbalkan pakaiannya kerana sombong, melainkanlah Umar r.a. memerintahkan pemuda itu mengangkat pakaiannya kerana takut kepada Allah.

Isbal2
Isbal3Isbal4

2 ulasan:

  1. Salam.. apa hukum org guna kasut, dan berstokin? Stokin tu kan menutup buku lali... musykil nie.. masa skolah dulu ustaz xda ajar pun..aduyai...

    BalasPadam
  2. Bukannya satu kesalahan untuk pakaian seperti stokin atau sarung kaki yang menutup buku lali.

    BalasPadam