Selasa, 12 Julai 2011

Tafsir Ayat Kursi - Bahagian 6

Disusun oleh Abu Haniff
image 
KursiNya meliputi semua langit dan bumi, dan tidaklah Dia merasa penat memelihara keduanya
KursiNya (iaitu satu makhlukNya yang agung) meliputi semua langit dan bumi (seumpama satu padang pasir yang luas dibandingkan dengan satu gelang. Ia di atas langit dan di bawah Arasy yang lebih besar darinya. Diriwayatkan dari Ibnu Abbas r.a.,1 mengenai ayat ini,
image
yang bermaksud, “KursiNya meliputi semua langit dan bumi”, dia berkata bahawa yang dimaksudkan dengan Kursi ialah tempat meletak kedua kaki. Sementara Arasy tidak boleh dipastikan kadarnya oleh seseorang pun. Di kalangan ahli bahasa, mereka sepakat akan makna Kursi, iaitu sesuatu yang diletakkan di bawah singgahsana, di mana di Kursi itu para raja bersandar, duduk, dan meletakkan kedua kaki mereka.
Di dalam sebuah hadis,2 Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,
“Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi menjadi tidak ada apa di sisi Kursi. Ia hanyalah seumpama satu gelang yang dicampak ke dalam satu padang pasir. Dan seumpama itu pula apabila Kursi dibandingkan dengan Arasy”.
Demikianlah luasnya dan besarnya dua makhluk Allah itu, yang bagi manusia adalah termasuk sebagai perkara yang ghaib. Sedemikian itu Allah berfirman di dalam ayat Qaf 50:6,
image
yang bermaksud, “Apakah maka tidaklah mereka melihat kepada langit di atas mereka bagaimana Kami membinanya dan Kami menghiasinya, dan tidaklah ia mempunyai sebarang rekahan”, dan tidaklah Allah berfirman, “Apakah maka tidaklah mereka melihat kepada Kursi atau Arasy di atas mereka”, kerana kedua-duanya adalah perkara yang tidak dapat dilihat oleh manusia.

Sekiranya tidaklah Allah memberitahu mereka mengenainya, maka tidaklah mereka mengetahui tentangnya), dan tidaklah Dia merasa penat memelihara keduanya (langit dan bumi serta semua makhluk yang ada pada keduanya. Bahkan mengatur, mengawasi, dan menjamin tujuh petala langit dan bumi itu adalah mudah dan ringan bagi Allah. Dan seandainya bukan kerana penjagaan dan pemeliharaan Allah, pasti keduanya telah binasa.

Di dalam ayat Fatir 35:41, Allah berfirmanimage
yang bermaksud, “Sesungguhnya Allah, Dia memegang dengan teguh segala langit dan bumi supaya jangan sampai keduanya tidak berada pada tempatnya. Dan sesungguhnya jika keduanya tidak berada pada tempatnya, tiadalah seseorang yang dapat memegang dengan teguh keduanya selepasNya”.

Dan di dalam ayat Al-Haj 22:65, Allah berfirman,
image
yang bermaksud, “Dan Dia menahan langit itu supaya tidaklah ia jatuh ke atas bumi melainkan dengan izinNya”.

Dan di dalam ayat Al-Haj 22:40, Allah berfirman
image
yang bermaksud, “Dan kalaulah tidak kerana pencegahan Allah, manusia itu sebahagian mereka dengan sebahagian yang lain, pastinya telah dirobohkan biara-biara, dan gereja-gereja, dan synagogue-synagogue, dan masjid-masjid, yang disebut di dalamnya nama Allah dengan banyaknya”.

Sesungguhnya segala sesuatu itu hina, tunduk dan patuh di hadapanNya. Mereka semuanya berhajat kepadaNya, sedangkan Dia Maha Kaya, lagi Maha Terpuji, dengan kesempurnaan ilmu, kemampuan, kekuasaan dan rahmat, serta sifat-sifat lain yang disifatkan kepadaNya yang perlu bagi penjagaan dan pemeliharaan keduanya).



1 Al-Darimi, At-Tabari, At-Tabrani, Ad-Daraqutni, Al-Baihaqi, Al-Hakim, Ibnu Abu Hatim
2 Ibnu Abu Syaibah, Al-Baihaqi. Al-Albaani mengatakan bahawa tidak ada satu pun hadis sahih dari Rasulullah s.a.w. mengenai ayat Al-Kursi melainkan hadis ini sahaja

Muat Turun Tafsir Ayat Kursi – Bahagian 6

Tiada ulasan:

Catat Ulasan