Disusun oleh Abu Haniff
Kitab ini, yang tiada keraguan di dalamnya, ialah sebagai petunjuk bagi orang-orang yang takutkan Allah.
Kitab ini (iaitu Al-Quran), yang tiada keraguan di dalamnya (Al-Quran ini bahawa ianya benar-benar diturunkan oleh Allah dengan semua beritanya benar, petunjuknya benar, hukumnya adil dan bijaksana), ialah sebagai petunjuk bagi orang-orang yang takutkan Allah, (atau orang-orang yang bertakwa, iaitu orang-orang mukmin yang memelihara dirinya dari menyekutukan Allah, mengesakanNya, sentiasa beramal dengan taat kepadaNya, ikhlas hanya kepadaNya semata-mata, takut akan azabNya, mengharapkan belas kasihanNya, dan menjaga dirinya dari hal-hal yang diharamkanNya, bahkan menjaga dirinya dari perkara-perkara yang tidak mengapa kerana berhati-hati dari terjerumus ke dalam perkara yang buruk.
Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Tidaklah seorang hamba itu mencapai matlamat bahawa ia menjadi salah seorang dari orang yang bertakwa sehinggalah ia meninggalkan apa yang tidak mengapa melakukannya kerana berhati-hati terhadap apa yang melakukannya mendatangkan keburukan”.
Dan petunjuk yang dimaksudkan di sini ialah sesungguhnya sesuatu yang khusus bagi orang-orang yang takutkan Allah atau orang-orang yang bertakwa. Ketakwaan yang wujud di dalam hati mereka itu, menjadikan hati mereka terbuka serta bersedia untuk menyambut dan menerima dakwah Al-Quran, dan melayakkan mereka untuk mendapat manfaat dari kitab Al-Quran.
Di dalam ayat Yunus 10:57, Allah berfirman,yang bermaksud, “Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepada kamu pelajaran dari Tuhan kamu, dan cara menyembuhkan bagi apa yang di dalam dada, dan juga sebagai petunjuk dan belas kasihan bagi orang-orang mukmin”.
Petunjuk ini sesungguhnya ialah iman yang terdapat di dalam hati, yang tiadalah sesiapa mampu menciptakannya di dalam hati seseorang hamba melainkan Allah, sebagaimana yang Allah firmankan di dalam ayat Al-Qasas 28:56,yang bermaksud, “Sesungguhnya engkau, tidaklah dapat engkau memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi”.
Dan sebagaimana firman Allah di dalam ayat Al-Baqarah 2:272,yang bermaksud, “Bukanlah ke atas engkau petunjuk mereka”. Dan sebagaimana firman Allah di dalam ayat Al-A'raf 7:186,yang bermaksud, “Barang siapa yang disesatkan Allah, maka tiadalah orang yang memberi petunjuk kepadanya”. Dan juga sebagaimana firman Allah di dalam ayat Al-Kahfi 18:17, firman Allah,yang bermaksud, “Barang siapa yang Allah memberi petunjuk, maka ia adalah orang yang dibawa ke jalan yang benar, dan barang siapa yang Dia sesatkan, maka tidaklah akan ia mendapati baginya wali yang menunjuk dengan betul”.
Adapun kepada orang-orang yang tidak bertakwa, Al-Quran ini hanyalah petunjuk secara am ke arah kebaikan, tetapi mereka tidak menerima dan tidak mengambil manfaat dari Al-Quran ini. Bahkan Al-Quran ini menjadikan pekak orang-orang yang menolaknya dengan dusta, menjadikan buta orang-orang yang mengabaikannya, dan menjadi hujah Allah yang paling kuat ke atas orang-orang yang kufur dan ingkar, sedangkan ianya adalah petunjuk bagi orang-orang yang bertakwa, dan ubat penawar bagi orang-orang yang beriman.
Di dalam ayat Fussilat 41:44, Allah berfirman,
yang bermaksud, “Katakanlah, ‘Ia kepada orang-orang yang beriman adalah sebagai petunjuk dan juga sebagai cara menyembuhkan. Dan orang-orang yang tidak beriman, terdapat di dalam telinga-telinga mereka kepekakan, dan ia kepada mereka ialah kebutaan’ ”.
Dan di dalam ayat Al-Isra' 17:82, Allah berfirman,yang bermaksud, “Dan Kami menurunkan dari Al-Quran apa yang ianya adalah sebagai ubat dan belas kasihan bagi orang-orang mukmin. Dan tidaklah ia menambahkan kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian”.
Dan di dalam ayat Al-Ma'idah 5:64, Allah berfirman,yang bermaksud, “Dan pastinya akan semakin bertambah kepada kebanyakan dari mereka oleh apa yang telah diturunkan kepadamu dari Tuhanmu itu di dalam kederhakaan dan kekufuran”.
Sesungguhnya perumpamaan Al-Quran kepada seorang yang tidak bertakwa, adalah seumpama matahari kepada seorang yang buta. Si buta itu tidak dapat melihat sinaran cahaya matahari, tetapi matahari tetaplah menyinar cahayanya. Begitulah Al-Quran, sifatnya sebagai petunjuk tidaklah hilang darinya walaupun orang-orang yang tidak bertakwa tidak mengambil manfaat darinya.
Di sini, lafaz petunjuk adalah di dalam bentuk kedua yang terdapat di dalam Al-Quran yang bermaksud petunjuk, yang membawa maksud keterangan serta penjelasan mengenai perkara yang hak, dan penunjuk serta pembimbing kepadanya.
Demikianlah juga makna yang Allah firmankan di dalam ayat Asy-Syura 42:52,yang bermaksud, “Dan sesungguhnya engkau benar-benar memberi petunjuk kepada jalan yang lurus”.
Dan firmanNya di dalam ayat Ar-Ra'ad 13:7,yang bermaksud, “Hanya sanya engkau adalah seorang pemberi amaran, dan bagi setiap kaum ialah seorang yang memberi petunjuk”.
Dan firmanNya di dalam ayat Fussilat 41:17,yang bermaksud, “Dan adapun kaum Thamud, maka Kami memberi petunjuk kepada mereka, lalu mereka lebih mencintai kebutaan melebihi daripada petunjuk itu”.
Dan juga firmanNya di dalam ayat Al-Balad 90:10,yang bermaksud, “Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua lebuh raya”.
Sesungguhnya sekiranya seseorang itu berharap untuk mendapatkan petunjuk Al-Quran, maka ia mestilah datang kepada Al-Quran dengan hati yang bertakwa, bersih serta ikhlas, dan bimbang tergelincir ke dalam kesesatan. Di waktu itu, Al-Quran akan mendedahkan rahsia-rahsianya dan memancarkan cahaya-cahayanya kepada orang itu.
Pengertian untuk memahami makna takwa dapat difahami dari suatu riwayat,2 di mana Umar bin Khattab r.a. pernah bertanya kepada Ubay bin Ka’ab r.a. tentang apakah makna takwa, dan Ubay bin Ka’ab r.a. berkata kepada Umar r.a., “Pernahkan engkau berjalan di atas laluan yang terdapat duri-duri di atasnya”. Umar r.a. menjawab, “Ya, pernah”. Ubay r.a. bertanya lagi, “Kemudian apa yang engkau lakukan”. Umar r.a. menjawab, “Aku singsingkan kainku dan aku berjalan dengan hati-hati dan waspada”. Ubay r.a. berkata, “Itulah yang dinamakan takwa”.
Takwa adalah umpama seseorang itu berjalan di laluan yang terdapat pelbagai duri di atasnya, yang berupa dosa-dosa, sama ada dosa yang kecil mahupun dosa yang besar. Maka ia berjalan dengan penuh waspada untuk mengelak dari terkena dosa-dosa itu, dan ia tidak memandang remeh terhadap apa jua dosa, walaupun sekecil-kecil dosa.
Perkataan takwa adalah terbitan dari satu kata akar yang membawa makna memelihara atau menjaga diri seseorang itu supaya selamat. Orang yang bertakwa itu, hatinya sentiasa peka dan sedar bahawa ia hendaklah sentiasa takut dan waspada dari terkena duri di tengah laluan kehidupan ini, di mana manusia sentiasa ditarik oleh berbagai-bagai duri nafsu keinginan, duri tamak haloba, duri angan-angan yang panjang, duri kebimbangan, duri ketakutan terhadap mereka yang tidak berkuasa mendatangkan manfaat ataupun mudarat, duri harapan palsu yang diberi oleh mereka yang tidak mampu memenuhi harapan itu, dan pelbagai duri lagi.
Sesungguhnya kata takwa itu mencakup segala kebaikan. Ianya adalah wasiat Allah kepada orang-orang terdahulu dan orang-orang yang akan datang. Dan ia adalah sesuatu yang terbaik yang dapat dimanfaatkan).
1 At-Tirmizi, Ibnu Majah. At-Tirmizi mengatakan hadis ini hasan gharib.
2 At-Tirmizi.
Muat Turun Al-Quran dan Orang Yang Takutkan Allah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan