Selasa, 19 Julai 2011

Bersyukur: Rahsia untuk mendapat penambahan akan sesuatu dari Allah

Disusun oleh Abu Haniff
image“Dan ketika Tuhan kamu mengisytiharkan, ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pastinya Aku akan menambah kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat’ ”. (Ibrahim 14:7)
 
(Dan ingatlah wahai Muhammad s.a.w. ketika Musa berkata kepada kaumnya,) “Dan (ingatlah juga wahai kaumku Bani Israil) ketika Tuhan kamu mengisytiharkan (kepada kamu akan janjiNya kepada kamu yang pastinya akan Dia tunaikan), ‘Sesungguhnya jika kamu bersyukur (dengan nikmat-nikmat yang Aku kurniakan kepada kamu, yakni kamu mengakui terhadap nikmat-nikmat itu dengan kamu mentaati segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, lalu kesyukuran itu membuktikan adanya kejujuran di dalam hati kamu, dan hati yang bersyukur itu akan sentiasa bermuraqabah denganKu apabila nikmat-nikmat itu digunakan tanpa takbur, dan tidaklah nikmat-nikmat itu digunakan untuk melakukan penindasan, kejahatan, dan perbuatan-perbuatan yang merosakkan), pastinya Aku akan menambah kepada kamu (nikmat-nikmat itu setelah kamu selamat dari Firaun dan pengikut-pengikutnya.

Seumpama anggota tubuh yang sentiasa digunakan untuk bekerja, pastinya kekuatannya akan bertambah, tetapi apabila diberhentikan, maka ia akan menjadi lemah. Demikianlah dengan nikmat, apabila digunakan untuk kebaikan, akan tetaplah nikmat itu, tetapi apabila diabaikan, akan hilanglah nikmat itu.

Di dalam sebuah hadis,1 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Barang siapa yang diilhamkan dengan 5 perkara, tidaklah ia diharamkan dengan 5 perkara. Dan di antara lain ialah barang siapa yang diilhamkan dengan kesyukuran, tidaklah ia diharamkan dengan penambahan”.
Maka barang siapa yang bersyukur kerana rezeki yang dikurniakan kepadanya, akan dilapangkan rezekinya. Dan barang siapa yang bersyukur atas ketaatannya, maka akan ditambahkan ketaatannya. Dan barang siapa yang bersyukur kerana nikmat kesihatan yang dikurniakan kepadanya, akan ditambahkan kesihatannya itu).

Dan sesungguhnya jika kamu kufur (iaitu tidak bersyukur dengan nikmat-nikmat yang Aku kurniakan kepada kamu, dengan kamu menafikan Aku sebagai yang mengurniakannya, atau kamu mengaitkan perolehan nikmat itu kepada ilmu kepandaian kamu, kerja keras kamu dan sebagainya, atau kamu menyalahgunakan nikmat-nikmat itu untuk menyombong atau untuk memuaskan nafsu kamu yang liar dengan melakukan perbuatan-perbuatan yang merosakkan), sesungguhnya azabKu adalah benar-benar berat (dengan Aku mencabut nikmat-nikmat itu dari kamu atau Aku menyusahkan kamu dengan nikmat-nikmat itu, dan Aku mengazab kamu kerana mengkufuri nikmat-nikmat itu.

Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Sesungguhnya seorang hamba itu benar-benar diharamkan rezeki itu oleh kerana dosa-dosa yang dilakukannya”)’ ”.
 

 

 

 

 

 


 

1 Bukhari di dalam kitab Tarikh.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan